PADA malam berlangsungnya final Piala Malaysia yang lepas, saya sebenarnya tidak begitu memahami bagaimana permainan bola sepak dimainkan.
Saya juga tidak tahu siapa yang dijangka meloloskan bola ke gawang gol. Namun, saya tetap membaca tentang berapa tahun Sarawak kempunan untuk ke final dan siapa lawan paling mencabar yang bakal dihadapi.
Sebagai editor surat khabar, minat atau tidak, saya perlu sekurang-kurangnya memahami betapa pentingnya perlawanan itu buat Sarawak selepas 27 tahun menunggu.
Dari tengah hari lagi saya mula membaca nama-nama pemain, mengenal wajah mereka dan cuba mengetahui siapa yang paling popular. Bukankah kita perlu mengenal dahulu sebelum jatuh cinta?
Menjelang petang, suasana di bilik editorial mula berubah. Bunyi telefon yang menayangkan siaran langsung semakin kuat, masing-masing sudah mula memandang jam.
Walaupun perlawanan belum benar-benar bermula, tekanan sebenarnya sudah lebih awal terasa di bilik editorial.
Kami bukan sekadar menunggu keputusan perlawanan, tetapi menunggu bahan yang akan menentukan wajah muka depan akhbar keesokan harinya.
Pada jam 8.00 malam, saya mula sedikit tertekan. Sepuluh minit kemudian, saya kembali bertenang. Yang ingin saya ceritakan sebenarnya bukan tentang bola sepak tetapi tentang menunggu sesuatu yang belum pasti.
Had masa editorial sepatutnya pada jam 9.30 malam, namun kami masih tenang menunggu satu-satunya gambar untuk muka depan.
Bagi saya, gambar itu bukan sekadar gambar biasa. Itu gambar yang membawa maruah demam bola sepak Sarawak.
Tekanan saya bertambah apabila orang yang sepatutnya menghantar gambar gagal dihubungi. Saya menghubungi seorang lagi kakitangan sebaik sepak mula berlangsung pada jam 9.05 malam.
Saya turut menghubungi agensi media lain, menghubungi kenalan, namun gambar yang diterima masih belum mampu menggambarkan itu perlawanan besar. Semuanya kelihatan biasa-biasa sahaja.
Saya mahukan gambar yang seperti saya bayangkan, gambar yang boleh menyenangkan hati penaja, gambar yang membuatkan orang Sarawak tidak berasa rugi menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk turun memberi sokongan di Stadium Bukit Jalil.
Tajuk? Saya tetap perlu menyediakan tajuk. Jika menang, tajuk itu akan kekal. Jika kalah, tajuk itu masih boleh diterima.
Akhirnya, pada jam 9.15 malam, saya menerima dua keping gambar yang saya tunggu-tunggu.
Tekanan saya perlahan-lahan reda. Saya juga perlu berterima kasih kepada kakitangan pejabat yang sama-sama menunggu sambil menonton siaran langsung.
Yang ingin saya ceritakan di sini ialah menunggu sesuatu tanpa jawapan merupakan satu perasaan yang sangat menyakitkan.
Tekanan itu datang tanpa diundang. Tekanan memikirkan sama ada saya sebenarnya sedang merugikan masa menunggu hingga lewat malam hanya kerana sekeping gambar yang belum pasti tiba.
Bayangkan berapa banyak masa yang akan terbuang jika tiada jawapan. Itulah tekanan di dalam bilik editorial. Tekanan yang kami hadapi sekali-sekala.
Namun, lebih menyakitkan apabila panggilan tidak dijawab. Apakah perlu kami tunggu? Ada atau tiada, berilah jawapan. Kerana saya percaya, saya masih mempunyai 1,001 cara lain untuk mendapatkannya.
Namun, itulah dunia editorial yang jarang orang nampak dari luar. Mereka hanya melihat surat khabar yang sudah siap dicetak di tangan pada waktu pagi tetapi tidak melihat bagaimana satu halaman itu hidup dalam keadaan kelam-kabut, penuh tekanan dan keputusan saat akhir.
Di dalam bilik editorial, masa bergerak terlalu pantas. Setiap minit terasa mahal. Satu gambar lambat masuk boleh mengubah keseluruhan susun atur muka depan.
Satu panggilan yang tidak dijawab boleh membuatkan kami terpaksa menukar tajuk, menukar berita dan menukar wajah keseluruhan muka depan. Namun yang paling menyakitkan,menunggu tanpa kepastian.
Kadang-kadang, tekanan itu bukan datang daripada berita besar tetapi daripada perkara kecil yang tertangguh.
Gambar dalam perjalanan, sebentar lagi, tunggu sekejap — ayat itu cukup membuatkan editor duduk tidak senang.
Kami bukan marah kerana lambat tetapi kami lebih marah jika telefon tidak berjawab. Apabila satu bahagian tergantung, seluruh proses turut tergantung.
Lebih memenatkan apabila semua orang di dalam bilik editorial sebenarnya sedang menahan tekanan masing-masing.
Wartawan sibuk mengejar fakta, jurugambar mengejar momen terbaik, pereka grafik menunggu bahan akhir untuk menyusun halaman dan editor pula perlu memastikan semuanya siap sebelum percetakan bermula.
Dalam keadaan begitu, satu jawapan ringkas sebenarnya sangat membantu.
Sebab itu, saya selalu percaya kerja editorial bukan sekadar menghasilkan berita. Ia tentang koordinasi manusia dalam keadaan paling sibuk. Tentang bagaimana kami cuba menghasilkan halaman terbaik walaupun masa terlalu singkat.
Tentang bagaimana satu muka depan itu kadang-kadang lahir daripada puluhan panggilan telefon, tekanan yang disembunyikan dan keputusan yang dibuat dalam beberapa minit sahaja.
Dan, malam final Piala Malaysia itu membuatkan saya lebih memahami satu perkara, kerja editorial tidak pernah benar-benar tenang.
Di sebalik halaman yang nampak kemas dan tersusun, ada degupan jantung bergerak lebih laju daripada biasa, ada mata yang tidak lepas memandang jam dan ada manusia yang sedang cuba memberikan yang terbaik sebelum tarikh cetakan berakhir.
Ingatlah selalu, di dalam bilik editorial, sekeping gambar bukan sekadar visual tetapi penentu sebuah cerita.



