ARTIKEL

Airiel Mikhael Adlan muncul juara Kategori A.

Serlahkan bakat cilik di pentas fesyen

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tampil lebih berwarna apabila Putera Puteri Merdeka 2026 (Edisi Jalur Gemilang) anjuran Juh Shopping dan Razz Couture menghimpunkan kanak-kanak dari pelbagai latar dalam sebuah acara yang menggabungkan fesyen, kreativiti dan semangat patriotisme.

Program yang berlangsung meriah itu bukan sekadar mengetengahkan bakat kanak-kanak di pentas peragaan, malah menjadi wadah untuk membina keyakinan diri serta menyemai rasa cinta terhadap negara sejak usia muda.

Aulia Izzatunnisa Dedi Alfiansah juara kategori B.

Menurut penganjur, Razie Ali, idea penganjuran tercetus daripada keinginan untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi pendekatan kreatif, ceria dan dekat dengan jiwa kanak-kanak.

Program itu turut memberi ruang kepada peserta mengembangkan bakat dan keberanian ketika tampil di hadapan khalayak, selain mengeratkan hubungan antara keluarga dan komuniti.

Ratu cilik melangkah berani dan yakin di pentas peragaan.

Anak-anak bukan sahaja belajar tentang keberanian di atas pentas, tetapi juga memahami nilai perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.

Pemilihan tema Jalur Gemilang pula menjadi penghormatan terhadap simbol negara apabila warna merah, putih, biru dan kuning diterjemahkan menerusi kreativiti pakaian dan penampilan peserta.

Tiga terbaik kategori B.

Katanya, pendekatan itu membantu kanak-kanak memahami simbolik Jalur Gemilang dalam suasana santai dan menyeronokkan, di samping memberikan identiti kebangsaan yang jelas kepada program.

Lebih istimewa, edisi tahun ini turut menggabungkan keunikan budaya tempatan Sarawak dengan elemen patriotik, sekali gus menjadikan persembahan peserta lebih tersendiri.

Antara para peserta Putera Puteri Merdeka 2026 yang memukau penonton.

“Kerjasama Juh Shopping dan Razz Couture memberikan sentuhan lebih kemas terhadap aspek penganjuran dan persembahan fesyen.

“Pemilihan lokasi di pusat beli-belah The Hills pula mewujudkan suasana terbuka serta mudah diakses peserta dan keluarga,” katanya.

Pelbagai cetusan kreativiti dapat dizahirkan melalui fesyen yang unik dan tersendiri.

Penyertaan dibuka kepada kanak-kanak dari seluruh Sarawak dengan peserta dinilai berdasarkan kreativiti dan kesesuaian pakaian mengikut tema Jalur Gemilang, keyakinan diri, gaya berjalan, senyuman, perwatakan, kefahaman terhadap tema Merdeka, penampilan keseluruhan dan keaslian.

Hasil penilaian juri menyaksikan Airiel Mikhael Adlan muncul juara Kategori A, diikuti Leya Aldabella Ahmad Hidayat di tempat kedua dan Muhammad Irfan Hanif Abdul Rahman di tempat ketiga.

Bagi Kategori B, Aulia Izzatunnisa Dedi Alfiansah dinobatkan juara, manakala Nur Qistina Batrisyia Samsudin di tempat kedua dan Cassandra Glessia Christopher di tempat ketiga.

Dua anugerah khas turut diberikan dengan Peragaan Terbaik menjadi milik Nur Balqis Anisha Mansoor, manakala Kostum Terbaik dianugerahkan kepada Dayang Aina Fatihah Abg Mohamad Za’afari.

Nur Balqis menampilkan kelincahan, keyakinan dan karisma di pentas, manakala Dayang Aina menyerlahkan keaslian serta ketelitian reka bentuk pakaian bertemakan Jalur Gemilang.

Selain pertandingan, program turut dimeriahkan dengan pameran dan ruang bergambar berkonsepkan Jalur Gemilang, pertunjukan mini, persembahan sokongan serta penyampaian cenderahati dan penghargaan kepada peserta.

Razie berkata, antara cabaran utama ialah memastikan perjalanan acara mengikut jadual selain menjaga keselamatan dan keselesaan peserta muda serta memenuhi jangkaan ibu bapa.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama semua pihak membantu memastikan program berjalan lancar.

Beliau berkata, sambutan terhadap program itu juga menggalakkan dengan maklum balas positif diterima daripada ibu bapa dan masyarakat.

Adik Airiel tampil bersemangat pada sesi memperkenalkan diri kepada audien.

Menurutnya, program berkenaan membuktikan pentas fesyen bukan sekadar ruang untuk bergaya, tetapi turut mampu membentuk keberanian, disiplin, kreativiti dan keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak.

Pihak penganjur berharap Putera Puteri Merdeka dapat dijadikan acara tahunan yang lebih besar dan mantap pada masa hadapan, sekali gus menjadi wadah melahirkan generasi muda yang kreatif, berkeyakinan dan mempunyai kecintaan terhadap negara.

Jalur Gemilang bukan sekadar warna dan lambang, sebaliknya simbol kebanggaan bersama yang menyatukan rakyat Malaysia. Melalui program sebegini, semangat itu terus disemai dalam diri generasi muda sebagai pewaris masa depan negara.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU