Beberapa helai rambut yang menutupi dahi si kecil dirapikan oleh Dayang. Walaupun anaknya sudah berusia enam tahun, dia tetap melayan Diana seperti bayi kecil.
Usai sahaja menjemput Diana dari tadika tadi, anak perempuan itu terus menghabiskan sebungkus nasi ayam sebelum terlena di atas ranjang dalam keadaan masih berseragam sekolah.
Mungkin kerana terlalu lelah dek lama menanti untuk dijemput. Maklumlah, tugas Dayang sebagai seorang guru di sekolah terlalu banyak sehingga kadang-kadang terlupa akan jadual persekolahan puteri tunggalnya itu.
Mujur guru di tadika menghubunginya tadi.
Setelah memastikan permata hatinya tidur nyenyak, Dayang pun mengatur langkah ke dapur.
Baju kurung yang dipakainya untuk bekerja tadi belum ditukar. Hanya sempat menanggalkan tudung sebelum menguruskan Diana yang sudah kelaparan.
Sekarang pula dia tergesa-gesa menyiapkan makanan tengah hari untuk si suami yang akan pulang pada petang nanti.
“Eh abang dah balik? Tunggu sekejap, saya nak panaskan lauk,” Dayang sedikit terkejut menyedari kehadiran suaminya di hadapan pintu rumah.
Jarang sekali Sudirman pulang dari tempat kerjanya seawal begini.
Sewaktu musim wabak COVID-19 melanda bumi, ramai pekerja yang hilang pekerjaan mereka termasuk Sudirman.
Sebelum ini, dia bekerja di sebuah syarikat besar dengan gaji yang tinggi tetapi diberhentikan kerana syarikat mengalami banyak kerugian dan terpaksa ditutup akibat kesan wabak.
Nasib baik Dayang masih mampu membantu menyara keluarga kecil mereka sepanjang Sudirman mencari pekerjaan baharu.
Kini, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang kasut. Kendatipun bergaji rendah, Sudirman sentiasa bersyukur dengan segala rezeki yang diberikan asalkan dia mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua keluarga.
Tidak mahu selalu membebankan isterinya.
“Awak tak payah sediakan banyak lauk sangat. Lagipun awak tu penat juga baru lepas mengajar,” Sudirman lalu menanggalkan dua biji butang bajunya sebelum duduk menunggu di meja makan.
Tidak lama kemudian, Dayang menghidang semangkuk kari ayam dan sepinggan sayur kangkung goreng belacan.
Lauk yang mudah dan cepat dihidangkan kerana Dayang sering menyimpan lauk yang dibekukan di dalam peti sejuk.
Jika hendak makan, baru dikeluarkan lalu dipanaskan.
Cara penyimpanan makanan ini sudah lama diamalkannya sejak berkahwin untuk menjimatkan masa kerana terlalu sibuk bekerja.
“Abang ada berita baik ni. Awak duduklah dulu. Kita makan bersama.”
“Apa dia, bang?”
Baru sahaja Dayang mahu kembali ke dapur untuk mencuci pinggan, si suami terus menarik tangannya. Sudirman lantas mencedok nasi hangat ke atas pinggan isteri tercintanya.
“Abang dah dapat kerja baru. Bos dari syarikat lama abang telefon tadi. Dia kata ekonomi syarikat dah pulih semula dan abang diminta untuk kembali bekerja di sana. Abang pun terus setuju,” kata Sudirman dengan rasa teruja.
Sebagai seorang suami, Sudirman selalu merasa malu dengan dirinya kerana Dayang lebih banyak bekerja demi mencari nafkah untuk mereka sekeluarga. Sedangkan itu merupakan peranannya sebagai suami. Sudirman berharap agar beban isterinya berkurang selepas dia mendapat kerja dengan gaji yang lebih besar.
“Alhamdulillah, saya gembira mendengarnya abang,” ucap Dayang. Sejujurnya dia kasihan melihat si suami yang bekerja tidak tentu masa. Kadang-kadang sampai pagi. Kadang-kadang juga sampai lewat malam. Kesihatannya pun sering terabai.
