MUKAH: Pasukan Sarikei berjaya melangkah ke separuh akhir Pusingan Akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023.
Skuad bandar nanas itu mengejutkan Kuching (1-0) pada aksi terakhir di Stadium Mukah petang tadi.
Sekali gus, pasukan ketiga berada dalam kelompok empat terbaik setakat ini.
Amirul Safwan Hasdi Susalman muncul wira Sarikei apabila menjaringkan gol kemenangan minit ke-90.
“Lega dan gembira dengan kemenangan yang diperoleh pemain pada perlawanan tersebut.
“Pemain berjaya menterjemah strategi yang diguna pakai sepanjang perlawanan,” ujar pengurus pasukan Sarikei, Khairulddin Qalam Daud ketika ditemui Arena Suara Sarawak.
Menurut Qalam, pemain diberi tentangan cukup hebat oleh pasukan Kuching sepanjang tempoh 90 minit.
Namun, berjaya menyerap tekanan terutama serangan yang dilancarkan pemain The City Boys Junior.
Apa pun, Qalam memuji karektor dipamerkan para pemainnya pada perlawanan tersebut.
“Semangat juang dipamer pemain nyata cukup hebat dan diharap akan menjadi inspirasi untuk mereka mengharungi perlawanan separuh akhir nanti,” tambah Qalam lagi.




