KUCHING: Sarawak memperkenalkan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2025 sebagai kawal selia yang lebih ketat terhadap aktiviti pembakaran dan pelepasan petroleum serta gas rumah hijau di fasiliti darat dan luar pesisir.
Bagi menyokong inisiatif tersebut, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah mengadakan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh bagi memperkenalkan garis panduan untuk peraturan berkaitan yang akan berkuat kuasa pada 1 November 2025.
Majlis telah dilaksanakan pada 20 Oktober lalu di Hotel Raia dengan menghimpunkan wakil daripada industri minyak dan gas, sektor tenaga, serta rakan strategik utama.
NREB dalam satu kenyataan berkata, sesi itu mempunyai dua tujuan utama iaitu memperjelas keperluan utama secara proaktif, mendapatkan maklum balas pemegang taruh dan menjawab serta mengintegrasikan pandangan bernilai para pemegang taruh.
“Kami percaya sumbangan ini amat penting kerana ia membantu kita merangka garis panduan yang bukan saja praktikal dan adil tetapi juga berkesan bagi memastikan Ordinan baharu ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata kenyataan terbabit.
Sementara itu, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datuk Jack Liam berkata, sebanyak 18 entiti perniagaan daripada sektor minyak, gas dan tenaga telah berdaftar dengan NREB.
“Ini menunjukkan komitmen kukuh dan pematuhan proaktif pemain industri dalam menyelaraskan operasi mereka dengan rangka kerja peraturan negeri serta matlamat iklim,” katanya.
Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2025 turut memperuntukkan pengendali diwajibkan mendapatkan kebenaran awal daripada Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak sebelum menjalani sebarang aktiviti berkaitan Ordinan Alam Sekitar.
Pada masa sama, langkah ini bagi meminimumkan aktiviti pembakaran rutin, selaras dengan inisiatif Bank Dunia ‘Sifar Rutin Pembakaran menjelang 2030’.


