Buku ini berkisar tentang asal usul makanan tradi-sional masyarakat Iban di Sarawak iaitu penganan dalam pelbagai aspek budaya Iban.
Kuih tradisional ini menjadi ikonik semasa upacara miring, ngintu petara dan Hari Gawai.
Penganan diklasifikasikan sebagai kuih tradisional Iban sakral berdasarkan proses pembuatan yang penuh dengan pantang larang.
Hal ini menyebabkan kepercayaan mali itu wujud dan ia menjadi ikutan sesetengah wanita di rumah panjang sehingga kini.
Walaupun kearifan tentang pembuatan penganan masih dipelihara, namun ia dipengaruhi perubahan moden seperti bahan campuran dan sebagainya.
PANTANG LARANG
Masyarakat Iban juga percaya bahawa penganan mampu mengeratkan jalinan kekeluargaan penduduk rumah panjang terutama kaum wanita.
Selain itu, di dalam buku ini juga ada diterangkan jenis penganan dan cara-cara membuatnya.
Makanan tradisional ini dipengaruhi beberapa faktor seperti adat, kawasan, migrasi, budaya dan beberapa faktor lain yang berkait.
Malah, terdapat juga keterangan mengaitkan tradisi makanan ini dengan yang diamalkan di Kalimantan Barat, Indonesia.
Antara isu menarik didedahkan ialah kearifan masyarakat tempatan khususnya masyarakat Iban dalam memproses penganan, hubung kait budaya serta pantang larang yang diamalkan dalam proses tersebut.
Bahagian proses pembuatan penganan merupakan kelebihan utama buku ini kerana ia diolah seperti buku resipi.
Banyak perkara baru boleh diteroka oleh pembaca terutama berkaitan alat yang digunakan, bahan, proses beras menjadi tepung, cara menggaul, menggoreng dan sebagainya.
Ini merupakan bahagian yang terbaik kerana menyentuh bahan yang diperlukan.
Selain itu, pantang larang dalam proses membuat penganan juga menarik untuk dibaca kerana secara tradisi pembuatan makanan tradisional ini mempunyai beberapa pantang larang tertentu.
Diterangkan beberapa pantang larang generasi kini kita tidak kenal seperti alah ayu, puni dan jelungan.
Ia membuatkan pembaca lebih menghormati makanan tradisional tersebut.
Buku ini sesuai dibaca semua golongan peringkat umur khususnya masyarakat Iban yang masih belum tahu tentang makanan tradisional penganan.
BUKU RESIPI
Mereka boleh memahami sendiri tentang jenis dan proses membuat penganan dan bagaimana makanan ini boleh dijadikan sebagai salah satu makanan budaya masyarakat Iban.
Di samping itu, buku ini ada menunjukkan beberapa keping gambar yang sangat bersesuaian dengan konteks pembacaan seperti gambar mengisar tepung, gambar menggaul tepung oleh wanita Iban dan gambar cara menggoreng penganan.
Terdapat juga gambar rajah digunakan untuk memberi pengetahuan kepada pembaca.
Bagaimanapun, kelemahan buku ini adalah terlalu banyak menerangkan asal usul masyarakat Iban sehingga menenggelamkan tujuan utama iaitu tentang penganan.
Hampir separuh daripada muka surat buku tersebut berkisar tentang asal usul masyarakat iban, penempatan, budaya dan kewujudan masyarakat Iban di Sarawak.
Ia menjadikannya terlalu padat dengan isi yang tidak diperlukan terutama tentang pembahagian masyarakat Iban melalui kawasan seperti Iban Saribas, Iban Batang Lupar, Iban Sebuyau dan sebagainya.
Selain itu, buku ini juga terlalu banyak menggunakan rujukan profesional sehingga menjadikan buku ini terlalu padat dengan rujukan.
Terdapat beberapa rujukan yang mungkin sukar difahami oleh pembaca yang bukan daripada golongan profesional seperti pelajar sekolah, petani, orang awam dan sebagainya.
Kesannya, sedikit sebanyak ini membosankan pembaca khususnya anak muda yang tidak gemar membaca buku.
Sebagai cadangan, buku berbentuk ilmiah dan menceritakan tentang budaya ini perlulah lebih menarik terutama dari segi penggunakan gambar rajah dan gambar.
Selain itu, mungkin boleh diterapkan sedikit perubahan moden yang membawa kepada beberapa perubahan pembuatan penganan seperti penggunaan gula pasir, pewarna dan sebagainya.
Ia bertujuan memberi ilmu pengetahuan kepada generasi muda berkaitan penganan asal dan yang diinovasikan itu berbeza.
Namun, hidangan tersebut masih mempunyai tujuan sama iaitu mengekalkan tradisi budaya masyarakat Iban.