ARTIKEL

SEMAI ILMU DAN SAHSIAH

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAJLIS Apresiasi Tahun 6 dan Khatam al-Quran ke-5 Ma’had Tahfi z Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY) Sesi 2025 berlangsung dengan tertib dan bermakna, menghimpunkan ibu bapa, guru serta tetamu kehormat bagi meraikan pencapaian murid secara menyeluruh.

Seramai 52 murid Tahun 6 diraikan dalam majlis berprestij menandakan tamatnya fasa persekolahan rendah mereka serta permulaan perjalanan baharu di peringkat seterusnya.

Keunikan penganjuran majlis pada tahun ini terserlah apabila keseluruhan pengendalian utama program dikendalikan sepenuhnya oleh murid.

Bermula daripada tugas pengerusi majlis, bacaan doa hingga pengacaraan protokol, murid tampil dengan keyakinan dan kematangan yang membanggakan.

Pelibatan aktif murid dalam mengemudi majlis rasmi ini mencerminkan keberkesanan latihan kepimpinan, komunikasi dan sahsiah yang diterapkan secara konsisten di MATTARY.

Dalam amanat Guru Besar MATTARY, Ustaz Ja’afar Belal, beliau menzahirkan rasa syukur atas pencapaian menyeluruh murid Tahun 6 sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Beliau memaklumkan semua murid berjaya khatam bacaan al-Quran, dengan sebahagian daripada mereka mencapai hafazan sehingga 13 juzuk.

Dari sudut akademik pula, pencapaian murid menunjukkan perkembangan membanggakan apabila terdapat murid memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pentaksiran Program Dwibahasa (UPDLP), manakala keseluruhan murid mencapai tahap penguasaan yang baik dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Selain itu, aspek sahsiah dan disiplin murid turut berada pada tahap memberangsangkan dengan purata kehadiran melebihi 90 peratus, disokong oleh pelibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan pertandingan.

Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan MATTARY sebagai institusi tahfi z moden yang berdaya saing dan berpandangan jauh.

Katanya, MATTARY perlu bersedia menghadapi cabaran pendidikan pelbagai bahasa dengan memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab serta mencadangkan penambahan bahasa Mandarin sebagai bahasa nilai tambah bagi melahirkan murid yang lebih kompetitif di peringkat global.

Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian MATTARY dalam UPDLP.

Namun, beliau turut menegaskan keperluan meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran Sains. Misnu juga menekankan pengukuhan elemen STEM perlu diberi perhatian serius bagi memastikan murid MATTARY bukan sahaja cemerlang dalam hafazan dan akademik asas, malah memiliki literasi sains, pemikiran kritis serta keupayaan menyelesaikan masalah yang tinggi selaras dengan keperluan dunia masa hadapan.

Selepas ucapan perasmian, majlis diserikan dengan segmen khatam al-Quran yang menyentuh perasaan apabila alunan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh murid Tahun 6 memenuhi dewan dengan suasana tenang dan penuh penghayatan.

Doa khatam yang dipimpin oleh murid sendiri menjadi simbol kejayaan mereka menamatkan bacaan al-Quran serta melambangkan perjalanan rohani yang dibina melalui disiplin, kesabaran dan bimbingan berterusan para guru.

Majlis diteruskan dengan ucapan wakil murid yang menyentuh hati para hadirin apabila Ahmad Alauddin dan Umie Zafeerah Iswar tampil menyampaikan ucapan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Melalui penyampaian pelbagai bahasa ini, mereka mengimbau perjalanan enam tahun menuntut di MATTARY sambil merakamkan penghargaan kepada guru atas bimbingan tanpa jemu serta kepada ibu bapa atas sokongan dan pengorbanan yang tidak ternilai.

Tetamu turut disajikan dengan persembahan tadabbur al-Quran oleh murid Tahun 4 dan 5.

Penyampaian yang jelas dan penuh penghayatan memperlihatkan kefahaman murid terhadap makna ayat-ayat al-Quran yang dihuraikan, sekali gus membuktikan pembelajaran al-Quran di MATTARY bukan sekadar hafazan, malah menekankan penghayatan, pemahaman dan pengamalan nilai murni.

Majlis dilanjutkan dengan penyampaian sijil graduasi kepada semua murid Tahun 6. Setiap murid melangkah ke pentas dengan wajah penuh bangga, disambut tepukan para ibu bapa sebagai sokongan moral.

Detik ini bukan sekadar menandakan tamatnya satu fasa pendidikan, malah menjadi simbol kejayaan pembentukan jati diri murid secara menyeluruh.

Dalam majlis ini, Syed Mohammad Fateh Syed Hossin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Hafazan Lelaki dan Anugerah Khas, manakala Afryna Sofea Muhammad Shauqi menerima Anugerah Terbaik Hafazan Perempuan.

Ahmad Imtiyaz Muhammad Randie menerima Anugerah Terbaik Akademik, sementara Raden Alexa Iqlima Raden Chekra Muda menerima Anugerah Terbaik Kokurikulum.

Kelainan majlis tahun ini turut terserlah melalui penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaksanaannya.

Penyediaan montaj lepasan, paparan visual, dokumentasi serta pengurusan data majlis dilaksanakan menggunakan platform digital berasaskan AI, sekali gus menjadikan perjalanan majlis lebih teratur dan profesional.

Majlis ini juga menjadi platform memperkukuh hubungan antara guru, ibu bapa dengan murid. Kehadiran ibu bapa yang memenuhi dewan serta sokongan berterusan mereka sepanjang sesi persekolahan menjadi antara faktor utama kejayaan murid MATTARY.

Secara keseluruhannya, majlis ini bukan sekadar acara penghargaan, malah manifestasi kejayaan institusi ini dalam melahirkan generasi seimbang, berakhlak, berilmu, berdaya saing dan celik teknologi.

Dengan gabungan kekuatan al-Quran, akademik, kepimpinan serta pendigitalan, MATTARY terus melangkah yakin sebagai pencorak generasi masa depan yang bersedia menyuluh dunia dengan nilai dan hikmah.

BERITA LAIN

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka

Al-Quran panduan bentuk akhlak

Kejayaan mengkhatamkan al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan seorang Muslim untuk mendalami kitab suci itu, sebaliknya menjadi permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

BERITA TERBARU