Setelah 24 bulan Suara Sarawak di pasaran

ISNIN lalu, genap dua tahun usia Suara Sarawak.

Tidak terasa akhbar paling bongsu di Bumi Kenyalang ini mencipta sejarah.

Akhbar ini unik kerana ia lahir tatkala kebanyakan akhbar lain sakit tenat.

Ada yang terpaksa menjalani rombakan besar-besaran, dan tidak terkecuali, ada yang terus ke kuburan, dimatikan oleh pemiliknya.

Sebelum ini ada beberapa sebab yang menjadi punca pasaran akhbar di dunia bermasalah.

Bangkit Revolusi

Pertamanya, kerana perkembangan teknologi Internet, yang membangkitkan revolusi persuratkhabaran dalam talian.

Akhbar dalam talian lebih pantas, mudah dan realtime, menjadikan ia pilihan generasi muda.

Ia juga interaktif dan disekalikan dengan paparan video.

Pada masa yang sama, kos penghasilan akhbar turut meningkat – baik dari segi pengilangan mahupun kos kertas.

Malah kos edaran turut melangit disebabkan keperluan untuk mengedarkan akhbar dengan pantas.

Ini menyebabkan pemilik akhbar terpaksa membayar lebih, tidak termasuk “permainan komisen” oleh sindiket edaran.

Bagi kebanyakan pemilik akhbar, faktor ini memang menggerunkan.

Ini belum lagi aspek pengiklanan, dengan tumpuan pasaran kepada produk lebih popular — digital.

Namun dalam situasi serba mencabar itu, Suara Sarawak tidak ralat dan takut.

Ia malah bagai mencari magis tersendiri.

Sentiasa Berinovasi

Ia lahir dengan semangat dan karisma tersendiri, hingga ada pemain industri yang meramalkan ia hanya mampu bertahan kurang 100 hari.

Anehnya, hingga hari ini, bukan sahaja akhbar ini masih mampu bertahan, malah ia sentiasa bermotivasi menambah edaran fizikal, meninggalkan pesaingnya.

Suara Sarawak sehingga pojok ini ditulis, masih diniagakan RM1 senaskhah.

Walhal kosnya lima hingga enam kali ganda lebih daripada itu.

Ironinya, ia masih hidup dan bertahan serta menerima iklan dan langganan yang memuaskan.

Ini membuktikan akhbar secara fizikal, sebenarnya masih ada pengikut dan jumlahnya ramai.

Akhbar konvensional tidak akan mati.

Malah akan kembali diminati, jika betul ramuan dan hidangannya.

Sebagai Editor Eksekutif pertamanya, saya yakin akhbar ini akan terus bertahan, selagi pembacanya dahagakan maklumat.

Keupayaan wartawan mengangkat isu rakyat, sajian pemikiran yang tuntas tanpa bias serta hidangan maklumat yang tepat dan berwibawa akan menyebabkan ia terus diterima pelbagai pihak.

Aspirasi Kerajaan

Hakikatnya, Suara Sarawak bersikap interaktif.

Ia mendokong aspirasi kerajaan tetapi pada masa yang sama, ia membawa suara rakyat ke atas.

Peranannya “bukan sekadar akhbar”, sebaliknya menjadi jambatan kepada kedua-dua pihak.

Akhbar ini juga merupakan saluran ilmu yang boleh dipercayai, kerana tulisan-tulisan dan analisisnya adalah berlandaskan fakta serta dihasilkan oleh individu yang “ahli” dan pakar dalam bidang masing-masing.

Laporan beritanya pula menyeluruh, mendalam dan memudahkan pembaca, melalui paparan grafik.

Itulah puncanya akhbar yang baru setahun jagung ini mampu meraih banyak kemenangan dalam Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020.

Setelah lebih enam bulan berada di luar akhbar ini, saya melihat bentuk dan gayanya semakin berani.

Ini antara ciri penting jika mahu akhbar ini terus diminati dan menjadi wadah maklumat generasi masa depan.

Ia harus terus menjadi perakam sejarah dan tidak menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak.

Malah kredibiliti perlu dipertahankan dan terus utuh, dan inilah yang akan menyuntik kelainan untuk terus bertahan.

Laporan Tuntas

Harus diingat, sebagai akhbar, ia sebenarnya ketinggalan berita selama 12 jam berbanding media sosial, justeru ia harus menawarkan sesuatu yang media sosial sukar untuk tawarkan.

Kerana itu langkah akhbar ini menerbitkan edisi digital dan media sosial wajar dan tepat.

Sekurang-kurangnya kurangnya pencandu maklumat dapat dibekalkan bahan terkini setiap masa melalui edisi digital, sebelum melanjutkan pembacaan dengan laporan tuntas dalam edisi cetak selepas itu.

Sebelum menulis pojok ini, saya sempat mendapatkan pandangan banyak pihak.

Setakat ini, tiada reaksi negatif, sebaliknya ramai yang gembira dan menjadikan akhbar ini santapan pagi mereka.

Kata mereka, memang perlu kepada penambahbaikan, namun ia penambahbaikan biasa yang tidak terlalu ekstrem.

Lebih menarik kata mereka, ia memberi ruang besar kepada berita tempatan, dan ia amat diperlukan.

Untuk maju saran mereka, buka telinga pada kritikan dan terima dengan hati terbuka akan setiap teguran.

Insya-Allah akhbar ini akan terus mendapat tempat di hati pembaca.

Suara Sarawak