KUCHING: Rakyat Sarawak yang ingin membuat semakan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) boleh melakukannya mulai 1 Januari 2025 di sarawak.gov.my.
“SKAS merupakan bantuan kewangan bersasar kepada anak Sarawak yang layak untuk membeli barangan keperluan asas makanan.
“Bantuan SKAS akan dibayar bermula suku pertama 2025 melalui e-dompet S Pay Global. Perbelanjaan boleh dibuat di pasar raya dan kedai runcit yang berdaftar sebagai ‘merchant’ S Pay Global yang menjual barangan keperluan asas,” jelas Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak pada Khamis
Antara kriteria kelayakan bagi penerima SKAS mestilah anak Sarawak iaitu pemegang kad pengenalan ‘K’ yang beralamat dan menetap di Sarawak.
Selain itu mereka juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 2024.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai SKAS boleh layari sarawak.gov.my.
Penerima SKAS perlu memuat turun aplikasi S Pay Global di telefon pintar bagi memudahkan bantuan dikreditkan ke akaun e-dompet S Pay Global milik mereka.
Cara pendaftaran S Pay Global juga disertakan untuk kemudahan penerima.
SKAS telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sewaktu membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada bulan November lepas.
Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup. -Edisi UKAS






