ARTIKEL

JOHNNY PANG (tengah) menerima cenderamata daripada Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli (kanan).

Sinergi industri perkasa TVET

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerjasama strategik antara institusi akademik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan pesat sektor perindustrian di Borneo disokong oleh tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan pendigitalan sedang mengubah landskap pekerjaan, sekali gus menuntut pendekatan lebih rapat antara sektor pendidikan dan industri dalam pembangunan bakat.

Beliau berkata institusi pendidikan perlu memahami keperluan sebenar industri, manakala syarikat dan pemain industri perlu terlibat secara lebih aktif dalam proses melahirkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak pasaran.

“Apabila teknologi berubah, kemahiran yang diperlukan juga berubah. Sebab itu universiti, institusi TVET dan industri perlu bekerjasama dengan lebih rapat.

“Institusi pendidikan perlu memahami keperluan sebenar industri, manakala industri juga perlu terlibat lebih awal dalam proses pembangunan bakat,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Industri Borneo@Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Menurut beliau, kejayaan pembangunan industri tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk, sebaliknya perlu disertai usaha membangunkan modal insan tempatan agar mampu merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan.

Beliau berkata pembangunan industri dan pembangunan modal insan perlu bergerak seiring supaya masyarakat tempatan tidak hanya menjadi tenaga kerja, tetapi berupaya berkembang sebagai profesional, inovator, usahawan dan pemimpin industri pada masa depan.

Dalam pada itu, Johnny Pang menegaskan persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua dalam pendidikan perlu diubah kerana bidang tersebut kini menjadi antara laluan utama melahirkan tenaga mahir, teknologis dan profesional yang diperlukan industri moden.

Beliau berkata pembangunan kemahiran juga tidak seharusnya berakhir selepas seseorang memperoleh sijil, diploma atau ijazah kerana tenaga kerja perlu terus meningkatkan kompetensi melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran baharu (reskilling).

“Dalam dunia yang berubah begitu pantas, kita mungkin tamat belajar, tetapi kita tidak boleh berhenti belajar,” katanya.

Menyentuh aspek penyelidikan dan inovasi, beliau berkata kerjasama antara akademia dan industri perlu diperkasakan supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada sektor industri.

“Penyelidikan tidak seharusnya hanya berakhir dalam laporan atau penerbitan akademik. Ia perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang mampu membantu industri meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penganjuran Program Bicara Industri Borneo oleh UniMAP yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, institusi TVET dan pemain industri di seluruh Borneo.

Katanya, perkongsian ilmu dan kepakaran merentasi sempadan geografi mampu membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta kerjasama industri yang memberi manfaat bersama.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga keutamaan utama yang perlu diberi perhatian, iaitu membangunkan bakat berasaskan keperluan sebenar industri, memperkukuh penyelidikan dan inovasi bagi menyelesaikan cabaran industri serta memperluas peluang peningkatan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.

“Borneo mempunyai potensi yang sangat besar. Kita mempunyai sumber, industri, generasi muda yang berpotensi dan institusi pendidikan yang mempunyai ilmu serta kepakaran.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah menghubungkan semua kekuatan ini,” katanya.

Tegasnya lagi, pembangunan industri bukan hanya berkaitan teknologi, pelaburan dan infrastruktur, tetapi turut melibatkan pembangunan manusia bagi memastikan masyarakat tempatan dapat maju dan berkembang seiring dengan arus kemajuan ekonomi dan industri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU