Siapa LEW YUN PAU?

DENGAN imej sederhana cuma berjubah dan berkopiah, lelaki ini dikenali di seluruh negara kerana melakukan kerja yang orang lain “tidak mampu buat”. Terkenal dengan tagline “Allah Sayang Kita”, pemilik nama Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Lew Yun Pau mungkin agak asing didengar.

Namun apabila disebut Ustaz Ebit Lew, kita segera membayangkan lelaki yang namanya menitip di bibir rakyat Malaysia kerana sikap dermawannya.

Sebelum Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu, tidak ramai orang mengenalinya malah tidak ingin pun hendak tahu siapa pemilik sosok yang sering berpakaian sederhana ini.

Tetapi selepas tular berita lelaki berkopiah masuk lorong-lorong gelap membantu penagih, pergi ke jalanan membantu gelandangan tanpa mengira bangsa dan agama, carian tentang dirinya mula mencanak naik di Google.

Semua orang ingin mengenalinya dan tertanya-tanya siapakah gerangan Ebit Lew? Beliau anak kepada lelaki keturunan Cina, Ibrahim Lew yang memeluk Islam ketika mengahwini ibunya berketurunan Cina Muslim dari Indonesia, Shamsinar Hakim.

Anak ketiga daripada 12 orang adik-beradik ini dilahirkan pada 21 Disember 1984, berasal dari Muadzam Shah Pahang dan memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia.

Daripada semua adik-beradiknya, cuma beberapa orang yang memilih agama Islam dan selebihnya kekal agama asal bapanya. “Saya lahir dalam keluarga yang bercampur pegangan agamanya,” katanya.

Mula-mula berjinak dengan dakwah seawal usia 12 tahun, selepas rapat dengan guru Matematiknya bernama Cikgu Mohd Noor Jaafar. “Cikgu Mohd Noor sentiasa menekankan solat, tidak kira apa- apa agama sekali pun, kita mesti ada The One yang mahu disembah.

Katanya, jika meninggalkan solat orang Islam boleh masuk neraka selama 80 tahun. Sejak itu, saya mula mahu mengenali solat. “Hidup dalam keluarga yang pelbagai agama tidak mematahkan semangat saya mahu menjadi Muslim sejati. Kakak dan abang, ada yang pilih Islam dan ada yang mahu kekal dengan agama mereka pilih, mereka tetap adik-beradik saya,” katanya

Pada usia 13 tahun, Ebit membuat langkah berani apabila mengikuti kumpulan tabligh ketika cuti sekolah untuk membuat kerja dakwah di madrasah di Pakistan dan Thailand. Sejak itu, Ebit membuka ruang dakwah dengan lebih luas kepada penagih dadah, wanita di lorong gelap dan mat rempit di tepi jalan.

Perjuangannya bukan calangcalang, kerana pernah menjadi mangsa buli di universiti akibat semangat dakwahnya apabila mengetuk pintu ke pintu kolej kediamannya untuk menggerakkan rakan-rakannya solat Subuh.

Namun rakyat Malaysia mula membuka mata untuk mengenali Ebit selepas Program Door To Door sepanjang PKP memaparkan keikhlasannya menyediakan rumah untuk keluarga susah, malah sanggup menyewa banyak rumah untuk kediaman sesiapa sahaja yang dirasa beliau tidak wajar untuk tinggal di dalam sampah.

Program yang mendapat berjuta-juta perkongsian di Facebook rasminya sering mendapat perhatian netizen. Beliau melakukan perkara yang orang seperti kita tidak sanggup buat. Ebit terkenal kerana kadangkala menjalani aktiviti sumbangan dan kebajikan berskala besar.

Malah baru-baru ini Ebit menyumbang peralatan perubatan penting bagi kegunaan pegawai perubatan di Sabah yang terjejas teruk dek gelombang tersebut pada masa itu yang dihantar dengan sebuah pesawat yang ditempah, Raya Airlines.

Seminggu kemudian, Ebit Lew juga menghantar bekalan makanan sebanyak kira-kira 10 tan dari kedainya, Elwesmart bagi penduduk Sabah.

Pada 15 November, Ebit Lew menghantar sumbangan kira-kira 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayursayuran kepada Zoo Negara yang terjejas dengan masalah kewangan. Tindakan ini juga membangkitkan semula isu kewangan Zoo Negara yang berlanjutan sejak sekian lama dalam kalangan rakyat negara.

Kerja amalnya menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong dan baginda mencemar duli menyertai misi bantuan Ustaz Ebit pada awal Februari lalu. Beliau juga menjentik hati Istana Johor apabila dijemput makan tengah hari bersama Tengku Mahkota Johor yang secara peribadi ingin mengenalinya lebih dekat.

Siapa sebenarnya Ustaz Ebit? Apa perkerjaan? Apa sumber kekayaannya? Dengan hanya berceramah dan berdakwah, tidak memungkinkan beliau menjelajah seluruh negara dan terus menyumbang wangnya.

Lebih hebat, Ustaz Ebit mendiami rumah bernilai RM4.5 juta, memiliki tiga kereta mewah dan wangnya terus mengalir masuk berdasarkan perkongsian sumbangannya sehingga semalam, beliau membeli begitu banyak tablet pintar untuk diberi kepada pelajar supaya dalam mengikuti kelas dalam talian.

Orang ramai berterusan membuat carian di Internet, untuk mengenali Ebit Lew. Carian akan menemukan anda tentang cerita dakwahnya. Dakwah gelandangan, masuk lorong, dakwah di kelab malam, dakwah mak nyah, banduan, budakbudak rosak akhlak, dakwah suami isteri yang hendak bercerai, dakwah orang masuk Islam dan banyak lagi.

Sangat banyak kerja dakwah beliau buat.

Selain Memilih Pertubuhan…

Kasih Umat Malaysia, Ebit memiliki syarikat berkaitan membekal minyak dan gas, tiga buah restoran, butik baju, syarikat penerbitan yang menjual sembilan buku tulisannya yang tersenarai dalam 10 Best Seller, syarikat motivasi Transform Jiwa yang menarik beribu-ribu penyertaan termasuk Program Keluarga Sunnah yang memunggut sehingga RM500,000.

Selain itu, Ebit mendapat bayaran YouTube dan Facebook sehingga RM20,000 sebulan. Dalam semua misi dakwahnya, Ebit selalu berkongsi kejayaannya yang sangat mudah dan kekal hinģga hari ini. “Rahsianya, doa kepada Allah. Jangan sesekali tinggalkan doa dan solat.

Dua rahsia ini ialah kunci kepada semua perjalanan kita di dunia. “Allah sayang orang yang besar jiwanya dan orang yang sentiasa mencari Dia. Ikhlaskan hati dengan semua orang, terus memaafkan orang lain, jangan mengianaya orang, jangan terus mengejar dunia. “Jika kita jaga kesemuanya, kita akan tenang dan bahagia.

Tuhan akan sentiasa membuka jalan kerana masalah akan digandingkan dengan penyelesaian,”katanya. Beliau juga berkongsi cerita, pernah didatangi orang hebat dalam kalangan VVIP yang mencari diri. “Dia datang kepada saya dan minta dimotivasi dan bertanya bagaimana kekayaan tidak pernah menenangkan jiwa dia. Katanya, dia ada banyak syarikat, ada banyak wang dan hidup mewah tetapi masih ada ruang kosong.

“Saya katakan kepadanya, berhenti mencari dunia dan carilah akhirat. Habiskan waktu bersisa dengan mendalami ibadat yang sebenar. Jangan dikejar lagi dunia, duduk rumah beribadat dengan tenang, panggilkan orang untuk mengajar Islam sebenar dan belajar mendalami al-Quran, nescaya dia menemui jawapan,” ceritanya.

