KUCHING: Hasrat untuk melahirkan graduan dalam satu keluarga tercapai seiring dengan tumpuan yang diberikan dalam pembangunan pendidikan, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Malah menurutnya, bilangan graduan dalam sesebuah keluarga melebihi sasaran, melepasi slogan ‘sebuah keluarga, seorang graduan’.
“Tujuan kita menggalakkan seorang (daripada anak-anak dalam sesebuah keluarga) pelajar bergraduan adalah untuk menjadi teladan kepada adik-adik mereka.
“Apabila kakak atau abang mereka bergraduat, ia mempengaruhi adik-adik yang lain. Keadaan ini akan mendorong kepada kejayaan yang bersambung dalam keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kawasan DUN Pantai Damai di Auditorium Wisma Sabati di sini, hari ini.

BERCAKAP… Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar anak-anak yang bakal menyambung pengajian dapat memanfaatkan peluang berkenaan, seterusnya mendapat pekerjaan yang baik.
“Tetapkan niat untuk menerima ilmu dengan baik agar dapat bergraduan dan membantu ibu bapa, selain menjadi inspirasi kepada adik-adik.
“Setelah mendapat pekerjaan yang baik, ia sekali gus membantu keluarga untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” ujarnya.
Sementara, Abdul Rahman merangkap ADUN Pantai Damai menyampaikan bantuan insentif kepada 257 pelajar dari kawasan DUN Pantai Damai sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.



