ISTANBUL: Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala seorang lagi dilaporkan hilang akibat hujan lebat dan banjir yang melanda Sri Lanka, menurut laporan media tempatan yang memetik polis pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Cuaca buruk melanda Wilayah Sabaragamuwa serta daerah Kandy dan Nuwara Eliya, menurut portal berita Ada Derana.
Mangsa yang hilang dipercayai dihanyutkan arus banjir.
Amaran pemindahan tanah runtuh tahap merah dikeluarkan bagi beberapa kawasan, manakala amaran merah berhubung angin kencang dan laut bergelora masih berkuat kuasa di perairan pesisir.
Pusat Pengurusan Bencana kerajaan turut mengeluarkan amaran angin kencang kepada penduduk di Wilayah Utara Tengah, Barat Laut, Sabaragamuwa, Tengah dan Selatan, serta daerah Trincomalee.
Sekolah di daerah tanah tinggi Kandy dan Nuwara Eliya ditutup berikutan cuaca buruk.
Anggota tentera Sri Lanka turut dikerahkan ke kawasan terjejas bagi membantu operasi menyelamat dan bantuan. — Bernama






