KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka bakal memberikan penjelasan lanjut esok berhubung rundingan tuntutan hak pemberian khas 40 peratus hasil bagi negeri Sabah.
Isu yang berakar umbi daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu melibatkan semakan semula hak kewangan yang sekian lama menjadi subjek rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri.
“Itu saya akan jelaskan esok di Sabah. Saya akan ke Sabah,” ujar Anwar ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Perdana Menteri itu menyusul selepas Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, mendedahkan bahawa pentadbiran pusat kini komited untuk memperbetul pendirian rasmi kerajaan terdahulu mengenai isu berkenaan.
Menurut Armizan, yang juga memegang portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, komitmen tersebut selaras dengan pengiktirafan Anwar terhadap hak perlembagaan Sabah seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.



