ARTIKEL

Sarawak Skills Pekerja mahir, negara maju

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM era ekonomi berasaskan teknologi dan persaingan global yang semakin sengit, negara maju di seluruh dunia berkongsi satu persamaan penting iaitu mereka meletakkan pendidikan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tulang belakang pembangunan tenaga kerja.

Dari Jerman hingga Korea Selatan, kejayaan industri berteknologi tinggi dan pertumbuhan produktiviti negara mereka tidak bergantung semata-mata pada lulusan universiti, tetapi juga pada kelompok besar pekerja mahir yang dilatih melalui sistem pendidikan teknikal yang kukuh dan dipacu oleh industri.

Di Malaysia,  landskap pendidikan dan pekerjaan turut berubah. TVET semakin menjadi tumpuan sebagai pemacu utama kemahiran masa depan.

Namun, dalam kalangan masyarakat, persepsi lama masih wujud bahawa TVET adalah pilihan terakhir bagi mereka yang tidak cemerlang dalam akademik atau tidak berpeluang memasuki universiti.

Tanggapan sebegitu bukan sahaja tidak tepat, malah menghalang ramai anak muda daripada melihat potensi besar yang ditawarkan oleh laluan teknikal dan vokasional ini.

Menurut Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri, yang juga Pengerusi Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC), masyarakat masih terikat dengan pandangan tradisional terhadap kerjaya teknikal.

“Dahulu, TVET sering dikaitkan dengan kerja 3D — kotor, berbahaya dan sukar.

Namun, realiti hari ini jauh berbeza.

TVET kini merangkumi bidang moden dan berteknologi tinggi termasuk automasi pintar, mekatronik, robotik, teknologi dron, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan digital.

“Malah, negara maju seperti Jerman menjadikan sistem vokasional sebagai teras pembangunan ekonomi mereka.

Industri di sana bukan sahaja bekerjasama rapat dengan pusat latihan, tetapi turut membangunkan kurikulum dan menyediakan fasiliti latihan sebenar.

“Sebab itulah tenaga kerja mereka sentiasa berkualiti dan bersedia menghadapi perubahan teknologi,” jelasnya dalam temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak di Sarawak Skills baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia sudah menuju ke arah itu melalui penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET).

Namun, peranan industri tempatan masih perlu dipertingkatkan agar ekosistem latihan kemahiran negara  menjadi lebih mantap dan mampan.

Bagaimanapun, salah satu cabaran utama di Malaysia ialah kebergantungan yang tinggi kepada kerajaan untuk menanggung kos latihan.

Hallman percaya industri perlu lebih agresif melabur dalam pekerja TVET, bukan sekadar menunggu tenaga kerja siap dilatih.

Pelaburan jangka panjang dalam kemahiran bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, tetapi juga memastikan negara memiliki tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat global.

Lebih penting, TVET terbukti menjadi alat mobiliti sosial yang berkesan.

Di Sarawak Skills, sebahagian besar pelajarnya datang daripada keluarga B40, malah ada yang bermula dengan kerja asas di kampung atau sebagai awak-awak di kapal kecil.

Melalui latihan terstruktur dan pendedahan kepada teknologi moden, ramai antara mereka kini bekerja sebagai juruteknik profesional dengan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,500 sebulan, malah ada yang bertugas dalam sektor minyak dan gas atau mengendalikan sistem automasi kompleks.

Kejayaan ini, ujarnya, bukan kisah luar biasa, tetapi bukti bahawa TVET menawarkan peluang kerjaya yang luas dan stabil, malah kadangkala lebih cerah berbanding laluan akademik tradisional.

Banyak pekerjaan masa depan seperti pakar teknologi automasi, juruteknik rangkaian, pengendali dron komersial dan pakar sistem tenaga tidak memerlukan ijazah universiti. Sebaliknya, ia memerlukan kemahiran teknikal khusus yang disediakan melalui TVET.

Namun, untuk menjadikan TVET arus perdana, cabaran persepsi masyarakat perlu ditangani segera.

“Ramai ibu bapa masih menganggap universiti sebagai satu-satunya laluan untuk masa depan yang cerah. Padahal, kerjaya teknikal hari ini menawarkan pendapatan tinggi, kestabilan pekerjaan serta peluang kenaikan pangkat yang luas.

“Ketika ramai lepasan universiti bergelut mencari pekerjaan, lepasan TVET sering menerima tawaran sebelum menamatkan latihan,” jelasnya.

Di pihak industri pula, syarikat kecil dan sederhana (PMKS) perlu menguba cara berfi kir.

Masih ramai melihat teknologi sebagai kos, bukannya pelaburan.

Sarawak Skills kini bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini untuk memperkenalkan teknologi secara berperingkat, bermula dengan automasi mudah sebelum menunjukkan kesan positif sistem yang lebih kompleks.

Apabila mereka melihat peningkatan produktiviti dan penjimatan kos, barulah mereka bersedia menerima pekerja mahir TVET dan mengadaptasi teknologi baharu.

Selain itu, ujarnya, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga mahir asing dalam sektor berteknologi tinggi seperti perladangan, pembuatan dan fabrikasi.

Pada masa sama, ramai pekerja mahir tempatan berhijrah ke luar negara kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.

Jika situasi ini tidak ditangani, negara akan terus berdepan kekurangan bakat dan lambat mengejar revolusi industri baharu.

Akhirnya, negara yang maju ialah negara yang membina kekuatan melalui rakyatnya.

Armada digital, automasi, tenaga hijau dan industri pembuatan moden tidak akan  berkembang tanpa tenaga mahir tempatan.

TVET bukan lagi pilihan kelas kedua. Ia adalah laluan masa depan yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga, menggerakkan ekonomi negara dan membina generasi muda yang lebih bersedia menghadapi dunia kerja sebenar.

Sudah tiba masanya masyarakat melihat TVET bukan melalui kaca mata lama, tetapi sebagai pilihan kelas pertama, iaitu pilihan yang menawarkan kerjaya bermakna, pendapatan stabil dan masa depan yang lebih terjamin.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU