MIRI: Sarawak Oil Palm (SOP) telah memberikan sumbangan bahan binaan bernilai RM100,000 kepada masyarakat Penan di Long Peran, Murum baru-baru ini.
Menurut SOP dalam satu kenyataan, sumbangan tersebut termasuk bumbung spandeks, papan lapis dan tiang kayu untuk membantu pembinaan rumah panjang baharu serta jentera bagi pembersihan dan penyediaan tanah.
Pengurus Ladang, Ladang Seping 1, Michael Bangau, berkata sumbangan itu menandakan usaha besar SOP bagi menyokong pembangunan masyarakat, dan sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk di Long Peran.
“Kami amat komited untuk menyokong masyarakat di Sarawak, dan sumbangan kami kepada masyarakat Long Peran mencerminkan dedikasi kami untuk memperbaiki keadaan hidup dan menggalakkan pembangunan mampan.
“Justeru, kami percaya bahawa rumah panjang baharu ini akan memberi impak yang ketara kepada masyarakat Penan dengan menyediakan mereka persekitaran hidup yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
Menurut kenyataan itu juga, rumah panjang baharu itu akan berfungsi sebagai ruang komunal yang penting bagi menempatkan pelbagai keluarga dan berfungsi sebagai hab untuk aktiviti kebudyaan dan sosial.
Selain itu, dengan menambah baik infrastruktur, ia dijangka memberi kesan positif yang berkekalan kepada masyarakat dengan meningkatkan taraf hidup serta menggalakkan perpaduan yang kukuh.
Di samping itu, SOP juga terus aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat dengan menganjurkan pelbagai program sokongan ekonomi dan sumbangan sosial.
Inisiatif tersebut merangkumi pelbagai bidang, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan bencana dan banyak lagi.
Dedikasi SOP terhadap kesejahteraan masyarakat setempat mencerminkan komitmen berterusannya untuk memberi impak positif kepada seluruh komuniti.






