IPOH: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru yang menempatkan enam mangsa banjir daripada sebuah keluarga di daerah Batang Padang ditutup sepenuhnya tengah hari semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan seramai 38 mangsa daripada 10 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor di daerah Larut, Matang dan Selama.
“Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Matang Pasir yang berlindung di PPS berkenaan sejak 1.30 pagi tadi susulan banjir di kampung tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memaklumkan paras air di Sungai Kinta di Tanjung Tualang telah melepasi tahap bahaya dengan bacaan 13.57 meter (m) berbanding paras normal 10 m.
Sungai Bidor di Changkat Jong dan Sungai Slim di Slim River turut melepasi tahap bahaya masing-masing dengan bacaan 3.72 m dan 26.91 m.—BERNAMA



