KUCHING: Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) bakal menyemarakkan kesedaran kanser kanak-kanak menerusi kempen Light It Up Gold 2026.
Ia melibatkan program Jalan Kaki Kesedaran Kanser Kanak-Kanak sejauh 3 kilometer di Kuching Waterfront dan Jambatan Darul Hana, 5 September ini.
Program sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak itu dijangka menghimpunkan 500 peserta sebagai tanda solidariti kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser serta keluarga mereka.
Sumbangan penyertaan sebanyak RM50 seorang disasarkan mampu mengumpulkan sekurang-kurangnya RM25,000 untuk membantu SCCS meneruskan sokongan kepada pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka.
Presiden SCCS, Mary Kiu Ai Ling berkata, kempen berkenaan bukan sekadar platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, sebaliknya peluang untuk menterjemahkan sokongan kepada bantuan yang benar-benar diperlukan keluarga pesakit.
“Perjalanan menghadapi kanser bukan sahaja memberi cabaran dari sudut rawatan perubatan, malah turut melibatkan keperluan tempat tinggal, makanan, pengangkutan, kewangan dan sokongan emosi.
“Light It Up Gold menjadi usaha untuk menjadikan kanser kanak-kanak lebih dikenali, difahami dan dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, penyertaan ini menunjukkan solidariti kepada kanak-kanak yang sedang melawan kanser sekali gus membantu mewujudkan sedikit harapan buat mereka dan keluarga.
Program tersebut turut mendapat sokongan City Joggers Club, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), GaoGao Group, Tea FM dan St John Ambulance Sarawak sebagai rakan acara, manakala Go Beyond bertindak sebagai penaja acara.
Orang ramai yang ingin menyertai program itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi atau menghantar pesanan WhatsApp di talian SCCS 011-3927 6553.
Pertubuhan yang berminat menyokong SCCS menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula boleh terus ke em1@sccs.org.my.



