BETONG: Kontinjen Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Betong muncul juara keseluruhan Program Alpha Gen Talents (AGT) @ KEMAS Zon Tiga 2026 selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam pertandingan yang berlangsung di Padang Kolej Vokasional Betong dan Dewan Sri Kenanga, semalam.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan KEMAS Parlimen Betong mewakili Zon Tiga ke pertandingan AGT @ KEMAS Peringkat Sarawak 2026.

Berdasarkan keputusan rasmi, kontinjen Betong merangkul gelaran juara bagi kategori Digital Hero (lelaki), Hufaz Cilik Lima Tahun, Hufaz Cilik Enam Tahun, Kids Athletics dan Bola Jaring.
Sementara itu, Saratok muncul juara kategori Digital Hero (perempuan), Tanjung Manis pula menjuarai Bicara Berirama, manakala Sarikei mengungguli pertandingan futsal.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam.
Ketika menyempurnakan majlis penangguhan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus komited untuk memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan sejak usia awal amat penting bagi membentuk sahsiah, kreativiti dan potensi kanak-kanak supaya mereka mampu memenuhi keperluan masa depan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kerajaan akan terus memperluaskan pelbagai inisiatif bagi membangunkan bakat generasi muda melalui penyediaan kemudahan pendidikan yang berkualiti, program pembangunan modal insan, latihan kemahiran serta pendedahan kepada bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi digital.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan melahirkan modal insan berkualiti tinggi, malah memastikan anak-anak Sarawak memiliki peluang yang lebih luas untuk menyumbang kepada kemajuan negeri dan merealisasikan agenda PCDS 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Sarawak, Taufik Mohd Yusop, berkata AGT bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform strategik untuk membentuk generasi muda yang berkeyakinan, kreatif, berdisiplin, berakhlak mulia serta celik digital.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata program berkenaan merupakan inisiatif KEMAS bagi mencungkil bakat, membina keyakinan diri, mengasah kreativiti, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan kanak-kanak.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Digital Hero (lelaki dan perempuan), Hufaz Cilik (lima dan enam tahun), Bicara Berirama, Kids Athletics, futsal dan Bola Jaring.
AGT @ KEMAS Zon Tiga melibatkan enam kawasan Parlimen iaitu Betong, Saratok, Sarikei, Julau, Tanjung Manis dan Igan, dengan penyertaan keseluruhan seramai 721 orang.
Daripada jumlah itu, 259 ialah peserta, 102 guru pengiring, 259 ibu bapa, 81 pegawai serta kakitangan KEMAS dan 20 orang jemputan.
Pada majlis sama, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam bersama Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu, masing-masing menyumbangkan RM5,000 bagi menjayakan penganjuran program tersebut.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohamad Nizam Wang, dan wakil Pengarah Kolej Vokasional Betong, Azmi Aziz.




