KUCHING: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci untuk mengetahui punca kes serangan dengan asid ke atas pemain bola sepak negara, Faisal Halim.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kes tersebut mesti ditangani dengan sebaik mungkin sekiranya melibatkan sindiket dengan tujuan tertentu.
“Kejadian itu amat menyedihkan kerana melibatkan atlet sukan, lebih-lebih lagi mereka yang mewakili negara.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa akan mencari punca, kenapa kes sebegitu boleh berlaku, sehingga ke akar umbi.
“Adakah ia melibatkan masalah kecil seperti pergaduhan antara pemain, dengan kekasih atau lebih besar sehingga ada sindiket tertentu terlibat?
“Hal ini mesti ditangani secara betul kerana ia adalah tindakan sangat keji menyimbah asid kepada seseorang, terutamanya atlet yang mewakili negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kumpulan Affin di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berpendapat kes sebegitu merupakan perkara baharu di Malaysia, namun kesal kerana ia berlaku sehingga menyebabkan kecederaan parah.
“Kalau kes gaduh di padang atau luar padang melibatkan atlet itu perkara biasa.
“Namun kes simbah asid seperti ini, saya rasa beliau memang telah disasarkan oleh individu yang melakukannya.
“Perkara ini agak membimbangkan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kemungkinan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan beliau sehingga mendorong mereka untuk melakukan tindakan sedemikian tetapi saya tidak boleh membuat spekulasi,” tambahnya.
Pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga bintang kelab bola sepak Selangor FC, mengalami kecederaan teruk pada bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang dan dilaporkan mengalami cedera kebakaran tahap empat.






