ARTIKEL

Semangat untuk sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JUMAAT minggu lalu, saya menziarahi seorang rakan yang sedang berjuang melawan kanser hati. Hari pertama saya datang ke rumahnya, beliau tiada. Mungkin ada urusan atau sedang mendapatkan rawatan. 

Saya pulang dengan sedikit rasa hampa, namun berjanji dalam hati untuk datang semula keesokan harinya.

Alhamdulillah, pada hari kedua, selepas solat Jumaat, saya bersama-sama tujuh rakan yang lain akhirnya bertemu dengannya.

Sejurus melangkah masuk ke dalam rumahnya, saya dapat melihat perubahan yang begitu ketara pada dirinya.

Wajahnya masih memancarkan ketenangan, tetapi tubuhnya jauh lebih susut daripada yang saya kenali dahulu. 

Suaranya perlahan, dan setiap patah perkataan seolah-olah memerlukan seluruh kekuatan yang masih berbaki.

Penyakit itu jelas telah meragut banyak tenaga fizikalnya. Namun, di sebalik tubuh yang lemah, saya melihat sesuatu yang tidak mampu disentuh oleh penyakit iaitu semangat untuk hidup.

Kami berbual tentang pelbagai perkara, terutama tentang sukan sepak takraw. Sesekali beliau tersenyum dan ketawa mengimbau kenangan lama dan bertanya khabar rakan-rakan yang lain. 

Tiba-tiba, dengan wajah yang bersahaja, beliau berkata,

“Dua minggu gik abang turun ke Kasmera main sepak takraw.” Saya hanya mampu tersenyum sambil mengangguk.

Mungkin bagi sesetengah orang, ungkapan itu kedengaran mustahil. 

Dalam keadaan kesihatan yang sedang diuji, bagaimana mungkin seseorang masih berbicara tentang bermain sepak takraw?

Namun, bagi saya, kata-kata itu bukan tentang kemampuan fizikal semata-mata, tetapi tentang harapan dan keyakinan bahawa masih ada hari esok yang perlu dirancang dan dinikmati.

Ketika itulah saya benar-benar memahami bahawa penyakit mungkin mampu melemahkan tubuh, tetapi tidak semestinya mematahkan jiwa kita.

Selagi masih mempunyai impian dan mahu bangun pada keesokan hari, serta ada sebab untuk tersenyum, selagi itulah semangatnya belum kalah.

Hakikatnya, kita sering menemui dua kelompok manusia yang berbeza.

Ada yang dikurniakan tubuh yang sihat tetapi mudah berputus asa apabila berdepan sedikit kesukaran.

Sebaliknya, ada insan yang sedang menanggung kesakitan setiap hari, namun tetap memilih untuk hidup dengan penuh harapan.

Mereka tidak menafikan kesakitan yang dialami, tetapi mereka enggan membiarkan kesakitan itu menguasai seluruh kehidupannya.

Semangat seperti inilah yang saya lihat pada rakan saya tadi.

Walaupun mengetahui perjalanan rawatan masih panjang dan penuh cabaran, beliau tetap bercakap tentang masa depan.

Beliau masih bercita-cita untuk kembali ke gelanggang, bertemu rakan-rakan dan menikmati saat-saat yang pernah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya.

Kami akan menantinya.

Mungkin impian itu kelihatan kecil di mata orang lain, tetapi bagi seseorang yang sedang melawan penyakit kronik, impian kecil itulah yang sering menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.

Pertemuan kami pada petang itu juga mengingatkan saya tentang satu perkara yang sering kita abaikan.

Semangat yang membara memang penting, tetapi menjaga kesihatan ketika tubuh masih sihat jauh lebih penting. 

Ramai antara kita hanya mula menghargai nikmat kesihatan apabila penyakit menyerang.

Ketika badan mula memberi isyarat dan doktor mula menyebut pelbagai istilah perubatan yang kita tidak faham, barulah kita menyesali tabiat yang selama ini dianggap remeh.

Kita sering menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana berasa masih muda atau masih kuat.

Keletihan dianggap sebagai perkara biasa, bacaan tekanan darah yang semakin meningkat diabaikan.

Begitu juga bacaan kandungan gula yang tidak terkawal atau kolesterol yang semakin tinggi. 

Sedangkan banyak penyakit kronik berkembang secara senyap tanpa menunjukkan gejala yang jelas.

Apabila simptom mula dirasai, adakalanya penyakit sudah berada pada tahap memerlukan rawatan lebih kompleks.

Sebab itu, menjaga kesihatan bukan pilihan gaya hidup, tetapi satu tanggungjawab.

Tubuh yang dikurniakan kepada kita adalah amanah yang perlu dipelihara melalui pemakanan seimbang, tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal yang konsisten mengikut kemampuan, pengurusan tekanan yang baik serta pemeriksaan kesihatan secara berkala. 

Langkah-langkah ini mungkin kelihatan mudah, namun kesannya amat besar dalam mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

Dan, dalam masa yang sama, kita juga perlu membuang tanggapan bahawa menjaga kesihatan hanya penting apabila usia semakin meningkat. Hakikatnya, penyakit tidak lagi mengenal usia. 

Kini, semakin ramai orang muda menghidap tekanan darah tinggi dan diabetes. Setiap hari, pasti ada pesakit baharu melibatkan jantung, yang juga melibatkan orang muda.

Semua ini akibat gaya hidup kurang sihat.

Oleh itu, usaha menjaga kesihatan perlu bermula saat ini, bukan apabila penyakit sudah hadir.

Bagi mereka yang sedang berjuang melawan penyakit kronik, rawatan bukan hanya bergantung pada ubat-ubatan dan kepakaran doktor.

Sokongan emosi keluarga, sahabat dan masyarakat juga memainkan peranan besar. 

Kadangkala, kehadiran seseorang yang sudi bertanya khabar, mendengar luahan hati atau sekadar menemani mereka menikmati secawan kopi sudah cukup memberikan ketenangan.

Perhatian ikhlas juga mampu menjadi ubat kepada jiwa yang sedang letih berjuang.

Sebelum saya pulang, saya memandang sekali lagi wajah rakan saya tadi.

Dia menangis.

Air mata saya juga tumpah.

Tubuhnya mungkin semakin kurus, suaranya mungkin semakin perlahan, namun semangatnya tetap teguh. 

Saya meninggalkan rumahnya dengan hati yang penuh rasa syukur dan insaf.

Petang itu, saya sedar bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada otot yang gagah atau tubuh yang tegap, sebaliknya hati yang enggan mengalah walaupun sedang berdepan ujian berat.

Pertemuan singkat itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya; mengajar bahawa hidup bukan diukur dengan berapa lama usia yang dimiliki, tetapi bagaimana kita menghargai setiap hari yang masih dipinjamkan. 

Kesihatan bukan sesuatu yang kekal. Ia boleh berubah dalam sekelip mata.

Sebab itu, jangan tunggu sehingga tubuh mula memberi amaran untuk kita mula berubah.

Semoga kita semua terus mensyukuri nikmat kesihatan sebelum diuji. Jagalah tubuh dengan sebaik-baiknya kerana kesihatan ialah anugerah yang tidak ternilai dan amanah yang akan dipertanggungjawabkan. 

Dan, kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit, teruslah memelihara harapan.

Ada kalanya tubuh menjadi lemah, tetapi semangat yang tidak pernah sakit itulah yang akan membawa kita melangkah setapak demi setapak menghadapi hari-hari mendatang.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

BERITA TERBARU