BETONG: Pasukan Sepak Takraw MAKSAK Betong berazam menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Sepak Takraw, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Peringkat Negeri Sarawak 2025 bermula hari ini hingga Ahad.
Pengurus Pasukan, Mohd. Rushdi Sani memberitahu, pihaknya sedar tugasan mencabar menanti pemain dalam mengharungi kejohanan tiga hari (8-10 Ogos) itu dengan pembabitan sama bahagian lain.
Namun kata Rushdi, semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan situasi tersebut.
“Kita berazam menampilkan aksi terbaik sepanjang kejohanan ini berlangsung.
Itu janji kita, dan andaikata berjaya mencipta kejutan luar jangkaan, ia ibarat bonus buat kami,” ujar Rushdi kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Rushdi, persiapan pasukan berjalan lancar dengan latihan yang dilaksanakan mengikut jadual sejak beberapa minggu lepas.
Sementara itu, pagi tadi berlangsung majlis penyerahan jersi kepada pemain pasukan tersebut bertempat di Pejabat Residen Bahagian Betong dan disempurnakan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.
Sebanyak 7 pasukan bertanding dalam kejohanan yang dilangsungkan di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kaling Ningkan, Betong
Temasya kali ini menyaksikan Bahagian Betong sebagai tuan rumah dengan penyertaan pasukan dari Bahagian Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Kapit.



