KUCHING: Sebanyak 22 titik panas dikesan di Sarawak, menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negeri itu apabila lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 8 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Azuri Azizah Saedon berkata, Serian merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 171, diikuti Kuching dan Samarahan yang masing-masing mencatatkan bacaan 154.
“Dua lagi kawasan yang turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman dengan IPU 139 dan Bintulu (124).
“Keadaan itu menjadikan Sarawak negeri dengan jumlah kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat paling ketara dalam laporan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Azuri memaklumkan kemerosotan kualiti udara berlaku susulan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, terutama di Sarawak, yang dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 Ogos, katanya, sebanyak 25 titik panas dikesan di Malaysia, dengan 22 daripadanya berada di Sarawak, manakala dua di Selangor dan satu di Terengganu.
“Pada masa sama, sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan dan 17 lagi di Sumatera, menunjukkan aktiviti kebakaran turut berlaku di beberapa kawasan serantau.
“Peta Jerebu Serantau ASMC menunjukkan kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat sebelum bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan dan bahagian tengah Sarawak, manakala kepulan asap ringan hingga sederhana dilihat di beberapa kawasan Sumatera dan timur Pulau Jawa,” katanya.
Menurut beliau, keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN turut menyumbang kepada keadaan jerebu dan meningkatkan risiko kebakaran terbuka, khususnya di kawasan yang mudah terbakar.
Susulan keadaan itu, katanya, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Orang ramai, khususnya pemilik tanah, dinasihatkan supaya memantau kawasan mudah terbakar seperti hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan tapak pelupusan sampah serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” katanya lagi.



