ARTIKEL

Selesai segera isu liputan Internet lemah, gangguan bekalan air DUN Tebedu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, menggesa tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi menangani masalah liputan internet yang lemah dan gangguan bekalan air yang masih membelenggu beberapa kampung di DUN Tebedu.

Menurut Dr. Simon, gangguan internet dan elektrik yang kerap berlaku menjejaskan pembelajaran pelajar dan aktiviti perniagaan rakyat. Sementara itu, bekalan air bersih terawat masih tidak stabil di beberapa kawasan seperti di sepanjang jalan Baki Riih, termasuk Kampung Taee, Kampung Bantang, Kampung Lanchang, Kampung Plaman Nyabet, dan Kampung Kakeng.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Ke-19 di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, masalah gangguan bekalan elektrik berlaku akibat pokok tumbang dan kerosakan infrastruktur, termasuk insiden kenderaan pacuan empat roda melanggar tiang elektrik pada 25 November lalu, yang menyebabkan ‘blackout’ di sekitar Tebedu, termasuk sekolah menengah seperti SMK Tebedu, SMK Taee, dan SMK Tebakang.

“Saya telah menyuarakan masalah ini pada setiap persidangan DUN. Saya mencadangkan agar pihak SEB dan Sesco bersama kontraktor yang dilantik membuat lawatan kerja berjadual dan memantau masalah pokok-pokok yang tinggi dan dahan-dahan pokok yang berpotensi ditumbangkan dan dipatahkan oleh angin dan ribut kencang di sepanjang jalan Serian – Tebedu, di sepanjang jalan Tebakang – Mongkos, dan di jalan-jalan yang menghubungkan 59 buah kampung di DUN Tebedu,” kata beliau.

Dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air, Dr. Simon berkata, projek pemasangan paip dan tangki aras tinggi oleh JBALB dijadualkan dilaksanakan pada 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di sepanjang jalan Baki-Riih dan kawasan berdekatan.

“Kerajaan Sarawak melalui YAB Premier dan GKCDA sentiasa prihatin terhadap isu rakyat. Kami berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mempercepat penyelesaian bagi memastikan rakyat Tebedu menikmati kemudahan asas dengan lebih stabil,” kata beliau.

Dr. Simon menegaskan bahawa inisiatif ini penting bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi Tebedu yang sedang rancak, termasuk pembangunan Hub Ekonomi Tebedu dan projek jalan raya strategik di kawasan sempadan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU