ARTIKEL

PASANGAN pengembara Poland, Jack dan Hanna ketika melalui perjalanan di Sarawak. | Foto Facebook onemoreadv

Sarawak sangat istimewa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA penghujung perjalanan sejauh lebih 15,000 kilometer dari Poland ke Kapit, bukan sekadar angka pada odometer motosikal berkuasa tinggi milik Hanna Zasada dan Jack Prowadzisz yang bertambah.

Sebaliknya, setiap kilometer yang ditempuh membawa kisah tentang manusia yang ditemui, budaya yang dipelajari serta pengalaman yang mengubah cara mereka melihat dunia.

Sepanjang empat tahun mengembara merentasi 49 negara, pasangan dari Poland itu melalui pelbagai bentuk muka bumi, daripada jalan raya moden hingga laluan lasak yang menguji ketahanan fizikal dan mental.

Namun, selepas menjejakkan kaki di Sarawak, Hanna, 52, mendapati negeri ini menyimpan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar keindahan alam semula jadinya. Perhatian mereka bukan sahaja tertumpu pada kehijauan hutan yang terbentang luas atau perjalanan melalui jalan yang mencabar, malah turut tertarik terhadap keharmonian masyarakatnya yang hidup bersama dalam kepelbagaian. “Inilah kali pertama kami melihat negara yang masyarakatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama seperti Islam, Kristian dan Buddha, tetapi hidup bersama dengan begitu aman.

“Kebiasaannya, percampuran budaya seperti ini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, tetapi di Malaysia, khususnya Sarawak, kami tidak melihat perkara itu,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak. Menurut Hanna, pengalaman itu memberikan gambaran bahawa manusia daripada latar belakang berbeza masih mampu berkongsi ruang kehidupan yang sama tanpa dibatasi oleh perbezaan agama dan budaya. “Ia memberikan kami harapan bahawa seluruh dunia sebenarnya mampu hidup bersama tanpa mencetuskan peperangan.

“Oleh itu, sepanjang berada di Sarawak, kami tidak menggunakan laluan utama, sebaliknya memilih untuk memasuki kawasan dan penempatan yang lebih kecil bagi mengenali kehidupan masyarakat tempatan,” kongsinya. Bermula dari Telok Melano, Gunung Gading, Kuching, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh, mereka meneruskan perjalanan melalui beberapa pekan kecil serta Mukah sebelum tiba di Kapit. Setiap lokasi meninggalkan kisah tersendiri dalam perjalanan mereka.

Namun, antara semua tempat yang dikunjungi, Mukah menjadi lokasi yang paling dekat di hati Hanna. “Mukah benar-benar menambat hati kami,” ujarnya. Bagi Hanna, pengembaraan bukan tentang mencari tempat paling popular atau mengejar jumlah destinasi yang pernah dilawati, sebaliknya, mereka memilih untuk mengenali sesuatu tempat menerusi pengalaman sebenar bersama masyarakat setempat.

“Kami belajar untuk tidak menetapkan sebarang jangkaan ketika melakukan perjalanan ini. “Kami tidak mengharapkan sesuatu yang tertentu berlaku. Kami hanya menerima dan menikmati apa-apa yang ada di hadapan kami,” jelasnya. Menurut Hanna, perkara kecil yang dilakukan oleh penduduk Sarawak menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang perjalanan mereka. “Satu perkara yang sangat kami suka di Sarawak ialah setiap kali kami meninggalkan sesuatu tempat, semua orang akan berkata, ‘Datang lagi’.

“Ungkapan itu membuatkan kami berasa amat dialu-alukan,” tambahnya. Selain Mukah, Kuching turut menjadi antara lokasi yang meninggalkan kesan mendalam kepada pasangan itu. Menurut Hanna, bandar raya berkenaan mempunyai daya tarikan yang sukar dijelaskan, namun tetap membuatkan seseorang ingin berkunjung semula. “Kuching sangat menawan. Kadangkala, kita menyukai  sesuatu tempat tetapi tidak mengetahui sebabnya. Kita hanya merasakan ada sesuatu yang istimewa tentang tempat itu,” kongsinya lagi.

Namun, perjalanan sejauh ribuan kilometer itu bukan sesuatu yang mudah. Di sebalik gambar-gambar indah dan pengalaman menarik yang dikongsikan, pasangan itu turut berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk kemalangan ketika melalui laluan lasak di Pakistan. Bagi Hanna, kejadian itu bukan alasan untuk berhenti kerana risiko merupakan sebahagian daripada perjalanan yang dipilihnya. “Mengapa saya perlu berhenti? Perkara seperti ini boleh berlaku. Itu bukan satusatunya kemalangan yang kami alami, tetapi hanya kejadian itu yang kami kongsikan di YouTube.