“Lepas ini, bolehlah awak menulis semula. Saya rindu nak tengok awak bahagia mengejar mimpi awak,” Sudirman mengenggam tangan halus Dayang sambil menatapnya dengan penuh kasih sayang.
“Abang … ” bicaranya terkunci dan matanya berkaca.
Banyak impiannya yang terkubur semata-mata demi menghidupkan keluarga kecilnya. Meskipun Sudirman tidak pernah menghalang keinginan isterinya, Dayang tetap ingin fokus sepenuhnya dalam menguruskan kebajikan keluarga. Sehinggakan dia sanggup meninggalkan segala cita-citanya dalam bidang penulisan.
Kata-kata Sudirman tadi umpama pawana yang bertiup ke dalam rongga telinga kemudian berlegar dalam kotak fikiran. Memang benar, sejak dulu Dayang mempunyai rasa ghairah berkarya yang menebal di dada. Jika boleh digambarkan angan-angannya, Dayang ingin menjadi penulis yang terkenal dan bersinar seperti kejora. Namun, semakin bertambah usia, kejora itu semakin malap dan gugur bersama cahaya mimpinya.
Tangan Sudirman yang merangkul pinggang Dayang dilepaskan. Wanita itu perlahan-lahan bangkit dari tempat tidurnya. Satu kucupan sayang sempat hinggap di pipi si suami. Dayang pun menuju ke bilik stor lalu mencari sesuatu. Sesuatu yang berharga dan menyimpan hal yang disembunyikannya selama ini. Lampu pendafluor menerangi ruangan sempit yang berhawa debu itu.
“Akhirnya, jumpa juga!” sebuah bekas tin biskut yang sudah berkarat dikeluarkan dari timbunan kotak dan barangan lama.
Secara perlahan, Dayang pun membuka tin biskut tersebut dan terdapat sepucuk surat di dalamnya. Seakan-akan sudah lebih sepuluh tahun bekas itu tidak dibuka sehingga kertas surat tersebut sudah bertukar kekuningan.
Jika kebiasaannya tin biskut lama diisi dengan alat menjahit seperti benang dan jarum, tin biskut milik Dayang tersimpan sehiris hatinya.
Jemari Dayang meraba permukaan kertas. Dia masih ingat air matanya yang menitis ke atas kertas ini sebelum ia disimpan dan disembunyikan di dalam tin biskut. Terlupakan dan diabaikan. Ada mimpi dan harapan rapuh yang dia tuliskan dalam surat itu.
Surat tanpa nama penerima. Surat yang melambangkan sehiris hatinya demi sebahagian hati lain.
********
Warkah sehiris hati.
Kata ibu, hidup perempuan itu punya jambatan yang lurus. Ada matlamat yang ditetapkan oleh fitrah kehidupan dan masyarakat. Tiang-tiang jambatannya pula berdiri kukuh oleh tradisi lama. Perempuan tidak dibenarkan berlari. Tidak boleh juga terbang atau berenang. Harus berjalan menyeberangi jambatan dengan langkah kaki yang serentak dan seirama seperti perempuan-perempuan terdahulu.
Sejak kecil, dalam dadaku tumbuh segunung jiwa yang memuja buku.
Di saat gadis-gadis kecil seusiaku sedang bermain masak-masak atau batu seremban di beranda rumah, aku berjalan kaki ke perpustakaan desa yang tidak jauh dari rumah. Setiap kali aku menjejakkan kaki di sana, kebahagiaan membentuk taman bunga dalam kalbuku. Bau kertas dan debu buku umpama aroma masakan yang dimasak oleh seorang cef terkemuka. Pasti tangan ini akan mencapai mana-mana buku dari atas rak lalu duduk membeleknya. Sebelum pulang pula, beberapa naskah buku dipinjam untuk dibawa balik ke rumah.
Membaca adalah suatu ketagihan yang sukar untuk aku kawal. Di sekolah, guru-guru memuji kerajinanku kerana gemar menelaah buku. Kebanyakan buku teks pelajaran sudah aku baca berulang kali. Bahkan buku-buku di pusat sumber sudah hampir semua aku pinjam dan baca.
Berbeza pula di rumah. Ibu selalu mempertikaikan minatku.
“Anak orang lain pergi sekolah juga, tak adanya sampai kerja membaca saja siang malam. Buang masa saja!”
“Jangan pandai sangat, nanti tak ada lelaki yang nak jadikan kau isteri.”
“Daripada kau menghadap buku lama-lama, lebih baik kau belajar memasak. Nanti suami kau cari lain kalau dapur kau tak pernah berasap.”
Kata-kata sindiran ini sudah sering dilafazkan oleh ibuku sepanjang aku menginjak usia remaja. Sampai satu tahap aku sudah lali. Kerja-kerja di rumah aku selalu laksanakan memandangkan aku satu-satunya anak dara ibu. Dari kerja memasak di dapur sehingga membersihkan rumah, aku tidak pernah mengeluh walaupun abang dan adik lelakiku tidak pernah membantu.
Cuma di saat masa lapang dan aku mengisinya dengan aktiviti membaca, pasti ada ayat-ayat runcing dari mulut ibu menusuk hatiku. Adakalanya aku bingung. Adakah salah menjadi perempuan yang cinta terhadap buku? Adakah kaum Hawa tidak boleh berilmu?
Semua persoalan yang bergejolak dalam fikiran aku zahirkan dalam tulisan. Setiap aksara yang tersusun merupakan luahan dan pemikiran yang tidak mampu aku sampaikan secara lisan. Tiada yang mahu mendengarkannya. Namun, setiap kali karyaku tersiar di akhbar-akhbar tempatan, aku merasa suatu kepuasaan yang tidak terkata. Tidak menyangka ada yang sudi membaca tulisan kecilku.
Sejak itu, aku mula aktif menulis karya eceran seperti cerpen. Hasil wang honorariumnya pula aku gunakan untuk cuba membeli hati ibu. Aku berikan hadiah sepasang baju kurung, sehelai kain batik berjenama, dan sebatang gincu merah kegemarannya. Akan tetapi, tiada satu pun dari hadiah tersebut mampu membuka matanya untuk melihat perempuan yang membaca dan menulis itu boleh mengubah nasib hidup.
“Setakat upah kecil menulis kau tu, aku tak pernah ingin,” cemuh ibu. Organ dalaman sarat emosi dan penuh parut ini sentiasa cuba memaafkan ibu. Meskipun adakala ucapannya menggores luka.
Tamat zaman sekolah menengah, aku mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Alangkah gembiranya aku kerana dapat membuktikan kepada semua orang, terutamanya ibu bahawa perempuan juga boleh berjaya.
“Alang-alang keputusan bagus tu, jadilah cikgu atau doktor. Terjamin sikit masa depan kau. Kalau kau nak sambung belajar dalam bidang penulisan, memang tak ke manalah,” sindir ibu tanpa mengucapkan tahniah atas pencapaianku.
Satu per satu mimpiku direnggut oleh ibu. Menjadi seorang perempuan yang masih di bawah jagaan orang tua membatasi pilihanku untuk mengatur laluan hidup. Pada akhirnya aku melanjutkan pengajian dalam pendidikan bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya aku masih boleh bermain dengan aksara serta kata-kata. Hal yang aku minati.
Setahun selepas bergraduasi, aku mengajar di salah sebuah sekolah di bandar. Ibu merupakan orang pertama yang paling teruja menceritakan pekerjaanku kepada orang-orang kampung. Anak gadis pertama di kampung yang menjadi guru. Maklumlah, pada zaman itu kebanyakan anak-anak muda di kampung jarang ada yang mahu merantau ke luar kerana risau akan budaya bandar.
