KUCHING: Sarawak menetapkan aspirasi untuk membangunkan nanosatelit pertamanya menjelang 2030 menggunakan teknologi CubeSat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata nilai usaha itu bukan sekadar untuk menempatkan satelit ke orbit, sebaliknya terletak pada data dan maklumat yang dapat dihasilkan daripada imejan bumi dan geolokasi kepada maklumat strategik yang boleh menyokong perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber.
Beliau berkata data berkenaan boleh disimpan serta dianalisis untuk membantu Sarawak memahami dengan lebih baik tanah, sumber dan alam sekitar, serta menggunakannya bagi menyokong perancangan dan pembuatan keputusan yang lebih baik.
“Data yang disediakan boleh menyokong sektor pertanian, perhutanan, pengurusan alam sekitar, tindak balas bencana dan pengurusan sumber asli, di samping mewujudkan peluang untuk penyelidikan, kejuruteraan dan perniagaan baharu.
“Dengan cara ini, minat kita terhadap angkasa lepas mempunyai kaitan rapat dengan apa yang sedang kita bina di bumi.
“Teknologi mungkin berkembang hingga ke orbit, tetapi nilainya pada akhirnya kembali kepada ekonomi kita, industri kita dan rakyat kita,” katanya ketika berucap sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-9 (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Justera, Abang Johari berkata inisiatif pendidikan dan latihan aeroangkasa, institusi pengajian tinggi serta Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak sedang membantu membangunkan kemahiran, pengetahuan dan kapasiti institusi yang diperlukan untuk menyokong bidang berkenaan.
Katanya Skim Pendidikan Tinggi Percuma yang bermula tahun ini dan merangkumi 64 program ijazah sarjana muda turut menjadi pelaburan dalam pengetahuan, kemahiran dan keupayaan generasi muda untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Abang Johari berkata keperluan tenaga kerja masa depan semakin khusus, dengan kecerdasan buatan (AI) memerlukan kepakaran dalam pengkomputeran dan data, manakala industri semikonduktor dan aeroangkasa memerlukan kepakaran dalam kejuruteraan, elektronik, komunikasi serta bidang khusus lain.
Beliau berkata hubungan yang lebih kukuh antara pendidikan, latihan dan industri perlu terus dibangunkan bagi membolehkan golongan muda menterjemahkan pengetahuan serta kemahiran mereka kepada kerjaya dan menyumbang kepada industri masa hadapan.
“Golongan muda kita mesti dilengkapi bukan sahaja untuk menggunakan teknologi, tetapi mengaplikasikannya secara kreatif dan bertanggungjawab,” katanya.
Abang Johari berkata Sarawak tidak perlu membangunkan setiap teknologi atau bidang kepakaran secara bersendirian, sebaliknya kerjasama dengan industri, universiti, institusi penyelidikan dan rakan antarabangsa boleh mempercepatkan proses pembelajaran serta membuka akses kepada pengetahuan yang belum tersedia secara tempatan.
“Pada masa sama, perkongsian ini harus memperkukuh keupayaan kita sendiri.
“Kita mahu pelaburan dan kerjasama mewujudkan hubungan yang lebih kukuh dengan bakat Sarawak, perniagaan tempatan, institusi penyelidikan dan rantaian bekalan, supaya manfaatnya melangkaui aktiviti ekonomi segera dan menyumbang kepada pembangunan kita dalam jangka masa yang lebih panjang,” katanya.






