KUCHING: Kumpulan rock dan metal ikonik tanah air, Search dan XPDC tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) petang tadi bagi menghadiri sesi persiapan akhir menjelang Konsert Fenomena Samurai yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Stadium Perpaduan.
Mereka terdiri daripada anggota Search iaitu Din, Kid, Pasya, Wan Braka dan Minn serta barisan XPDC yang dianggotai Mamu, Izo, Arif, Eddy dan Lola yang dilihat keluar dari pintu ketibaan sekitar jam 3.35 petang.


Selepas menyapa dan bergambar bersama pihak media, kedua-dua kumpulan berkenaan beredar ke kenderaan masing-masing untuk ke hotel sebelum meneruskan jadual mereka termasuk sesi temu bual bersama TVS.
Konsert Fenomena Samurai akan menampilkan lebih empat jam persembahan gabungan Search dan XPDC, selain sesi bertemu peminat khusus untuk pemegang tiket VIP pada malam sebelum konsert, serta pelbagai aktiviti jualan dan pameran barangan rasmi bermula jam 2.00 petang pada hari acara.
Sudahkah warga Kuching bersedia dengan gegaran rock dan metal daripada Search dan XPDC dalam Konsert Fenomena Samurai hujung minggu ini?