Disebabkan kerjaya aku sebagai seorang pendidik, ibu tak pernah lagi mempertikaikan minatku dalam penulisan. Bahkan setiap kali cerpenku tersiar di surat akhbar tempatan, ibu akan beli akhbar tersebut dan mempamerkannya kepada warga kampung.
Sehingga suatu saat, aku menyedari sesuatu yang tak pernah aku duga. Rupa-rupanya ibu menyimpan setiap helaian akhbar dan majalah yang menyiarkan karyaku sejak kali pertama aku menulis lagi. Walaupun ibu tidak pandai membaca, dia cuba berusaha memahami tulisanku dengan meminta bantuan abang untuk membacakannya. Sesungguhnya diriku sebak setelah mengetahui kenyataan tersebut. Aku lantas memeluk ibu seeratnya dengan deraian air mata.
Mungkin sebelum ini ibu hanya ingin yang terbaik untukku. Dia merisaukan masa depanku memandangkan kerjaya perempuan pada masa itu tidak terlalu luas. Khuatir jika aku terlalu mencari ilmu, tiada lelaki yang sudi meminangku. Namun kini mata ibu sudah terbuka. Ibu melihat sinar dalam kerjayaku sebagai seorang guru dan penulis. Novel pertamaku yang diterbitkan mengukir segaris senyum bangga di wajah tua ibu sebelum dia dijemput Ilahi beberapa bulan kemudian.
Kedukaanku atas permergian ibu sedikit terubat setelah sah menjadi isteri kepada Sudirman. Kami bertemu di sebuah kafe ketika aku sedang sibuk menyiapkan sebuah cerpen. Dia meminta izin untuk duduk semeja denganku kerana pada masa itu semua meja sudah penuh. Kami berbual santai dan dia tertarik akan kerja penulisanku walaupun dia tidak minat membaca. Sejak pertemuan dua hati itu, kami disatukan.
Sepanjang memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, Sudirman tidak pernah menghalang kegiatan penulisanku. Aku mengajar di sekolah pada waktu pagi, mengurus rumah pada waktu petang dan berkarya pada malam hari setelah memastikan segala hal rumah tangga selesai. Dunia penulisan dan kebahagiaan suamiku adalah hal yang sama penting dalam hidupku.
Perjalanan takdir tidak akan sentiasa mekar. Adakalanya ia akan menempuh musim layu dan gugur.
Aku mengalami keguguran di awal perkahwinan kami. Semua ini akibat aku yang terlalu memaksa diri untuk bekerja dan menulis ketika sarat mengandung. Aku dihimpit dengan kemurungan yang berat. Beberapa minggu aku terkurung di dalam kamar kepiluan. Papan kekunci komputer riba pula sudah merindui jemariku untuk menari di atasnya.
Sudirman tidak pernah memarahiku atas kehilangan zuriat pertama kami. Malah, dia sentiasa cuba menyalurkan semangat dan harapan dalam diriku yang sudah rapuh. Sedangkan dia sendiri turut berduka. Semua ini salahku.
Musim bunga mekar kembali. Aku dikurniakan zuriat lagi setahun kemudian. Rezeki ini menyembuhkan kedukaan aku dan suami. Kali ini aku tekad untuk menjaga kandungan ini sebaiknya.
Aku harus berhenti menulis.
Sepucuk surat aku tulis tentang perjalanan penulisanku dan segala cita-cita yang terpendam. Warkah ini merupakan sehiris hatiku yang kusimpan dalam tin biskut dan dilupakan. Demi menjaga sebahagian hati yang lain.
Dayang melipat semula surat tersebut lalu memasukkannya semula ke dalam tin biskut. Setitis keringat mata menitis ke atas penutup tin. Dalam timbunan barang-barang lama di dalam stor, Dayang mengeluarkan sebuah buku catatan lamanya yang dulu sering digunakan untuk merangka cerpen dan manuskrip novel.
Komputer riba kemudian dibuka dan jemari sudah tidak sabar untuk membuat persembahan tarian di atas papan kekunci. Lantas menghasilkan sebuah cerpen selepas beberapa tahun melupakan sehiris hati.



