MINGGU lalu, kawan sekolah saya tiba-tiba menghantarkan saya salinan novel Madu Dalam Saringan melalui Pos Laju.
Seingat saya, bulan lalu saya ada menyebut tentang dua novel ini ketika berada di tingkatan enam dan kedua-duanya seingat saya berada di kampung atau mungkin hilang di dalam asrama.
Salinan yang saya terima, cetakan hitam putih daripada sahabat.
Katanya, dia mengembalikan benda yang memang milik saya tetapi bukan yang asal kerana sudah hilang.
Saya terkejut. Saya sudah lupa kerana ia berbelas-belas tahun lalu dan tiada niat langsung meminta kembali.
Dalam masa yang sama, saya sebenarnya lupa sepenuhnya!
Saya bertanya dari mana dia mendapatkan salinan itu?
Jawapnya, “Dari dalam talian.”
Baiklah, niatnya ikhlas kerana mungkin selepas menerima pertolongan kecil baru-baru ini, dia teringat masih ada barang milik saya yang tersimpan dalam simpanannya.
Saya membelek helaian hitam putih itu.
Saya sebenarnya tahu susur galur cerita di dalamnya tetapi apabila membacanya semula, selepas kini saya bekerja dan matang pengalaman, baru saya faham betapa watak Rukmani sarat dengan pengajaran.
Perempuan desa yang berkahwin muda, menanam padi dan berjuang menampung keluarga ketika tanah gagal memberi hasil.
Hidupnya sederhana, diuji dengan cabaran dan kehilangan tetapi ketabahannya mengajar tentang menapis hidup setitis demi setitis seperti madu yang ditapis agar yang manis jatuh perlahan-lahan ke mangkuk.
Membaca novel itu, saya teringat perjalanan hidup saya sendiri.
Saya anak kampung, dibesarkan di rumah kayu, hidup sederhana tetapi penuh warna dan cerita, ada jiran saling menolong, kawan-kawan bermain di sungai dan setiap musim ada ujian dan kejayaan kecil.
Berpuluh-puluh tahun lalu, saya berhijrah ke Kuching.
Dari kampung yang mengenali setiap langkah, saya tiba di kota yang penuh bunyi, cahaya dan ramai wajah asing.
Sunyi itu nyata tetapi setiap langkah adalah latihan.
Latihan pertama yang menjadi kekangan ketika itu bahasa Melayu Sarawak.
Beberapa tahun di Kuching, rakan baik saya menegur dialek Melanau saya yang masih kuat ketika menuturkan bahasa Melayu.
Namun selepas berpuluh tahun, anak-anak pula memberitahu, sebutan saya agak berbeza dengan keluarga Melanau yang lain dan tiada langsung lekat aura Melanau dalam pertuturan saya.
Ia bukan sesuatu yang membanggakan, namun saya menerimanya dengan hati terbuka kerana kita harus mengaum seperti harimau apabila berada di dalam kandangnya.
Dua puluh empat jam di Kuching, saya hidup dengan orang sekeliling yang kesemuanya Melayu.
Jadi tidak hairan jika lidah sudah lembut nenuturkannya.
Namun, lebih menggembirakan kedua-dua anak saya sudah fasih berbahasa Melanau yang menjadikan mereka tidak terasa asing jika pulang ke kampung.
Selepas beberapa tahun berhijrah, kemudian saya berkahwin. Kehidupan berumah tangga ternyata jauh lebih kompleks daripada yang dibayangkan.
Ada hari-hari ketika segala-galanya berjalan lancar tetapi lebih banyak hari cabaran datang silih berganti, gaji yang kecil, pertengkaran kecil yang membesar jika tidak dikawal dan tanggungjawab terhadap keluarga yang kadang-kadang terasa berat.
Namun cabaran dan kesilapan kecil itu menjadi kenangan manis dan mengajar saya — dalam rumah tangga, tidak semua perlu sempurna, yang penting usaha dan niat.
Seperti watak Rukmani dalam novel ini, hidupnya tidak mudah kerana kehilangan tanah, gagal menuai padi, kehilangan anak tetapi dia tabah menahan semuanya setitis demi setitis, menapis pahit dan menadah manis.
Novel itu mengingatkan saya cabaran dan dugaan sebahagian daripada proses kehidupan bukan penghalang untuk bahagia.
Watak Rukmani bekerja keras dari subuh hingga senja dan setiap titisan peluhnya adalah latihan kesabaran.
Saya dan ramai wanita di luar sana yang hidup kadang-kadang seperti Rukmani, mengurus rumah, bekerja, menjaga anak, menyiapkan laporan kerja dan menghadapi masalah kewangan.
Tidak semuanya mudah tetapi setitis demi setitis, pengalaman itu menitis ke dalam hidup saya, mengajar bersabar dan menghargai setiap titisan manis yang datang.
Dalam kehidupan seharian, madu itu hadir dalam bentuk kecil seperti anak yang dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, malam yang tenang walaupun rumah sederhana.
Dan, madu juga boleh datang dalam bentuk takdir walaupun manis, titisannya tetap pahit tetapi masih boleh ditelan.
Setitis demi setitis, kebahagiaan menitis ke dalam hidup saya, mengimbangi kepahitan dan kemanisan lantas mengajar saya untuk tenang.
Kini apabila saya memegang salinan hitam putih novel itu, saya sedar yang hidup sudah matang sepenuhnya.
Setiap cabaran, setiap kehilangan, setiap hari yang sukar telah menapis hidup saya.
Seperti Rukmani, saya belajar untuk menghargai yang sedikit, menadah setiap titisan kebahagiaan walaupun hakikatnya pahit juga mengajar kita menjadi lebih kuat.
Hidup ini bukan tentang mengumpul madu sepenuhnya, tetapi tentang kesanggupan menadah titisannya walau sedikit dan mensyukuri setiap rasa manis yang berjaya jatuh ke dalam hidup kita.
Setitis demi setitis, kita belajar bersabar, bertahan dan menghargai yang benarbenar penting.
Dan dalam setiap cabaran rumah tangga, saya sedar titisan manis itu sentiasa ada jika kita tahu menadah dan mensyukuri.
Saya menutup salinan hitam putih itu.
Saya membaca di bangku sekolah dan kini saya khatam sekali lagi di kerusi pejabat.
Saya percaya Rukmani memberi pengajaran kepada semua wanita bahawa hidup tidak pernah sempurna, cabaran tidak pernah berhenti tetapi ketabahan dan kesabaran menapis segala pahit dan menadah manis menjadi kunci untuk terus melangkah.
Pada akhirnya seperti Rukmani, kita akan sedar setiap cabaran yang ditapis itu bukan penghalang tetapi sebahagian daripada madu kehidupan yang sebenar.
Hidup setitis demi setitis tetap manis jika kita tahu menadahnya.



