DI hujung kawasan segi tiga emas di tengahtengah pusat bandar raya Kuching, wujud sebuah kedai bakeri sederhana yang kelihatannya biasa-biasa sahaja.
Bangunan dua tingkat dengan warna cat sudah pudar itu mungkin tidak menarik perhatian pengunjung yang tidak mengenalinya.
Tetapi bagi penduduk Kuching dan di kawasan sekitarnya, kedai yang bernama All Joy Bakery atau lebih mesra dipanggil roti All Joy oleh warga tempatan merupakan sebuah bakeri ikonik yang menjadi sebahagian daripada jiwa kota ini selama lebih empat dekad.
Tidak pernah mengumumkan perniagaan melalui iklan atau promosi besar-besaran, namun bakeri yang terletak di sudut kecil, Jalan Khoo Hun Yeang Kuching itu menyimpan 1,001 keistimewaan dengan sajian roti ikonik yang menjadi kenangan manis untuk banyak generasi.
Namun, 30 April 2025 menandakan penutupan sebuah era kegemilangannya. Pintu kedai ini akan ditutup untuk selama-lamanya.
Rotinya yang terkenal dengan kesederhanaan dan keenakan yang tiada suarasarawak.news@gmail.com tandingan itu tidak lagi dapat dinikmati oleh mereka yang telah mencintainya selama lebih daripada empat dekad.
Keputusan yang diambil oleh pemiliknya, Chai Kee Lee, yang kini mencapai usia persaraan, mencetuskan kejutan dan kesedihan mendalam dalam kalangan pelanggan setianya.
Bandar Kuching seakan bersiap sedia untuk melepaskan sebuah legenda walaupun berat namun selamat tinggal harus diucapkan pada sebuah kenangan manis yang tidak akan kembali.
Kisah All Joy Bakery bermula pada 1981, titik permulaan yang tidak banyak orang tahu.
Pada ketika itu, dunia masih belum dibanjiri dengan kedai bakeri yang menjual roti berjenama mahal.
Waktu itulah di tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan bandar Kuching, All Joy berkembang perlahan menulis perjalanan ceritanya yang tersendiri, mencipta kenangan untuk warga kota.
Setiap gigitan roti membawa pelanggannya kembali ke zaman kanak-kanak yang penuh sederhana.
Tanpa promosi atau papan iklan besar-besaran, bakeri itu hanya memerlukan kejujuran rasa, konsistensi dan harga yang sangat berpatutan untuk memenangi hati pelanggan serta berkembang selama 44 tahun pengoperasian.
Menurut Pengurus All Joy Bakery, May Chin, kisah bakeri itu bermula lama sebelum wujudnya media sosial, ia diasaskan dengan cita-cita untuk menyajikan roti segar mampu milik dibeli oleh setiap lapisan masyarakat.
“Bakeri ini akan tutup pada usianya genap 44 tahun, sejak ia ditubuhkan pada Mei 1981.
Sememangnya keputusan ini berat, namun ia terpaksa dilakukan disebabkan cabaran semasa, khususnya dari sudut ekonomi.
“Apa yang saya boleh katakan, setiap permulaan mempunyai titik akhir,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di All Joy Bakery, di sini, semalam.
Jelas May, salah satu sebab utama di sebalik penutupan ini adalah kerana pemiliknya Chai Kee Lee mahu bersara dan berehat pada usia emas.
“Pemilik yang setiap hari terlibat dalam pembuatan roti dan menjadi tulang belakang bakeri ini sejak pertama kali ia dibuka, kini mengambil keputusan untuk berehat.
“Tidak dinafikan keputusan ini membawa berita yang sangat sedih.
Apatah lagi beberapa pekerja telah bekerja di sini, sejak kedai pertama kali beroperasi.
“Bayangkan, mereka sudah lebih empat dekad di sini, setia dengan bakeri ini,” ujarnya.
Di samping itu May berkata, keputusan tersebut juga didorong oleh keadaan ekonomi yang semakin mencabar, sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.
“Harga bahan mentah semakin meningkat.
Terutama sekali mentega, serbuk koko dan keju.
Sebagai contoh, harga mentega 25 kilogram sahaja sudah naik sebanyak RM250. Itu adalah jumlah yang besar,” jelasnya.
Tegasnya, kos bahan mentah yang semakin tinggi ini jelas memberi kesan besar kepada perniagaan kecil seperti All Joy.
“Walaupun kos bahanbahan mentah itu meningkat secara mendadak, tetapi kami tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Ini kerana All Joy merupakan bakeri lama yang sudah terkenal dengan harga roti yang murah, selain lokasi kedai ini bukan di kawasan komersial seperti pusat membeli-belah.
“Kalau bakeri yang moden dan mewah, boleh lah menjual roti pada harga RM5 atau RM10, namun masih mendapat sambutan.
