Bagi Mohd Amirul Rashid Abdullah, setiap langkah tari yang dipelajari anak muda membawa harapan agar seni tari tradisional Melayu terus diwarisi dan tidak hilang dite-lan zaman.
Minat yang berputik sejak berusia sembilan tahun itu kini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, malah mendorong beliau mendidik generasi baharu untuk mengenali keindahan seni tari tradisional, termasuk tarian inang, joget, asli dan zapin, serta tarian suku kaum di Sarawak.
Pada usia 27 tahun, Amirul bukan sahaja aktif dalam bidang seni tari, malah turut berkhidmat sebagai penolong pegawai Unit Kebudayaan, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
Beliau juga merupakan jurulatih tarian di SMK Matang Jaya dan SMK Tinggi Kuching. Kedua-dua sekolah itu menjadi platform baginya untuk menyemai minat terhadap seni tari dalam kalangan pelajar.
“Bagi saya, perkara yang paling penting ialah memastikan seni tari tradisional ini tidak pupus dan sentiasa ada generasi baharu yang mahu mendalami serta mencintai bidang ini,” katanya kepada Suara Sarawak.
Merealisasikan hasrat itu, Amirul mengambil pendekatan mendekati golongan remaja menerusi kelas asas tarian tradisional.
“Oleh itu, saya mengadakan kelas asas tarian tradisional yang dikenali sebagai Kasuma Tari bagi memberikan peluang kepada peserta mempelajari seni berkenaan secara berperingkat-peringkat.
“Selain itu, saya bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar serta membina keyakinan mereka agar terlibat dalam aktiviti seni dan kebudayaan,” katanya.

Dalam pada itu, usaha mencari cara untuk menarik minat remaja agar terus mengikuti latihan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Hal ini demikian kerana mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran, aktiviti kokurikulum dan komitmen lain sebelum dapat menyertai program tambahan seperti ini di sekolah,” jelasnya.
Selain memupuk minat remaja terhadap tarian tradisional, pengurusan masa turut menjadi cabaran utama kerana jadual latihan perlu disesuaikan dengan kelapangan pelajar tanpa mengetepikan tanggungjawab mereka yang lain.
“Cabaran paling besar ialah mencari masa yang sesuai untuk latihan. Kita perlu menyesuaikan jadual mengikut keadaan dan komitmen pelajar kerana mereka juga mempunyai aktiviti lain yang perlu diberikan perhatian.
“Kadangkala, memang sukar untuk mengumpul mereka pada satu-satu masa, sedangkan latihan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan mereka dapat menguasai setiap gerakan,” katanya.
Walaupun berdepan kekangan itu, perkembangan anak didiknya membuktikan usaha yang dilakukan mampu membuahkan hasil apabila mereka diberikan bimbingan dan ruang yang mencukupi.
“Antara perkembangan yang paling membanggakan bagi saya ialah kejayaan kumpulan tarian SMK Matang Jaya, yang dikenali sebagai Jaya Citra Tari, melangkah ke pertandingan peringkat kebangsaan menerusi Tari Tali Yakult.
“Menariknya, tarian ini menggabungkan elemen lompat tali dan kreativiti,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, kebanyakan pelajar dalam kumpulan itu bermula tanpa asas tarian yang kukuh.
“Pelajar yang tidak mempunyai asas tarian memerlukan lebih banyak latihan untuk mempelajari gerakan asas sebelum beralih kepada latihan yang lebih mencabar.
“Daripada mempelajari langkah asas hingga membentuk persembahan yang lebih tersusun, setiap proses memerlukan kesabaran, disiplin dan kesungguhan, baik daripada jurulatih mahupun pelajar,” katanya.
Kini, kumpulan itu giat menjalani persiapan bagi mewakili Sarawak dalam pertandingan peringkat kebangsaan di Putrajaya pada November ini.
“Sudah tentu saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya berjaya membawa pelajar di bawah bimbingan saya dari SMK Matang Jaya ke peringkat kebangsaan.
“Ini juga merupakan tahun kedua saya mengajar di sekolah tersebut. Saya bersyukur kerana dalam tempoh itu, kami berjaya melahirkan kumpulan yang mampu membawa nama Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Kejayaan ini menjadi pencapaian bermakna buat Amirul, terutama apabila melihat sendiri perubahan yang ditunjukkan oleh pelajar sejak mula menyertai latihan.
Bagi beliau, perkembangan itu membuktikan kekurangan pengalaman bukan penghalang untuk seseorang menguasai seni tari, asalkan mempunyai kemahuan untuk belajar dan kesediaan menjalani latihan secara konsisten.

Bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahirannya, Amirul turut merujuk kepada pengasas Kasuma Tari, Cikgu Masniah, untuk menimba ilmu.
“Sebagai jurulatih, saya sendiri perlu terus belajar dan menimba ilmu.
“Saya juga banyak merujuk kepada Cikgu Masniah untuk memperdalam pengetahuan dalam bidang tarian supaya ilmu yang diperoleh dapat dikongsi dengan pelajar,” jelasnya.
Berkongsi perancangan terbaharu selepas selesai menyertai pertandingan di Putrajaya, Amirul merancang untuk meneruskan latihan bersama-sama kumpulan tarian SMK Matang Jaya serta Kumpulan Artis Budaya di bawah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
“Pelibatan ini akan diteruskan menerusi latihan berkala dan pelbagai persembahan yang dirancang.
“Selain itu, usaha ini memberikan lebih banyak peluang kepada penari untuk mengasah kemahiran dan menimba pengalaman di atas pentas,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut memberikan perhatian kepada usaha melahirkan lebih ramai pelapis menerusi Bengkel Tarian Melayu Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada November ini selepas beliau pulang dari Putrajaya.
“Bengkel ini dijangka melibatkan kira-kira 200 peserta dari bahagian Kuching, Padawan dan Samarahan.
“Justeru, bengkel ini membantu membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda untuk mengenali dan mempelajari tarian tradisional Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan terhadap latihan tarian yang dikendalikannya menunjukkan perkembangan positif.
“Daripada lapan penari pada peringkat awal, kini lebih 50 pelajar telah dibimbing dan dilatih.
“Saya berharap jumlah ini akan terus bertambah dan lebih ramai remaja tampil menyertai latihan tarian tradisional,” katanya.
Bagi Amirul, usaha memelihara seni tari memerlukan sokongan berterusan pelbagai pihak, termasuk sekolah, penggiat seni dan masyarakat, agar warisan budaya dapat terus diperkenalkan kepada generasi seterusnya.
“Justeru, saya berharap lebih ramai golongan muda bukan sahaja berminat untuk membuat persembahan, malah turut memahami nilai budaya yang terkandung dalam setiap tarian, sama ada tarian Melayu mahupun tarian suku kaum di Sarawak.
“Saya juga berharap lebih ramai generasi muda mula mencintai dan mempelajari seni tari tradisional supaya warisan ini terus terpelihara.
“Dalam masa yang sama, saya mahu lebih ramai pihak menyedari kepentingan seni tari dan bersama-sama memastikan bidang ini terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.