Namun sebagai manusia biasa, cuma ada satu kekesalan di dalam hidupnya yakni tidak sempat berkongsi kesenangan dengan ibunya. “Ibu saya pergi ketika saya sibuk mencari duit. Saya pernah bekerja di Kuala Lumpur dengan gaji RM800, cuma itu yang saya sempat kongsi dengan ibu.

Gaji pertama saya kirim kesemuanya kepada ibu kerana saya mahu ibu gembira. “Malamnya saya tidur di masjid dan berlapar kerana tiada satu sen pun duit. Yang saya ingat ketika itu, cuma ibu saya,” katanya dan terus mengambil air wuduk. Ketika itu, ada hamba Allah menyelitkan wang RM2 ke sakunya dan memberinya selimut untuk tidur.

“Saya membeli air dan biskut. Saya tidak kisah saya lapar, saya mahu emak saya senang hati. Sampai sekarang saya masih simpan selimut yang hamba Allah berikan itu,” katanya. Ebit juga pernah membuka jubahnya dan hanya berbaju-T pagoda kerana kasihannya kepada seorang gelandangan tidak berbaju yang dijumpainya di masjid.

“Ketika itu ibu masih hidup, dia marah saya. Katanya mengapa saya sanggup memberi baju sedangkan saya sendiri susah untuk beli baju? Tidak lama selepas itu, ada seorang Pakistan yang menghadiahkan saya dua jubah yang lebih cantik. “Nampak tidak, jika kita memudahkan urusan orang lain, kita diberi berlipat kali ganda rahmat-Nya,” katanya.

Di sisi lain, seperti lelaki lain Ebit memiliki isteri yang sangat cantik dan empat anak comel. Menggelar isterinya sebagai bidadari, Ebit dalam perkongsian terkini menceritakan, bagaimana tabahnya isterinya bersuami lelaki bernama Ebit Lew. “Saya bisik kepada bidadari saya setiap pagi. Hargai sedikit masa yang ada.

Terima kasih selalu jaga anak-anak. Didik anak-anak. Rindu dan sayang sangat. Jika hati bahagia di mana pun kita akan bahagia. Setiap pagi selalunya dapat bercakap sekejap dengan bidadari tercinta. Lepas itu keluar rumah balik sudah lewat malam. Jika ada masalah besar tiba-tiba tidak balik beberapa hari.

Tapi nak tahu tak, bidadari inilah yang selalu beri semangat dan doa. “Orang boleh cakap apa-apa sahaja. Kita lalui dan pilih jalan perjuangan ini. Cukuplah Allah tempat bergantung berserah. Kita tak hidup untuk orang. Kita hidup untuk Allah sayang. Kepada Allah kita adukan kesedihan dan kesusahan. Sayang semua orang dan maafkan semua orang.

“Saya hadiahkan pahala buat bidadari ini yang sebenarnya pejuang. Tidak banyak cakap, tak pandai komplen. Tidak pernah mengeluh. Sentiasa hadiahkan senyuman. Banyak berkorban dan berdoa menangis untuk suami dan setiap insan atas dunia ini. Terima kasih bidadariku,” catatnya.

Nama Ebit Lew terus dicari selagi kelibatnya muncul di tengah-tengah hati yang kesusahan. Amal dan sumbangannya bukan sedikit, tetapi Ebit Lew tidak pernah riak menunjuk siapa sebenar dirinya. Beliau tidak pernah menganggap dirinya penyelamat sebaliknya sentiasa menyifatkan, rezeki yang diperolehnya untuk dikongsi dengan semua orang yang memerlukan kerana selagi beliau memudahkan urusan orang lain, Ebit percaya Allah memudahkan semua perkara yang diusahakannya.

Saya dan kalian semua pun ingin menjadi seperti Ebit Lew dan pesanannya yang mungkin terkesan kepada kita semua – sentiasa berhati bersih, sayangkan semua orang, mudahkan urusan orang lain dan terus berdoa untuk mengubah diri, nescaya kata Ebit, Allah mempermudah jalannya.