SHAH ALAM: Kapasiti sumber air di Selangor dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata tujuh empangan utama kini melebihi 75 peratus kapasiti. Pelepasan air dikawal mengikut keperluan loji rawatan air bagi memastikan bekalan kekal stabil.
Beliau berkata lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) akan dinaik taraf bagi meningkatkan simpanan air mentah. Pelan mitigasi turut diaktifkan bagi menghadapi cuaca panas.
Menurut Bernama, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) jika paras empangan turun kepada 50 peratus.
Pada masa sama, pemantauan kualiti air dipertingkat menerusi rondaan 24 jam dan pensampelan berterusan. Penguatkuasaan di kawasan perindustrian juga diperkukuh bagi mengelakkan pencemaran sumber air ketika musim kering.



