ARTIKEL

Awang Tengah ketika merasmikan Pertandingan Jualan Langsung TikTok Shop di bawah Kempen Sarawak Digital Mall, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). FOTO: RAMIDI SUBARI

Sarawak Digital Mall cipta kejayaan luar biasa dalam ekonomi digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Digital Mall terus mencipta gelombang ekonomi digital dengan merekodkan jualan keseluruhan sebanyak RM11.9 juta sehingga suku kedua tahun ini, hasil penyertaan lebih 1,000 peserta dan 350 peniaga tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu membuktikan potensi besar platform digital dalam memperluas pasaran produk tempatan serta meningkatkan daya saing usahawan di peringkat global.

“Program ini bermula dengan hanya 105 peniaga Sarawak namun berjaya mencapai jualan kasar melebihi RM1 juta.
Kini, kita menyaksikan kejayaan luar biasa seperti syarikat Cosfume dari Miri yang merekodkan jualan bulanan sebanyak RM540,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Jualan Langsung TikTok Shop di bawah Kempen Sarawak Digital Mall di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berkata, Sarawak Digital Mall merupakan inisiatif utama MINTRED dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan TikTok Shop sejak 2023.

“Sejak 2023, MINTRED menjadi agensi kerajaan pertama di Malaysia menjalin kerjasama strategik bersama TikTok Malaysia.
Menerusi kerjasama ini, Sarawak Digital Mall diperluas pada 2024 melalui pelancaran Sarawak Digital Mall Pesta Lokal bagi mempromosikan jenama tempatan ke pasaran global,” ujarnya.

Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk melengkapkan usahawan dengan alat, kemahiran dan platform digital yang diperlukan bagi berjaya dalam ekonomi digital.

“Sarawak Digital Mall menjadi pemangkin kepada ekosistem digital yang inklusif, memperkasa golongan belia, wanita dan usahawan luar bandar untuk bersaing dalam pasaran digital,” jelasnya.

Selain itu, MINTRED turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan pendigitalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui program seperti Go Digital, GERAK dan USTEV, di samping skim pinjaman mudah SPIKS dan Skim Mikro Kredit Sarawak (SKMS).

“Melalui Program Go Digital, PKS layak menerima geran sehingga RM10,000 bagi pembelian perisian, perkakasan dan perkhidmatan digital.

Manakala GERAK dan USTEV menawarkan bantuan sehingga RM20,000 kepada graduan serta lepasan institusi teknikal yang ingin memulakan perniagaan,” katanya.

Menyentuh perkembangan sektor e-dagang di Sarawak, Awang Tengah berkata, sektor itu mencatat peningkatan sebanyak 72.2 peratus, daripada RM22.7 bilion pada 2015 kepada RM39.1 bilion pada 2022.

“Pendapatan e-dagang PKS turut meningkat purata 8.1 peratus setahun, mencapai RM10.7 bilion pada 2022,” jelasnya.

Tegasnya, perdagangan digital kini menjadi komponen penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak.

“Ini seiring dengan sasaran 80 peratus PKS didigitalisasikan menjelang 2030 di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Melalui MINTRED, kita akan terus memperkukuh transformasi digital, memperluas inovasi teknologi dan mempelbagaikan perdagangan bagi memastikan perniagaan Sarawak kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru peserta pertandingan agar memanfaatkan peluang yang ada untuk menonjolkan kreativiti serta memperkenalkan produk buatan Sarawak ke pasaran global.

“Kerajaan Sarawak akan terus menyokong inisiatif yang memacu pendigitalan dan membuka peluang baharu kepada semua lapisan masyarakat.

Mari kita bersama-sama membina ekonomi digital yang mampan, inklusif dan sejahtera,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU