KUCHING: Kontinjen Sarawak giat memperkukuh persiapan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan di sembilan daerah di Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebagai persediaan, perancangan logistik yang menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan penyertaan kontinjen Sarawak berjalan lancar.
“Usaha berkenaan termasuk penyelarasan penginapan, pengangkutan, jadual pertandingan dan pengurusan operasi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, temasya ini juga akan dilaksanakan dalam format yang lebih sederhana dan menjimatkan kos, namun tetap mengekalkan keseluruhan jenis sukan dan acara yang dipertandingkan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, seramai 1,178 atlet didaftarkan di bawah senarai panjang SUKMA selepas penutupan pendaftaran pada 13 Februari lalu.
“Temasya ini akan mempertandingkan 37 jenis sukan dengan 468 pingat emas menjadi rebutan, merangkumi 239 acara lelaki, 211 acara wanita dan 18 acara campuran.
“Kontinjen Sarawak akan mengambil bahagian dalam semua acara kecuali bola sepak wanita dan sofbol wanita,” ujarnya.
Beliau memberitahu, bagi menyelaraskan perancangan strategik dan persediaan, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mengadakan Kem Juara Kontinjen Sarawak dari 1 hingga 7 Mei lepas di Kem Putra Sentosa, Sematan.
Dalam hal berkaitan, beliau menyatakan atlet turut diberikan pendedahan berterusan menerusi pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.



