Serah nyawa pada undian Instagram

SEMALAM kematian remaja perempuan 16 tahun setelah terjun dari tingkat tiga menggemparkan penduduk Kuching.

Bukan bagaimana cara dia nekad terjun dan meninggal dunia yang mendapat perhatian, tetapi cara dia menentukan cara memilih untuk menamatkan nyawanya.

Remaja berkenaan memuat naik dalam Instagram satu status yang mungkin pada kawan-kawannya gurauan kasar, tetapi hakikatnya ia cara yang dia harus pilih untuk mencabut nyawanya sendiri.

“Tolong saya pilih hidup atau mati, saya sudah letih” – itu status yang diletaknya dalam instastory.

Ironinya, kawan Instagramnya “selamba” mengundi supaya dia memilih mati.

Dan tragisnya, gesaan itu mendapat 69 peratus undian maut.

Satu undian dan gesaan yang tidak bertanggungjawab, tidak bermoral, bersifat pengabaian dan sangat lekeh. Bukankah itu cara paling kejam apabila Instagram boleh mencabut nyawa, seakan-akan mengambil alih kerja malaikat?

Menyerahkan kerja malaikat kepada rakan media sosial untuk mencabut nyawa ternyata satu perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Inilah akibat apabila kewarasan “dibunuh” oleh satu bentuk kemajuan teknologi.

Yang meminta mungkin sudah berada pada tahap “tidak waras” dalam “unconscious” atau bawah sedar, namun paling parah netizen ramai yang waras tetapi bersikap selamba dan hilang sensitiviti kepada mangsa yang sebenarnya sangat memerlukan bantuan ketika itu.

Pengaruh media massa berbeza-beza terhadap setiap individu. Hal ini disebabkan kerana adanya perbezaan corak pemikiran, perbezaan sifat yang terkesan pada pengambilan sikap.

Manakala era globalisasi pula memiliki pengaruh kuat pada segala dimensi kehidupan masyarakat seperti kes remaja berkenaan.

Perkembangan teknologi membuatkan masyarakat tersepit antara dua pilihan sama ada mahu maju bersama teknologi atau dianggap kuno kerana tidak celik terhadap teknologi.

Media massa harus diguna pakai sebagai satu bentuk kemajuan teknologi informasi dan komunikasi yang menyebar maklumat dengan mudah pada masyarakat.

Informasi dalam bentuk apapun dapat disebar luas dengan mudah dan cepat sehingga mempengaruhi corak pandangan dan gaya hidup.

Tetapi menyerahkan hidup mati “seseorang” kepada media sosial sehingga menjadi malaikat maut sangat menyedihkan.

Ketika itu mereka yang dipanggil netizen yang bertanggungjawab seharusnya membantu “menyelamatkan” mangsa bukan sebaliknya.

Sementara dari sisi lain, pakar psikologi sering mengingatkan agar individu tidak mudah mengabaikan apabila terdapat individu lain meluahkan rasa ingin membunh diri, jauh sekali menganggapnya sebagai gurauan.

Umpama bom jangka, luahan individu membunuh diri biasanya “diletupkan” ketika dirinya berada pada garis bawah sedar dan hilang pertimbangan dan putus harapan untuk hidup.

Ketika itu, dia sangat memerlukan satu bimbingan positif bukan sebaliknya.

Suara Sarawak