
MIRI: Penyandang kerusi Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) berikrar akan mengutamakan untuk terus membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan terbabit sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Lukanisman, 40, merupakan Timbalan Ketua Pemuda PBB telah berkhidmat di Parlimen Sibuti sejak tahun 2018.
“Sepanjang tempoh sebagai Ahli Parlimen Sibuti, saya sentiasa menyuarakan keperluan rakyat kerana saya percaya Sarawak First iaitu memberi keutamaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Bekenu di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan PRU-15 pada kali ini berbeza ketika pertama kali membuat penampilan sulung pada tahun 2018.
Jelasnya, pada tahun 2018, beliau masih muda dan kini telah melalui banyak proses yang menjadikannya lebih matang sepanjang empat tahun bergelar Ahli Parlimen Sibuti.
“Saya telah menghadapi pelbagai cabaran termasuklah menjadi ahli pembangkang selama 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dan seterusnya negara dilanda pandemik Covid-19.
“Dalam tempoh yang mencabar ini, saya berjaya membantu mereka yang memerlukan termasuk mengagihkan bakul makanan dan membawa rakyat dari luar bandar ke pusat vaksinasi,” jelasnya.
Tambah Lukanisman, jika terpilih sekali lagi, beliau akan terus membangkitkan isu berkaitan seperti isu sekolah daif di Dewan Rakyat selain memberi tumpuan kepada isu infrastruktur kesihatan luar bandar, keselamatan dan isu geopolitik.
Mengulas mengenai persediaan jentera GPS kawasan Sibuti, beliau memberitahu bahawa semua jentera telah bersiap sedia demi memastikan GPS menang.
Jelasnya, jentera pilihan raya GPS mempunyai banyak pengalaman dan pernah terlibat semasa Pilihan Raya Negeri pada sepuluh bulan yang lalu, dan seramai 2,000 ahli serta sekurang-kurangnya 500 orang sukarelawan yang terlibat.







