ARTIKEL

SEDA perkukuh sektor Tenaga Lestari, pacu ekonomi negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus komited untuk memperkukuh sektor Tenaga Lestari (TL) dengan tujuan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia serta akan terus menyokong seluruh program dan polisi kerajaan dalam sektor tenaga, bekerjasama dengan pihak industri, masyarakat dan badan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Hamzah Hussin berkata TL memerlukan kedua-dua aspek merangkumi tenaga boleh baharu (TBB) dan kecekapan tenaga (KT) untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan kesan perubahan iklim serta melindungi alam sekitar.

“Malaysia telah mewartakan lima sumber TBB di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725] iaitu solar fotovoltaik (PV), hidrokuasa kecil, biogas, biojisim dan geoterma untuk dilaksanakan di bawah mekanisme tarif galakan (FiT).

“Namun begitu, hanya empat sumber iaitu solar PV, hidrokuasa kecil, biogas, biojisim telah dilaksanakan di Malaysia. Manakala, tiada loji janakuasa geoterma yang telah beroperasi,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

SEDA Malaysia merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan fungsinya menjalankan program-program berkaitan TL termasuk meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan industri ini.

“Sumbangan SEDA dalam industri TL sejak penubuhannya termasuk peningkatan kapasiti terpasang TBB, menyokong amalan kecekapan tenaga dalam sektor komersial dan industri serta menyumbang kepada aspirasi negara untuk pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan pencapaian sasaran TL,” katanya.

Hamzah berkata SEDA turut menyediakan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu (MyRER) yang dilancarkan oleh kerajaan pada 2021.

Skop MyRER merangkumi tiga tindakan iaitu menilai garis dasar kapasiti terpasang dan potensi sumber TBB, membangunkan rencana dan sasaran teknologi khusus TBB serta membangunkan satu pelan strategik.

“MyRER merupakan rujukan utama kami dari segi sasaran dan pelan tindakan utama sehingga tahun 2035 iaitu mencapai 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035 daripada sumber TBB (termasuk hidrokuasa besar) dalam pembekalan elektrik negara.

“MyRER mampu menyumbang secara berkesan kepada pembangunan sosio-ekonomi dan dijangka dapat menyumbang kepada penawaran pekerjaan hijau serta pelaburan swasta.

Kerajaan menyasarkan sebanyak 44,068 peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan kumulatif sebanyak RM31.88 bilion menjelang 2035,” katanya.

Antara program utama yang dilaksanakan oleh SEDA adalah Tarif Galakan (FiT), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE), Program Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG) dan kursus latihan yang merangkumi kedua-dua sektor TBB dan KT.

“Bagi menggalakkan penggunaan TBB, mekanisme FiT dilaksanakan di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.

Pemegang kelulusan galakan FiT boleh menjual tenaga elektrik yang dihasilkan oleh mereka kepada syarikat utiliti dengan kadar tarif yang ditetapkan.

“Program SAVE adalah program khas untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan dan kecekapan tenaga melalui pemberian rebat untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang.

“Manakala program NEM, pengguna yang memasang sistem solar PV akan dapat menikmati penjimatan bil elektrik bulanannya. Sekiranya terdapat lebihan penjanaan tenaga elektrik pada bulan tersebut, ia akan dieksport ke grid dan seterusnya diimbangi ke dalam bil elektrik,” katanya.

Mengakhiri temu bual, Hamzah berkata tanggungjawab yang digalas oleh SEDA Malaysia untuk menjayakan pelbagai agenda TL negara merupakan satu amanah yang amat besar dan penting serta beliau berharap SEDA akan terus kekal relevan sebagai agensi peneraju dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari. – BERNAMA

BERITA LAIN

2,248 usahawan mikro tingkat skala perniagaan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,248 usahawan mikro di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) direkodkan berjaya meningkatkan skala perniagaan kepada kategori perusahaan kecil atau sederhana pada tahun

Pelaburan tenaga perlu pulangan saksama

KUALA LUMPUR: Projek intensif tenaga perlu dinilai bukan hanya berdasarkan nilai pelaburan, malah dari segi kesiapsiagaan infrastruktur, kecekapan tenaga, penyertaan pembekal tempatan, pembangunan kemahiran dan

BERITA TERBARU

Pengundi muda luar kawasan jadi cabaran PRS Youth

KUCHING: Memastikan pengundi muda yang belajar dan bekerja di luar kawasan pulang menunaikan tanggungjawab pada 12 Disember menjadi cabaran utama Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak

Kempen Bersemuka Masih Relevan

KUCHING: Individu yang sudah turun berkempen, aktif di media sosial atau memakai pakaian Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum boleh dianggap sebagai calon rasmi selagi belum