Sekat semua akses bahan pornografi

BARU-BARU ini seluruh negara kecoh apabila seorang pengasas produk kecantikan memuat naik beberapa video yang memaparkan beliau mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki.

Video yang dimuat naik di akaun TikTok lelaki itu sendiri dengan mendakwa kanak-kanak itu adalah adik angkatnya tular di media sosial beberapa hari lalu, sekali gus mencetuskan rasa tidak senang, marah dan jijik orang ramai.

Ini kerana tindakan berkenaan jelas di- lihat membudayakan sesuatu yang bersifat gangguan seksual terhadap kanakkanak tersebut.

Pengasas produk itu telah ditahan pihak polis pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Apa yang kita faham mengenai situasi dan kejadian ini?

Ia jelas dapat dilihat tindakan penghidap pedofilia, iaitu seseorang yang mempunyai keinginan nafsu seksual melibatkan kanak-kanak biasanya di bawah usia 14 tahun.

Mereka ini berasa ghairah dengan hanya melihat gambar atau kanak-kanak itu sendiri dan golongan ini sebenarnya menghidap penyakit mental kronik.

Pedofilia tidak semestinya seseorang yang telah melakukan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak.

Menyimpan, berfantasi, membayangkan dan terangsang melihat gambar kanak-kanak juga digelar sebagai pedofilia.

Untuk diklasifikasikan dengan gangguan ini, seseorang itu mestilah berusia sekurang-kurangnya 16 tahun dan lima tahun lebih tua daripada kanak-kanak yang terlibat.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani, antara punca seseorang menghidap penyakit itu adalah orientasi seksual dialami ketika kecil, mungkin pernah disentuh, dicabul, dirangsang atau pendedahan terhadap perlakuan itu pada zaman kanak-kanak.

Antara punca jelas adalah kesan perkembangan dunia siber tanpa sempadan kini yang memudahkan perkongsian maklumat yang memberi akses kepada golongan ini dengan mudah memuat turun gambar kanak-kanak yang dikongsi orang ramai terutamanya di media sosial.

Kes pedofilia yang banyak berlaku sebelum ini membabitkan ahli keluarga terdekat atau mereka yang hampir dengan kanak-kanak.

Pelaku mengeksploitasi kanak-kanak kerana sifatnya yang belum matang dari sudut fizikal, mental dan emosi.

Di Malaysia, untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 (PDRM), sebanyak 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2020. Ini menunjukkan penguatkuasaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 belum berjaya mencegah pelaku
pedofilia daripada menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

Walaupun Akta 792 memperuntukkan hukuman berat kepada pesalah seksual hingga penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, hukuman berkenaan ternyata masih gagal menakutkan pesalah pedofil.

Pakar perubatan juga percaya walaupun pendera seksual kanak-kanak tidak semestinya seorang pedofil, mereka yang mengalami pedofilia tahap kritikal akan terdorong melakukan jenayah seks lebih berat.

Penulis percaya ramai mangsa kanak-kanak tidak sedar apa-apa yang sedang berlaku kepada mereka, mungkin ada yang sedar tetapi tidak tahu di mana hendak mengadu.

Pakar psikiatri mendapati impak terhadap kanak-kanak yang mengalami gangguan seksual adalah sangat membimbangkan.

Ia meninggalkan kesan trauma yang menyebabkan kemurungan dan ada juga yang ketagihan seks sejak kecil.

Justeru, kanak-kanak dan keluarga mangsa harus diyakinkan bahawa jenayah seksual tidak harus dibiarkan dan ia mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa agar pesalah dapat dibawa ke muka pengadilan.

Sudah tiba masa untuk Malaysia mengambil pendekatan lebih serius bagi mencegah masalah ini seperti penguatkuasaan undang-undang sedia ada, kem
pen dan seminar melalui media masa, terutama televisyen dan Internet.

Pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PDRM harus meningkatkan kemahiran mengesan pesalah yang menggunakan web gelap, Domain Name System (DNS) changer dan menyekat semua akses kepada bahan pornografi.

Di negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman, mereka memandang serius perkara ini, malah mempunyai sistem yang boleh mengesan dan menahan seseorang yang melayari atau memuat turun gambar kanak-kanak.

Selain itu, ibu bapa dinasihati tidak memuat naik gambar anak di laman sosial terutama dalam keadaan tidak sempurna termasuk dari segi berpakaian bagi mengelak terdedah kepada pedofilia.

Anggota masyarakat, guru dan komuniti juga perlu memberikan kerjasama dengan mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mendalami ilmu seksualiti.

Ibu bapa juga mesti memberi peringatan dari semasa ke semasa kepada anak mereka supaya sentiasa berwaspada dan memahami bagaimana sifat pedofilia ini.

Usah anggap ia tabu kerana kita sememangnya perlu kenal perubahan diri anak mengikut peringkat umur.

Tambahan pula dalam era teknologi yang pesat ini, ibu bapa perlu lebih proaktif dalam mendidik anak serta membimbing cara melayari Internet secara sihat bagi mengelakkan mereka mendapat maklumat yang tidak tepat serta pengaruh tidak sihat.