Tetapi tidak bagi kami, meskipun hanya menaikkan harga kepada RM3, pelanggan sudah mula mengeluh dan bertanya kenapa begitu mahal,” ceritanya.
Selain itu, cabaran lain katanya ialah disebabkan kenaikan dasar gaji minimum yang kini ditetapkan di RM1,700, turut memberi tekanan tambahan kepada operasi bakeri.
“Ekonomi yang semakin berubah dan peningkatan kos hidup menyebabkan perniagaan bakeri ini sukar untuk terus bertahan dengan harga yang sangat rendah,” tegasnya.
Sementara ketika ditanya mengenai penerus legasi bakeri lagenda itu May berkata, setakat ini pemiliknya tidak mempunyai pengganti.
“Setakat ini tiada pengganti. Mungkin di masa depan, saya tidak tahu,” katanya menjawab ketidakpastian mengenai masa depan bakeri ikonik ini.
Walaupun begitu, May mengakui bahawa bakeri ini menjadi sebahagian daripada jiwa ramai orang Kuching.
Menyebut All Joy, fikiran pasti melayang kepada beberapa jenis roti yang telah menjadi identiti kedai ini, antaranya ialah roti Milo, roti mentega, roti keju, kacang hitam, roti ayam, piza dan banyak lagi.
Ketika penutupan semakin hampir, semakin ramai pelanggan datang dengan perasaan berat hati.
Mereka berdiri di barisan panjang sejak awal pagi, sabar menunggu giliran untuk membeli roti buat kali terakhir walaupun pembelian dihadkan kepada hanya dua roti bagi seorang pelanggan.
Ada yang menitis air mata dalam diam, ada yang tersenyum mengenang kenangan dan ada yang hanya berdiam diri, menahan rasa.
Di luar kedai, ada yang mengambil gambar kenangan, ada yang menyimpan pembungkus roti sebagai memori dan ada yang meninggalkan nota ringkas kepada pemiliknya mengucapkan terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada hidup mereka.
Menurut Yuzairul Yusof, 38, beliau merupakan salah seorang kanak-kanak yang sekitar tahun 90-an, hampir setiap hari singgah di All Joy, membeli roti Milo dengan harga 50 sen.
“Sememangnya berita penutupan bakeri itu sukar diterima. Saya makan roti ini sejak zaman kanak-kanak lagi, sehingga sekarang.
Sekarang anak saya pula yang membesar dengannya.
“Masih segar di ingatan saya, setiap kali mengikut nenek berniaga di kedai makan berhampiran Pasar Open Air Kuching, saya pasti singgah di All Joy untuk membeli roti Milo.
“Bahkan ketika hendak balik ke rumah, saya pastikan dua atau tiga biji roti ini dibawa balik untuk dikongsi dengan adik-beradik,” jelasnya.
Kata-kata ini bukan hanya menggambarkan betapa dalamnya hubungan antara warga Kuching dengan All Joy, tetapi juga mengingat kita bahawa sesuatu yang sederhana seperti roti boleh menjadi saksi perjalanan hidup sebuah generasi.
Seorang kanak-kanak yang dahulu membeli roti Milo dengan hanya sekeping syiling 50 sen di tangan, kini menjadi dewasa dan membawa anak-anak mereka ke tempat yang sama, berharap dapat merasai kegembiraan yang sama. Ia adalah tempat ibu membeli roti untuk bekalan anak-anak ke sekolah.
Di sini juga, warga emas boleh dilihat berjalan perlahan, berhenti sebentar untuk membeli roti mentega, sambil berbual mesra dengan pekerja yang sudah dikenali lama. Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, juga tidak melepaskan peluang mengunjungi bakeri ini, menegaskan betapa bakeri itu telah menjadi sebahagian penting dalam budaya dan tradisi tempatan. “
Hari saya mengambil peluang datang ke sini dan membeli roti Milo, yang merupakan kegemaran saya sejak kecil.
“Pada masa yang sama, saya sempat mengucapkan terima kasih kepada pemiliknya dan mendoakan kejayaan bakeri ini pada masa akan datang,” ujarnya.
All Joy Bakery menutupkan pintu kedai buat selama-lamanya bermula 30 April 202, kurang seminggu lagi.
Tetapi legasinya sudah lama tertanam dalam ingatan warga Kuching, menjadi saksi perubahan zaman.
Walaupun operasinya berakhirnya, namun kenangan yang ditinggalkannya tidak akan pernah pudar. Setiap pelanggan yang melangkah masuk ke bakeri ini membawa cerita mereka sendiri.
Legasinya akan tetap hidup, roti Milo yang padat dan manis, roti sosej yang mengenyangkan serta roti mentega yang gebu dan lemak, setiap gigitan akan terus menjadi kenangan manis.
Selamat tinggal, All Joy.
Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada cerita yang menceriakan zaman kanak-kanak kami.






