ARTIKEL

Datuk Jonathan Chai Voon Tok (empat kiri) dan ahli majlis SBF merakam foto bersama-sama Dr Hennadii Nadolenko (lima kiri) semasa kunjungan hormat Duta Ukraine ke Malaysia itu di pejabat SBF.

SBF, Ukraine perkukuh peluang kerjasama ekonomi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) menyambut baik kunjungan hormat Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Dr Hennadii Nadolenko ke pejabatnya semalam sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama perniagaan.

Kunjungan berkenaan disambut oleh Presiden SBF, Datuk Jonathan Chai Voon Tok bersama-sama ahli majlis persekutuan itu.

Datuk Jonathan Chai Voon Tok menyampaikan cenderahati kepada Dr Hennadii Nadolenko.

Pertemuan tersebut menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan berkaitan pelbagai perkara berkepentingan bersama, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Dalam suasana mesra dan konstruktif, kedua-dua pihak membincangkan potensi memperluas hubungan perdagangan dua hala serta mengenal pasti peluang baharu dalam sektor strategik yang boleh diterokai bersama.

Antara bidang yang diberi perhatian ialah sektor tenaga, termasuk tenaga boleh diperbaharui dan teknologi berkaitan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk kerjasama masa depan, pertukaran inovasi serta pembangunan mampan.

SBF dan pihak Ukraine turut menekankan kepentingan mempererat hubungan antara komuniti perniagaan kedua-dua wilayah menerusi jaringan perniagaan yang lebih luas, saluran komunikasi lebih berkesan serta hubungan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

Selain itu, perbincangan turut menyentuh peluang mewujudkan kerjasama institusi antara organisasi berkaitan di Ukraine dan Sarawak bagi membentuk rangka kerja yang lebih tersusun untuk kerjasama jangka panjang.

SBF berkata, pihaknya komited dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi perniagaan yang terbuka serta mesra pelabur, selain menyokong usaha yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi menerusi kerjasama strategik dan hubungan rentas sempadan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan usaha berterusan SBF dalam membina hubungan bersama rakan antarabangsa serta menyediakan ruang dialog yang mampu membuka peluang pertumbuhan perniagaan dan kerjasama ekonomi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU