KUCHING: Keringkam, busana tradisional yang kaya dengan sulaman benang emas, terus dimartabatkan sebagai simbol warisan dan jati diri wanita Melayu Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyifatkan keindahan seni sulaman keringkam sebagai warisan yang wajar dipelihara dalam arus zaman yang kian maju.
“Pada 1 Syawal lalu, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tampil anggun, mengenakan sepersalinan keringkam yang terukir indah, dipadankan dengan busana berwarna kuning lembut — warna yang melambangkan kemuliaan, keceriaan, dan harapan baru.
“Penampilannya pada pagi raya itu bukan sekadar simbol keindahan luar, tetapi sebuah penghormatan yang mendalam terhadap seni dan budaya yang terus hidup meskipun dunia terus berubah,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Selain itu, usaha Toh Puan untuk menghidupkan kembali keringkam bukan sekadar pemakaian, tetapi juga sebagai perjalanan untuk meningkatkan kesedaran tentang keindahan, seni, dan nilai yang terkandung dalam setiap sulaman tersebut.
Dengan penuh keanggunan, Toh Puan mengajarkan bahawa kecintaan terhadap budaya bukanlah sesuatu yang harus dilaungkan, tetapi perlu disemai dalam tindakan yang tulus dan padu, agar warisan terus terpelihara sepanjang zaman.
Dalam hantaran tersebut, Tun Wan Junaidi turut berkongsi beberapa keping gambar isteri, anak-anak perempuan, dan cucu sulung yang turut mengenakan keringkam pada pagi Syawal, memperlihatkan kesinambungan budaya yang dijaga dan dipelihara dalam keluarga.
Tambahnya, ini bukan sekadar memelihara tradisi, malah menunjukkan pentingnya nilai jati diri dan kebanggaan terhadap warisan nenek moyang.