“Apabila memilih untuk menunggang melalui laluan lasak dan jalan yang mencabar, anda perlu menerima kemungkinan perkara seperti itu berlaku,” ujarnya. Menariknya, pengalaman tersebut mengajar mereka bahawa tiada sesiapa yang mampu meramalkan perkara yang akan berlaku di jalan raya. “Sesiapa yang memahami dunia penunggangan di laluan lasak tahu bahawa perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk penunggang yang sangat berpengalaman.

“Anda tidak mampu menjangkakan segala-galanya,” katanya. Bagi Hanna, perjalanan bersama-sama Jack bukan sekadar tentang tempat baharu yang dikunjungi, malah turut melibatkan proses mereka belajar memahami antara satu sama lain. Katanya, pengalaman menghabiskan masa bertahuntahun bersama dalam perjalanan mengukuhkan hubungan mereka sebagai pasangan. “Kami mengembara bersama, tetapi masing-masing melalui pengalaman yang berbeza kerana kami melihat perkara yang berlainan. “Saya mungkin melihat sesuatu di sebelah kiri, manakala Jack pula melihat sesuatu di sebelah kanan. Kemudian, kami berkongsi dan berbincang tentang perkara yang dilihat,” katanya.

Tambah Hanna, hubungan mereka menjadi semakin kukuh kerana perjalanan itu mengajar mereka untuk menjadi pasangan dan sahabat baik pada masa yang sama. “Apabila anda menghabiskan masa 24 jam bersama seseorang, anda perlu menjadi sahabat baiknya. Itulah yang berlaku kepada kami,” jelasnya. Selepas merentasi pelbagai negara dan menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer, Hanna percaya sebenarnya ramai yang mempunyai impian untuk mengembara, namun sering menangguhkan hasrat tersebut kerana terlalu memikirkan cabaran yang mungkin dihadapi.

Baginya, perkara paling penting ialah keberanian untuk mengambil langkah pertama. “Jangan tunggu. Jika anda mahu melakukannya, lakukan sahaja. “Sudah tentu persediaan itu penting, terutama jika perjalanan berkenaan mengambil masa yang panjang. Namun, jangan terlalu banyak berfikir sehingga akhirnya anda langsung tidak memulakan perjalanan. “Apa-apa sahaja yang terlupa dibawa mungkin boleh diperoleh di tempat yang anda kunjungi,” katanya. Sementara itu, Jack, 56, melihat Sarawak daripada sudut yang berbeza, iaitu sebagai negeri yang berjaya mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan alam semula jadi.

“Sebelum tiba di Sarawak, kami tidak menyangka negeri ini melaksanakan usaha pemuliharaan alam sekitar pada skala yang begitu besar. “Kami sangat menyukai alam semula jadi. Kami gembira kerana Sarawak bukan hanya tertumpu pada industri kelapa sawit, malah turut memelihara alam semula jadi dan melaksanakan pelbagai usaha untuk melindungi alam sekitar,” tambahnya. Sebagai penunggang motosikal pengembaraan, Jack turut memuji keadaan jalan raya di Sarawak yang membolehkan mereka meneroka lebih banyak kawasan.

“Saya tahu bahawa bagi penduduk tempatan, jalan raya yang baik sangat penting. “Namun, mungkin tidak semua jalan perlu diturap. Sesetengah jalan kecil boleh dikekalkan kerana keadaan itu dapat mengehadkan jumlah pengunjung, memelihara alam sekitar dan memberikan pengalaman yang lebih dekat dengan kehidupan semula jadi,” jelasnya. Dalam pada itu, Jack berkata, perjalanan mereka bukan bertujuan mengejar jumlah negara yang dilawati, sebaliknya untuk memahami setiap tempat yang disinggahi. Oleh sebab itu, mereka memilih untuk melalui kawasan yang lebih kecil seperti Kapit bagi melihat sendiri kehidupan masyarakat tempatan.

Selepas meninggalkan Kapit, pasangan itu akan meneruskan perjalanan ke Baram sebelum menjelajah ke destinasi seterusnya. Segala pengalaman sepanjang perjalanan berkenaan akan dirakam menerusi vlog di YouTube. Mereka juga merancang untuk menghasilkan buku serta berkongsi kisah pengembaraan dalam festival pengembaraan selepas kembali ke Poland. Bagi Hanna dan Jack, perjalanan sejauh lebih 15,000 kilometer itu bukan sekadar catatan jarak yang ditempuh, tetapi himpunan kisah tentang manusia, budaya dan dunia yang masih mempunyai ruang untuk hidup dalam keharmonian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, malam semalam. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat