ARTIKEL

Tragedi Yoga Anggiska:

KELUARGA DARI KERINCI, SUMATERA CARI KEHILANGAN YOGA ANGGISKA DI BAU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIRI 1

KELUARGA DARI KERINCI, SUMATERA CARI KEHILANGAN YOGA ANGGISKA DI BAU

Arwah Yoga Anggiska. Foto: FB Yoga Anggiska

EDITOR bertugas menerima sekitar 10 mesej daripada individu berbeza dari Kerinci, Jambi, Sumatera, melalui akaun Messenger Suara Sarawak seawal 16 Ogos 2024 dan beberapa hari sesudah itu.

Berikut ialah beberapa mesej dari Messenger yang menarik perhatian Editor Bahagian Digital kami.

  • 16 Ogos, 9.53 pagi: “Tolong bang berita orang Indonesia yang hilang di tambang emas.” – Hasmirudin
  • 16 Ogos, 1.15 petang: “Assalamualaikum… kami dari Indonesia..mohon bantuan..karena teman kami telah tertimbun Tanah di tambang emas dekat bau..” – Dadinofriyanto
  • 16 Ogos, 16.29 petang: “Kak saya mau tanya, apa ada berita tanah longsor di Sarawak? Pasal nya ada saudara kerja dekat tambang mas Sarawak bau. Katanya ditimbun longsor. Dapat berita dari kawan nya, bahwa saudara kami tertimbun tanah kedalaman 100meter. Sedangkan kawannya yang 3 orang itu selamat.” – Efrianti Renii.
  • 17 Ogos, 10.29 pagi: “Assalamualaikum. Mohon maaf bang, kmi mau minta tlong. Ttg keluarga Kami yang bekerja di tambang emas ilegal di serawak, di bau. Apa ada kes tanah runtuh pada tgl 13 Agustus 2024. Kami keluarga yoga anggiska dari indonesia.” – Miiya Miiya 

Mesej diterima daripada jiran sekampung Yoga di Messenger Suara Sarawak.

Ketika itu, para wartawan dan editor sibuk membuat liputan Sukan Malaysia (Sukma) XXI dengan Sarawak menjadi tuan rumah, berlangsung rasmi 17-24 Ogos. 

Dalam kesibukan membuat liputan, perlawanan bola sepak Sukma sudah pun bermula seawal 12 Ogos di Sibu, Mukah dan Bintulu.

Seterusnya diikuti perlawanan acara boling, kriket, futsal, muaythai dan sebagainya.

Di sebalik Sukma, editor bertugas sempat mencari kesahihan mesej yang disampaikan beberapa saudara yang mengaku dari keluarga Yoga Anggiska, pemuda asal Desa Sungai Batu Gantih, Kecamatan Gunung Kerinci, Kabupaten Kerinci, Jambi, Sumatera yang dikhabarkan hilang di Bau. 

Ketika itu pempengaruh media sosial di Kerinci sudah memviralkan misteri kehilangan Yoga ini.

Berikut berita awal yang kami siarkan di Facebook dan laman sesawang Suara Sarawak. Semuanya dengan nada mengharap.

BERITA AWAL KEHILANGAN YOGA

Di mana Yoga? Keluarga dari Jambi, Sumatera hubungi Suara Sarawak selidik nasib Yoga di Bau (terbitan 19 Ogos 2024)

KUCHING: Bahagian Digital Suara Sarawak menerima mesej daripada Rizqia, jiran keluarga Yoga Anggiska dari Desa Sungai Batu Gantih, Kecamatan Gunung Kerinci, Kabupaten Kerinci, Jambi, Sumatera.

Mesej melalui aplikasi Messenger itu berkaitan hal keberadaan Yoga, 26, di Bau, Sarawak.

Foto dikongsi ahli keluarga Yoga: Dari kiri ibu Yoga bernama Wida, tengah Kepala Desa Sungai Batu Gantih, dan kanan, ayah Yoga bernama Asep Sudayat.

“Salam encik, kami dapat musibah anak kami dikabarkan meninggal pada 13 Ogos 2o24… apa benar pada tarikh ini ada runtuh tambang (lombong) emas dan ada yang tertimbun…” tulis Rizqia Semata Wayang melalui Messenger pada 18 Ogos, 2.37 petang.

Rizqia berkongsi berita berkaitan keberadaan Yoga yang tersiar di Facebook Berita Kerinci Sungai Penuh bertajuk “Misteri khabar meninggalnya Yoga dan keberadaannya di Sarawak, Malaysia”.

Laporan berita itu menyebut, Yoga tulang belakang keluarganya di Jambi, dikhabarkan meninggal dunia oleh teman sekerjanya di lombong Bau, akibat tertimbus tanah.

Namun, keluarganya sukar menerima khabar tersebut kerana tiada bukti diberikan rakannya.

Menurut sumber, pada malam 12 Ogos lepas, Yoga sempat menghubungi ibunya memberitahu dia tidak bekerja kerana hari hujan.

Yoga turut memberitahu ibunya, dia mahu mengirim sejumlah wang kepada ibunya di kampung.

Kenyataan di Facebook yang dikongsikan Ahli keluarga mangsa melaporkan, selepas Yoga menelefon ibunya malam sebelumnya, kemudian salah seorang teman Yoga pula menelefon ibunya jam 9 pagi berikutnya, memberitahu bahawa Yoga sudah meninggal dunia akibat tertimbus tanah.

Menurut laporan tersebut, khabar meninggalnya Yoga membuat keluarga tidak menerima penjelasan temannya itu.

Suara Sarawak juga berjaya menghubungi ayah tiri Yoga pada pagi Isnin, 19 Ogos melalui WhatsApp, dan beliau berharap kes ini menemui penjelasan dan sekiranya Yoga meninggal, di mana jasadnya?

Sebaliknya jika Yoga masih hidup, keluarganya berharap Yoga dibantu agar dapat pulang ke kampung halamannya di Kerinci.

Dalam perkembangan terbaru, ahli keluarga Yoga yang lain melalui mesej di Mesengger memberitahu, pihak keluarga mahu berangkat dalam waktu terdekat, menaiki pesawat dari Padang menuju lokasi kejadian di Bau, Sarawak.

Menurut saudara kepada Yoga, penggalangan dana pergerakannya dibiayai melalui sumbangan orang ramai yang kempennya dilancarkan di media sosial.

Sementara itu, Suara Sarawak menghubungi sumber boleh dipercayai, pada 17 Ogos, yang mengatakan tiada laporan rasmi diterima pihak berkuasa setempat setakat hari tersebut, berkaitan tragedi yang melibatkan hilang nyawa di kawasan yang dimaksudkan.

Namun, Suara Sarawak difahamkan daripada sumber penduduk berdekatan tapak kejadian, bahawa berlaku tanah gelongsor sekitar tarikh dimaksudkan dalam aduan daripada ahli keluarga mangsa kepada Suara Sarawak.

Suara Sarawak difahamkan, terdapat pelombongan emas tidak sah beroperasi di Gunung Tabai di Bau.

(Rujuk https://www.facebook.com/share/p/wRkQtFLwScwy8axZ/?mibextid=WaXdOe)

Berita ini kurang mendapat sambutan warganet dan pembaca di laman sesawang kerana tumpuan pembaca ketika itu fokus kepada kehangatan berita Sukma XXI.

CADANGAN BUAT KAMI

DAN NASIHAT BUAT KELUARGA MANGSA

Tidak banyak yang dapat kami lakukan untuk membantu pencarian mangsa oleh ahli keluarga ini.

Selaku wartawan yang diberi tugas menjejak kisah kehilangan Yoga ini, kami dinasihatkan menunggu kedatangan ahli keluarga mangsa ke Kuching melalui Pontianak dan Sambas.

Kami hanya dapat menasihati ahli keluarga melalui Mesengger, agar menghubungi pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching dan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Di Kerinci, berita kehilangan Yoga di Gunung Tabai, Bau diviralkan oleh pempengaruh media sosial dan mendapat perhatian Kepala Desa serta pihak berkuasa setempat.

Antara konten disiarkan pempengaruh setempat di Kerinci berkaitan kehilangan Yoga di Bau yang dimuat naik di Facebook.

BANTUAN SUNARDI PEJUANG KEMANUSIAAN SBMI

Sunardi Purhan, 43, pejuang kemanusiaan dan hak pekerja migran Indonesia dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI).

Seminggu berlalu, selepas kami menyiarkan berita berkaitan kehilangan Yoga di media sosial dan laman sesawang Suara Sarawak, kami difahamkan dua waris mangsa sedang dalam perjalanan dan mereka didampingi oleh saudara Sunardi Purhan, 43, pejuang kemanusiaan dan hak pekerja migran Indonesia.

Sunardi, aktivis sosial dari Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, mendedikasikan dirinya untuk memperjuangkan hak pekerja migran Indonesia sejak 2020, ketika pandemik COVID-19 melanda dunia. 

Sebagai anggota Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) Cabang Kabupaten Sambas, beliau berjaya menyelesaikan lebih 200 kes melibatkan pelbagai isu kritikal berkaitan pekerja warga Indonesia di luar negara, khususnya di Malaysia.

Difahamkan juga, keberangkatan waris agak mengambil masa kerana usaha dilakukan untuk mengumpul dana bagi urusan pembelian tiket pesawat dan menampung keseluruhan kos perjalanan serta penginapan waris sepanjang berada di perantauan.

Menurut saudara sepupu kepada mangsa, Ari Putra Matnor, 42, beliau berangkat bersama-sama seorang lagi saudaranya yang juga sepupu Yoga dari sebelah ibunya, Kapteruddin, 53, dari Lapangan Terbang Padang, Sumatera.

Dari kampung menuju lapangan terbang sahaja mereka mengambil masa enam jam menaiki kereta seterusnya menempuh perjalanan dalam tempoh 24 jam sebelum tiba di Kuching, Sarawak.

Berita kehilangan Yoga dilaporkan pada 13 Ogos 2024. Waris Yoga datang di Kuching sekitar dua minggu selepas itu iaitu pada petang Ahad, 25 Ogos.

Sebaik-baik sahaja waris sampai di Kuching, dengan ditemani Sunardi, aktivis sosial dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI), pada Isnin 26 Ogos, mereka langsung berjumpa KJRI di Kuching melaporkan tragedi yang menimpa Yoga pada 9 pagi.

Manakala, pada petang Isnin itu juga mereka membuat laporan di IPD Bau.

Namun, kata kunci kepada semua hal ini menurut Sunardi ketika ditemui ialah pihak berwewenang memerlukan saksi tampil memberi kenyataan dan menunjukkan lokasi yang dimaksudkan.

Difahamkan, saksi diperlukan demi memudahkan pencarian di kawasan gua gunung yang luas dan banyak lubang itu.


PUTUS ASA DAN TAWAR HATI

Masuk hari ketiga berada di Kuching, ketika ditemui wartawan, waris kepada Yoga, Kapteruddin dan Ari Putra memberitahu kami, bahawa mereka ingin balik kampung sahaja di Kerinci, Jambi, Sumatera.

Mereka terasa sangat putus asa dan tawar hati kerana menjangkakan proses mencari keberadaan Yoga hanya mengambil masa singkat dua atau tiga hari.

Sedangkan kos perjalanan mereka memakan belanja yang besar dan kini dihambat masalah biaya penginapan, pengangkutan serta makan dan sebagainya.

Seperti diketahui, saksi mata kejadian yang juga merupakan rakan rapat Yoga, sudah pun kembali ke kampung halaman di Indonesia dan tidak dapat dihubungi hingga saat ini.


WARTAWAN SUNTIK SEMANGAT

Di wajah Ari Putra dan Kaptruddin jelas sekali tampak putus asa.

Di situlah wartawan dan jurufoto kami menawarkan sekali lagi, mengajak mereka bertiga berjumpa konsulat demi menyuntik semangat baharu buat mereka untuk meneruskan misi pencarian sehingga berjaya sebagaimana doa dan harapan warga Desa Sungai Batu Gantih di Kerinci.

“Kami berdua menangis di KJRI,” akui Ari dan menyambung “mau gi mana lagi, ya pulang sajalah,” ujar Ari mengenangkan pencarian mereka berdua selaku waris yang diharapkan keluarga dan penduduk sekampung seakan-akan sudah menemui titik hujungnya.

Terngiang-ngiang di telinganya akan harapan diluahkan ibu Yoga, adik kepada ibu Ari semasa mereka berangkat dari kampung halaman menjalankan misi mencari keberadaan Yoga.

Dalam hal ini, Sunardi seorang aktivis sosial dari SBMI dari Sambas yang menjadi pendamping waris mangsa, sangat memainkan peranan penting mengatur perjalanan, memberi khidmat nasihat kepada waris yang tampak kebingunan.

Sunardi yang sudah banyak menyelesaikan isu kemanusiaan seperti ini di Sarawak, maka beliaulah yang banyak menyokong, termasuk dari segi pergerakan, memahami lokasi setempat dan memberi suntikan moral kepada dua waris ini yang mula menunjukkan tanda menyerah.


CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG

Seperti ada cahaya di hujung terowong, menurut Sunardi, melalui data dan jejak digital ditinggalkan Yoga sebelum ini, di media sosial termasuk Facebook dan telefon pintar, beliau berjaya menghubungi dua saksi mata yang sedia memberi keterangan secara sukarela dengan pihak berwewenang seperti diminta bagi memudahkan pencarian mangsa di Gunung Tabai di Bau.

Saksi ini pernah menghubungi Kepala Desa melalui aplikasi sembang sebelumnya, namun kerana masalah liputan Internet, perbualan di media sosial dengan saksi sangat sukar, terputus-putus dan memakan masa untuk mendapat respons, bahkan saksi pernah disangka “menghindar” atau “menghilang diri”. 

Dua saksi ini sudi tampil menceritakan kisah yang berlaku dan sedia menunjukkan lokasi hilangnya Yoga.

Sunardi menyimpan kisah tersendiri bagaimana sukarnya beliau menghubungi dan bertemu saksi ini.

Sebelum itu, Sunardi mengatakan pihak keluarga mempunyai maklumat berkaitan individu yang didakwa sebagai “tauke” kepada Yoga Anggiska.

Namun, menurut Sunardi, individu yang dikatakan pernah mengirim sejumlah wang ke akaun keluarga Yoga di kampung beberapa hari selepas tersebarnya berita kemalangan menimpa Yoga, telah memberitahu bahawa dia bukanlah majikan Yoga.

Di sinilah bagi Sunardi, kesan tidak baiknya apabila pekerja masuk dan bekerja dengan tidak melalui saluran yang sah.

Laluan masuk Gunung Tabai, Bau.


OPERASI SAR DILANCARKAN

Kemunculan saksi membawa harapan penting dalam pencarian Yoga Anggiska.

Akhirnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) Yoga Anggiska, 26, warganegara Indonesia yang tertimbus tanah ketika melakukan kerja melombong emas dalam zon larangan di kawasan Gunung Tabai dijalankan bermula Rabu, 28 Ogos.

Dalam kenyataan kepada media, Komander Operasi, PKPgB Tawang Lingem dari pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Bau, berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang, Selasa, 27 Ogos.

Bagaimanapun, oleh kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan, operasi SAR diteruskan pada hari berikutnya pada Khamis, 29 Ogos.

Tujuan operasi ialah membuat pengesanan tentang kedudukan lokasi mangsa tertimbus.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bau, DSP Jawai Francis Kempas pula memberitahu media, kejadian tersebut hanya diketahui selepas pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pejabat Konsulat Republik Indonesia di Kuching pada 23 Ogos lepas.

Menurut Jawai, satu operasi SAR dijalankan di kawasan gunung dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Jawai berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti saksi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Jawai Francis Kempas.

DSP Jawai Francis Kempas, mengesahkan empat individu memasuki kawasan Gunung Tabai menjalankan operasi SAR, selepas mengadakan mesyuarat pada jam 9 pagi Rabu.

Katanya, keempat-empat individu itu ialah seorang pegawai bomba, seorang penduduk tempatan dan dua warga Indonesia.


Operasi SAR di Gunung Tabai diteruskan pada Khamis selepas ditangguhkan pada Rabu kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.


KELUARKAN JASAD DARI GUNUNG TABAI

Pada petang Khamis, pasukan SAR mengeluarkan jasad, individu lelaki disyaki Yoga Anggiska, yang dipercayai hilang tertimbus di dalam gua tapak perlombongan emas haram Gunung Tabai.

Jasad terbabit ditemui di lokasi pada kedalaman 90 meter di perut gua dalam keadaan sempurna, namun mula mereput.

Katanya, jasad berjaya dikeluarkan dari lubang lombong emas haram di dalam gua pada 3.56 petang oleh pasukan SAR sesi kedua membabitkan 10 individu terdiri daripada empat anggota bomba, empat warganegara Indonesia dan dua warga tempatan.

Operasi SAR sempat dihentikan dan disambung pada 1.45 petang untuk melakukan proses pengorekan di kawasan itu bagi memudahkan urusan membawa keluar jasad mangsa.

Beliau berkata, memandangkan jalan memasuki tempat tersebut sempit dan sukar, pasukan penyelamat sulit membawa keluar jasad sehingga mengambil masa yang lama.

Malah, ketika bantuan digerakkan, kawasan itu juga ditakungi air.

Jawai mengatakan, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bau untuk melakukan proses pengecaman. 

Namun, proses pengecaman jenazah menjadi sukar disebabkan keadaan fizikal mangsa yang mereput.

Justeru, disebabkan itu, menurut Jawai perbandingan sampel darah DNA daripada keluarga diperlukan untuk pengecaman mayat.

Kini, kes yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang, diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut.

Kami menceritakan pendetilan kisah Yoga ini buat pembaca dan pekerja migran serta bakal pekerja yang ingin bekerja di mana-mana di luar negara asal masing-masing.

Kisah bermula kehilangan Yoga yang dicari keluarga sehingga kepada perjalanan saudaranya ke lokasi kejadian.

Ini termasuklah kepada pembuktian jasad Yoga melalui forensik dan DNA.

Hal ini bertujuan menggambarkan betapa pentingnya pekerja migran yang ingin bekerja di Malaysia khususnya di Sarawak agar masuk secara sah menggunakan dokumen sah, memiliki permit bekerja, menjalani pemeriksaan kesihatan yang penuh serta mempunyai kebenaran tinggal yang dikaitkan dengan bidang pekerjaan sah yang ditawarkan.

Jika berlaku sebarang tragedi atau masalah, pekerja sah dan berdaftar lebih mudah dibantu dan menangani kes juga akan lebih pantas.

Berbanding pekerja tidak sah, apatah lagi bekerja di sektor tidak sah, jika berlaku masalah atau tragedi, bantuan agak rumit, majikan mudah lepas tangan, malah melibatkan masa yang panjang dan kos yang tinggi.

Bahkan, pekerja tidak sah terlepas daripada menikmati kemudahan insurans, pampasan dan sebarang ganti rugi.

SIRI 2

Pengalaman di lokasi:

SAKSIKAN SAR BAWA KELUAR JASAD YOGA

BELUM hilang rasa penat membuat liputan Sukan Malaysia (Sukma) XXI 2024 di luar Kuching – dengan Sarawak muncul juara bagi temasya berprestij itu – sebagai wartawan, saya sedia menerima arahan membuat liputan baharu.

Untuk Sukma XXI, selain Mukah, kami membuat liputan di Bintulu dan Miri selama dua minggu.

Pada pagi Khamis, 28 Ogos saya menerima tugasan membuat liputan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi kes kehilangan Yoga Anggiska, warga Indonesia di Gunung Tabai, Bau.

Pada mulanya saya khuatir, memandangkan sepanjang lima tahun bergelar wartawan, ini pertama kali saya terlibat membuat liputan kes seumpama ini, melibatkan pencarian orang hilang yang disyaki meninggal.

Lokas kejadian agak jauh dari Kuching.

Sebelum ini, saya biasanya membuat liputan majlis di hotel dan beberapa kes kebakaran yang berlaku di sekitar bandar raya Kuching.

Saya dan rakan wartawan meja am mendapat arahan awal menunggu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bau pada pagi Khamis, yang mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan dari Kuching.

Di IPD Bau, kami berjumpa beberapa rakan media lain yang turut menunggu perkembangan operasi SAR yang sedang dilakukan. 


Siaran media di FB Polis IPD Bau.

Pada 1.47 petang, pihak media mendengar taklimat daripada Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supritendan Jawai Francis.

Beliau memaklumkan Gunung Tabai ketika ini merupakan kawasan larangan bagi orang awam.

Namun, pihak media dibenarkan memasuki kawasan gunung tersebut dengan ditemani pihak polis dan bomba yang bertugas menjalankan operasi.

Pada hari pertama pencarian, selepas makan tengah hari, saya bersama-sama enam petugas media, masing-masing dari Borneo Post, Awani Borneo dan jurufoto Suara Sarawak bercadang menuju lokasi Gunung Tabai sekitar 3 petang.

Pergerakan kami ke sana agak terganggu ekoran hujan lebat.

Dan, terasa “sedikit aneh”, kerana kami dapati hujan hanya berlaku di lokasi yang dimaksudkan untuk misi pencarian.

Terus terang, saya sedikit terasa “takut” memasuki lokasi hutan terbabit.

Wartawan menuju lokasi Gunung Tabai di lokasi hutan, sekitar 3 petang.

Kami beberapa kali keluar dan masuk beberapa simpang setelah laluan utama ke kawasan gua tersebut yang terhalang oleh pokok tumbang akibat angin kuat.

Di dalam kereta, saya dan rakan hanya berdiam diri kerana suasana dan aura ketika itu terasa agak berlainan. 

Mengekori tiga lagi kereta di hadapan, sekitar 4 petang kami sampai ke destinasi Gunung Tabai dan berjalan kaki memasuki lokasi.

Di pertengahan jalan menaiki anak bukit, tiba-tiba muncul seekor kucing putih yang entahnya datang dari mana, mengiringi perjalanan kami.

Suasana di lokasi agak seram sejuk, diiringi bunyi renyai-renyai kaki hujan.

Kami meninjau sekitar lokasi kejadian. Di situ banyak batu besar dengan air mengalir dari celah batu pergunungan.


Sekitar lokasi menunggu di luar gua Gunung Tabai.

Lama menunggu di kawasan luar gua, pada petang itu operasi SAR mencari lelaki warga Indonesia yang disyaki hilang di Gunung Tabai ditangguhkan jam 8 pagi esoknya disebabkan keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, DSP Jawai Francis Kempas, seramai empat individu; seorang pegawai bomba, seorang penduduk tempatan dan dua warga Indonesia memasuki kawasan gunung pada tengah hari.

Kami beredar sekitar 4.30 petang setelah operasi SAR diumumkan untuk diteruskan esok hari.

WARTAWAN MENDAPAT “GANGGUAN”

Pada Jumaat, 29 Ogos, seperti dimaklumkan, kami datang lagi ke Gunung Tabai, tapi kali ini bersama-sama seorang lagi jurufoto.

Kami menaiki sebuah kereta dari Kuching dan selamat sampai di lokasi pada jam 9 pagi.

Di lokasi, beberapa anggota polis, bomba, angkatan pertahanan awam dan pegawai hutan, berkumpul sebelum memulakan operasi jam 11.35 pagi.

Seramai 10 orang membabitkan empat anggota bomba, empat warganegara Indonesia dan dua warga tempatan, memasuki gua sedalam 90 meter mencari mangsa.

Hasil operasi, pasukan SAR berjaya menemui mangsa dan kerja mengorek tanah dilakukan untuk mengeluarkan jasad yang tertimbus.

Pada jam 12.25 tengah hari, pasukan SAR terpaksa keluar dari lokasi kejadian dan menyambung semula operasi pada jam 1.45 petang.

Dari penceritaan waris di tapak kejadian, saksi antara yang memasuki gua minta agar pihak keluarga dihubungi di kampung di Kerinci, memohon doa dan restu agar kerja mengeluarkan jasad yang ditemui lebih mudah.

Difahamkan, mengeluarkan jasad memerlukan “usaha lebih”.

Cuaca pada hari itu sangat baik, memudahkan operasi.

Ketika kami berehat makan tengah hari sebelum menunggu operasi mengeluarkan jasad mangsa diteruskan, di kedai makan, saya dan seorang rakan wartawan sempat bertanya peniaga dan beberapa orang di situ berkaitan kisah Gunung Tabai.

Berdasarkan cerita warga di situ, Gunung Tabai kawasan larangan untuk orang awam memasukinya.

Selain digazet sebagai Taman Negara, kawasan ini dianggap “keras” oleh penduduk setempat.

Peniaga makanan berkata kesal, bahawa masih ada individu degil sanggup memasuki kawasan tersebut untuk aktiviti melombong emas secara haram.

Peniaga tersebut turut berharap agar kawasan terbabit segera ditutup dan dikawal rapat oleh pihak berwajib agar tiada lagi individu menjadi mangsa.

Jelasnya lagi, kes orang hilang di kawasan Gunung  Tabai bukan sesuatu yang baharu, malah telah berlaku berkali-kali di situ.


Infografik lima tragedi yang pernah berlaku di Gunung Tabai sejak 2011.

Sekitar jam 2.30 petang, kami kembali ke lokasi dan difahamkan jasad mangsa sedang dalam usaha untuk dikeluarkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supritendan Jawai Francis, jasad mangsa ditemui oleh pasukan SAR kira-kira 90 meter di dalam lubang tersebut dalam keadaan mula mereput.

Pada jam 3.56 petang, jasad mangsa berjaya dibawa keluar.


Jasad mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bau.

Jawai memaklumkan bahawa jasad mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

Keadaan jenazah dikatakan sudah mula mereput, dan sukar dikecam.

Malah, pihak polis akan mendapatkan ahli keluarga terdekat seperti adik-beradik atau ibu mangsa untuk ujian DNA.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Selesai semua tugas di lokasi, seperti bisa kami biasanya berkumpul di satu tempat untuk memproses berita untuk dihantar ke bilik berita.

Kami memilih Curry House Serian sebagai tempat ngopi sambil menyiapkan berita yang perlu dihantar.

Kami pulang sekitar jam 6 petang.

Dua hari selepas liputan di Bau, saya agak terkejut apabila menerima berita salah seorang wartawan yang meliput operasi ini “diganggu”.

Dua hari selepas liputan di Bau, saya agak terkejut apabila menerima berita salah seorang wartawan yang meliput operasi “diganggu”.

Menurutnya, pada malam Khamis (hari terakhir pencarian) ketika tidur, kakinya seakan-akan di tarik oleh sesuatu.

Dia juga memberitahu bahawa dia terasa hampir rebah di kawasan operasi, susulan badan yang tidak sihat pada hari tersebut.

Jelasnya lagi, dia percaya ada benda lain yang turut ikut “pulang” kerana semangatnya yang lemah.

Pada 31 Ogos (Sabtu) lebih kurang  4.55 pagi ketika mahu mandi dan solat Subuh, dia terjatuh di bilik air dan mengalami luka di kepala serta beberapa giginya turut retak.

Kejadian ini bagi saya sebuah misteri dan menjadikan  pengalaman yang sukar dilupakan.

MESKIPUN belum pasti perkara yang bakal berlaku, namun atas dasar kepercayaan serta membawa harapan besar keluarga, terutama ibu kandung Yoga bernama Wida, sepupu kepada Yoga bernama Ari Putra Matnor ini nekad berangkat ke Kuching, Sarawak.

Padahal beliau sebelum ini, tidak pernah pun mengembara sejauh ini, sekitar 840 kilometer ke Borneo, sebuah pulau yang lain, menjejak kaki di Bumi Kenyalang. 

Perjalanan yang bukan hanya menuntut kekuatan fizikal, tetapi juga mental kerana ketika beliau berangkat dari desa, beliau berada dalam ketidakpastian, membawa misi mencari sepupunya yang hilang di Bau.

Sepupu Yoga , Ari Putra Matnor, 42.

Segala-galanya bermula dengan kepercayaan dan doa daripada ibu Yoga, wanita berusia 60-an yang penuh kasih sayang, yang ketika ini hatinya diburu trauma, penuh tanda tanya di kepala dan jiwanya pilu.

Ibu Yoga adik bongsu kepada ibu Ari, keakraban mereka menjadikan misi ini sebagai keharusan bagi Ari menunaikan tanggungjawab mencari hilangnya Yoga.

Sebelum berangkat, ibu Yoga sempat berkata: “Bawalah adik kamu Yoga balik ke Kerinci dan saya doakan semuanya selamat,” ujar ibu Yoga yang trauma menurut Ari, ketika kami menemuinya untuk wawancara di kedai makan. 

Tambah Ari, ibu Yoga kini terlalu tertekan memikirkan nasib anak sulung daripada dua beradik yang satu-satunya tulang belakang keluarga selepas kedua-dua ibu bapa Yoga berpisah. 

Sementelahan, ibu Yoga sendiri tidak dapat menerima kenyataan sekiranya ada yang mengandaikan jika Yoga sudah tiada.

Sehari sebelum berangkat dari Desa Sungai Batu Gantih, Kerinci bersama-sama seorang lagi sepupu Yoga iaitu Kapteruddin Alam Ribut Hamid, 53, pihak kampung yang diketuai Kepala Desa, mengadakan majlis doa selamat supaya perjalanan kedua-dua mereka ke Kuching berjalan lancar dan dipermudah. 

Mencerita kronologi kejadian kehilangan Yoga, Ari mendedahkan pada jam 7 malam, 12 Ogos 2024, ibu Yoga menerima panggilan telefon daripada anaknya memberitahu dia mahu mengirim duit ke kampung dalam jumlah yang agak banyak. 

Yoga juga memberitahunya, esok tidak kerja kerana hari hujan. 

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, pada jam 9 pagi, kawan Yoga menelefon ibu Wida di kampung menyampaikan berita insiden kehilangan Yoga dan dikatakan meninggal di tempat kejadian. 

MENERUSKAN DUA MISI YANG GAGAL

Menurut Ari, mereka berdua terpaksa ke Kuching setelah dua lagi misi yang dilancarkan sebelum itu gagal.

Oleh kerana tiada sesiapa dalam kalangan keluarga mahu meneruskan misi menjejak kaki ke Sarawak atas kekangan kewangan serta tiada pengalaman, maka Ari dan Kapteruddin memasang tekad dan tawakal, menawarkan diri menggalas cabaran tersebut.

“Sebelum ke sini (Kuching), ada orang kampung menasihati kami supaya berhati-hati kerana kami tiada keluarga di sini, selain menakutkan-nakutkan kami. 

“Alhamdulillah, sangkaan sebahagian mereka (penduduk kampung) salah, saya ditemukan dengan orang baik, bahkan seperti satu keluarga. 

“Saya masih ingat lagi ketika di tempat Yoga hilang (Gunung Tabai), orang kampung di Bau juga siap menawarkan makanan kepada kami, mereka kata kami datang dari jauh, mesti letih dan lapar, jadi dalam hati bersyukur sangat jumpa orang baik-baik,” ceritanya. 

Menurut Ari, mereka berdua berangkat dari Kerinci menuju Padang menaiki kereta, mengambil masa perjalanan enam jam. 

Mereka menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang menuju Jakarta hampir dua jam.

Dari Jakarta ke Pontianak memakan masa sejam setengah perjalanan. 

Seterusnya, menaiki bas mereka bertolak dari Lapangan Terbang Pontianak menuju Sambas selama enam jam. 

Di situ Ary dan Kapteruddin bertemu Sunardi.

Mereka bertiga berangkat dari Sambas ke Kuching menaiki bas selama empat jam. Keseluruhan perjalanan sehala itu memakan masa lebih 24 jam. 

BERGABUNG DENGAN SUNARDI DARI SBMI SAMBAS

Sunardi, aktivis sosial dari Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, mendedikasikan dirinya untuk memperjuangkan hak pekerja migran Indonesia sejak 2020, ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Tidak pasti, adakah waris menerima cadangan kami melalui Mesengger agar membuat laporan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching dan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Sunardi Purhan, 43, pejuang kemanusiaan dan hak pekerja migran Indonesia dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) cawangan Sambas.

Sebaik-baik sahaja waris sampai di Kuching, dengan ditemani Sunardi, aktivis sosial dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI), pada Isnin 26 Ogos, mereka langsung berjumpa pihak KJRI di Sarawak melaporkan tragedi yang menimpa Yoga pada 9 pagi.

Di Sambas, Ari berjumpa Sunardi, perwakilan dari Sambas SBMI. Mereka berdua disambut baik dan diberi panduan hingga berjaya memasuki Kuching di Sarawak.

Dengan bantuan Sunardi, mereka berjumpa pihak KJRI, melaporkan tentang kehilangan saudaranya Yoga. 

Pihak KJRI terus membantu melaporkan kehilangan Yoga ke pihak IPD Bau dan mendapat respons baik untuk menangani kes mencari orang hilang.

Manakala, pihak polis memerlukan saksi mata bagi memudahkan untuk mendapat petunjuk berkaitan lokasi Yoga dikatakan hilang. 


MENCARI YOGA DI BAU

Pada Rabu, 28 Ogos 2024, Ari bersama-sama sepupunya Kapteruddin dan Sunardi dari SBMI ke IPD Bau.

Di Bau, pihak polis memberi kerjasama baik untuk mencari kehilangan Yoga di Gunung Tabai.

Namun, oleh kerana hujan, operasi pada hari pertama ditangguhkan.

Operasi diteruskan pada hari kedua dan akhirnya 

jasad dipercayai milik Yoga Anggiska, 26, dijumpai pada kedalaman 90 meter di gua gunung berkenaan sekitar jam 4 petang.

Kapteruddin Alam Ribut Hamid, 53.

“Alhamdulillah, sampai hari ini (29 Ogos) masalah ini sudah selesai dan jasad dipercayai Yoga sudah ditemui pihak polis,” ujar Kapteruddin Alam Ribut Hamid, 53, penuh kesyukuran. 

Ari dan Kapteruddin mengucapkan ucapan terima kasih kepada pihak KJRI di Kuching, pihak polis khususnya IPD Bau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta pihak media yang banyak membantu menyelesaikan masalah berkaitan kehilangan Yoga. 

Ketika ditanya wartawan, Kapteruddin menceritakan beliau menawarkan diri secara sukarela ke Kuching bagi melaporkan dan mencari kehilangan Yoga atas dasar tanggungjawab dan amanah besar keluarga dan warga Desa Sungai Batu Gantih, Kerinci.

Ketika itu, seluruh keluarga dan penduduk kampung penasaran dan tertanya-tanya khabar perkembangan berita kehilangan Yoga.

“Walaupun dalam hati bimbang dan sangat takut, lebih-lebih lagi kali pertama ke sini (Kuching), kami tetap beranikan diri kerana kamilah satu-satunya harapan keluarga untuk mencari Yoga. 

“Lebih-lebih lagi penduduk kampung sanggup mendermakan wang untuk ke Kuching. Walaupun sekarang kewangan kami tidak mencukupi, namun kami tetap tabahkan hati menunggu hingga masalah tercerah.”

Menurut Kapteruddin, memandangkan ibu Yoga dalam keadaan trauma, tidak mampu bercakap dan lemah sehingga sukar berjalan jauh, adik kandung Yoga bernama Peri Rohmayadi, 16, diatur supaya dapat datang ke Kuching melakukan ujian DNA bagi mengenal pasti jasad Yoga. 

Berdepan dengan kos perjalanan yang besar, Kapteruddin ketika ditemui, berharap agar semuanya dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat agar mereka dapat segera kembali ke kampung. 

Kapteruddin mendedahkan: “Kita berkumpul bersama semua keluarga, berbincang siapa yang nak pergi kerana tiada biaya. Kita berbincang sebab tidak ada yang berani kerana tiada yang berpengalaman.” 

Menurut Kapteruddin, dua kali perjalanan hendak dilakukan, namun gagal kerana tiada yang berani. 

“Kepala Desa kemudian kumpul derma, buat pasport, dua hari baru siap. Kami dah pegang pasport sebelum buat kenduri doa selamat. Jam 8 pagi bertolak dari Kerinci ke Padang. 


SUKARNYA SANG IBU TERIMA KENYATAAN

Menurut Kapteruddin lagi, sehingga kini ibu Yoga tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya sudah tiada. 

“Dia mahukan anaknya selamat, sebelum ini ibunya sihat-sihat sahaja, tiada apa-apa masalah kesihatan. Dia tak terima anaknya tak ada, sebab tu, kami tak berani membawanya ke sini. 

Menceritakan perihal satu-satunya adik Yoga berumur 16 tahun, Peri masih bersekolah dan bercita-cita mahu jadi polis.

“Abangnya Yogalah yang bertungkus-lumus mencari wang untuk memenuhi perbelanjaan persekolahan adiknya. 

Kata Kapteruddin, Yoga pernah berpesan kepada Peri: “Abang nak cari duit untukkau. Kaubelajarlah rajin-rajin, biar abang yang susah-susah cari duit.”

Tambah Kapteruddin, sedihnya selepas ini, mungkin si adik tidak mampu meneruskan persekolahan atas kekangan kewangan serta keadaan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan. 

Dalam misi mencari kehilangan Yoga ini, perjalanan Ari dan Kapteruddin, ibaratnya bukan sekadar pencarian seorang saudara, tetapi sebuah perjalanan penuh makna tentang keberanian, ketabahan dan kasih sayang keluarga. 

Semuanya bermula dengan ketidakpastian akibat isu dokumen yang tidak jelas.

Dan adalah wajar pihak berwewenang bertanya awalnya, adakah kamu pasti Yoga ada di Bau? Kamu ada bukti dan saksi bahawa Yoga bekerja di Bau?

Meskipun akhirnya yang mereka temui ialah jasad Yoga, namun kepulangan jenazahnya memberikan sedikit kelegaan bagi keluarga yang sudah lama menantikan khabar berita mangsa. 

Perjalanan ini akan dikenang sepanjang hayat sebagai simbol harapan yang tidak pernah pudar, meskipun takdir sudah berkata lain.


SIRI 4
UJIAN DNA SAHKAN

JASAD DITEMUI MILIK YOGA

“Jangan tinggalkan ibu sendiri, abang tiada di sana, jaga ibu baik-baik.” – Pesanan terakhir Yoga buat adiknya Peri

Begitulah pesanan terakhir arwah Yoga melalui telefon pintar, menurut cerita adiknya, Peri Rahmayadi. 

Peri tidak mampu menahan sebak, sebaik sahaja dibenarkan melihat jasad si abangnya, arwah Yoga yang sudah tidak bernyawa di Hospital Umum Sarawak semasa menjalankan prosedur Ujian DNA.

“Tak sangka abang jadi macam tu,” katanya yang kehilangan abang. 

Peri mengaku mengetahui berkaitan berita abangnya tertimbus pada 13 Ogos 2024 di gua Gunung Tabai melalui perhubungan telefon genggam rakan abangnya yang sama-sama bekerja di Bau. 

Peri Rahmayadi, 16

adik arwah Yoga

“Petang itu teman abang hantar mesej… Assalamualaikum mak, doa aja mak, Yoga sudah tidak ada,” cerita Peri, 16, masih belajar peringkat Sekolah Menengah Atas (SMA).

“Awalnya saya tak percaya abang sudah tiada. Yang dengar pertama kali ialah emak sehingga kejang-kejang dan terus pengsan selepas mendengarnya,” kata Peri ketika ditemu bual. 


Kisah kedatangan Peri ke Kuching, menjalani ujian DNA untuk mengesahkan padanan dengan abangnya Yoga, disiarkan di media sosial warga kerinci.

Peri duduk bersebelahan sepupunya, Jen Anthony, 35, duduk di kerusi ruang tamu di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jalan Central Timur di Kuching.

“Bawa abang pulang,” begitulah pesan ibunya yang masih bersedih dan mula belajar menerima berita duka itu.

Menurut Peri, ibunya meminta agar jenazah abangnya Yoga dibawa balik dan dikebumikan di Kerinchi.

Ibunya juga minta agar barang milik abangnya dapat dibawa balik kampung.

“Jangan pulang dulu, tunggu di sana hingga selesai,” pesan ibunya yang mempunyai lima bersaudara; satu lelaki dan empat perempuan.

“Sebelum itu, tanggal 12 Ogos, abang ada berhubung guna panggilan video dengan muka yang ceria. Dia bilang baru balik main bola tampar,” kata Peri.

“Dia bilang mahu kirim baju, baju baru untuk adik. Yoga seorang abang yang baik dan bertanggungjawab kerana sepanjang bersekolah, Yoga yang banyak beri wang belanja.”

Peri terasa kehilangan Yoga, sebab mereka hanya berdua dan abangnya itu sangat dekat dengan dirinya. Dahulu, mereka berdua suka bergurau sebelum tidur. 

Kini, setiap kali mahu tidur, Peri mengaku menangis membayangkan nasib abangnya.

“Ibu pesan dalam solat bacakan doa buat abang. Bacakan Yasin tiap malam sama emak.”

Walaupun keputusan DNA belum lagi keluar (semasa temu bual), Peri percaya bahawa jasad yang dilihatnya di hospital milik arwah Yoga mengikut firasatnya, meskipun jasad dilihatnya itu sudah tidak dapat dikenali lagi.

Sehinggalah keputusan DNA dikeluarkan positif pada Khamis,12 September lepas mengesahkan bahawa jenazah yang disaksikannya di hospital tempoh hari benar milik Yoga, di situ Peri terpaksa reda dan menerima kenyataan.

https://www.facebook.com/share/r/Gggj34C3zbK85v3r/?mibextid=hBBs4f

Yoga dikatakan sudah meninggalkan desa di Kerinci, demi mencari sesuap nasi pada usia seawal 20 tahun dengan bekerja di hotel di Semenanjung Malaysia.

Yoga juga dikatakan pernah bekerja di kilang papan di Malaysia, selain bekerja membina rumah dan menjadi buruh bangunan. 

Pada 2022 Yoga pulang ke Indonesia kemudian terus ke Sarawak.

“Ibu melarang abang kerja di situ (di Bau),” tambah Peri.

“Yoga berhenti kerja di KL, kerana kata abang ada bos yang kirim wang untuk dia kerja di Sarawak. Kerja di Sarawak lagi lumayan…,” cerita Peri lagi.

Peri menceritakan bahawa Yoga juga berhasrat mahu berkahwin dengan tunangnya bernama Selly, asal Kabupaten Bengkayang, Kalimantan Barat. 

“Sudah bagi tahu mahu nikah dan mahu bawa pulang (Selly) ke Kerinchi,” kata Peri mengaku sering berkomunikasi dengan Selly lewat telefon bimbit sejak peristiwa kehilangan Yoga.

Kini, tunang Yoga menurut Peri sakit kerana terkejut mendengar berita kematian abangnya itu. 

Berkaitan persekolahannya, menurut Peri untuk sekolah dia memerlukan perbelanjaan sekitar 1 juta rupiah (sekitar RM300) setahun, tidak termasuk untuk beli buku, pengangkutan dan makan. 

Dia merasakan masa depannya gelap kerana suah tidak ada abang yang selalu mendukungnya dan mengirim wang ke kampung membiayai persekolahannya.

Ketika ini, Peri tinggal dengan nenek. Keluarganya di kampung bekerja sebagai petani dan menanam kulit kayu manis. 

Peri sering ke rumah bapa kandungnya yang berjarak dua minit berjalan dari rumah.

Peri menceritakan bahawa bapanya sudah berpisah dengan ibunya, manakala hubungan dia dan Yoga masih akrab dengan bapanya dan dia sering menelefon bapanya. 

“Bapa juga tidak percaya abang sudah tiada. Sebelum ini, bapa ada mimpi tanda kehilangan seperti selipar hilang sebelah…”

Menceritakan perjalanannya ke Kuching bagi tujuan melengkapkan ujian DNA untuk pengesahan jenazah Yoga, Peri mengatakan emaknya menerima sumbangan daripada warga kampung.

Emaknya juga meminjam wang dengan warga untuk perbelanjaan perjalanannya ke Kuching. 

Peri menempuh enam jam perjalanan dari Kerinchi ke Padang dengan tambang 150,000 rupiah. 

Kemudian naik pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menurut sepupu Yoga bernama Jen Anthony, 

Yoga anak baik, suka belanja orang makan

– Jen Anthony, Yoga


Jen Anthony, 35, duduk di sebelah Peri semasa di wawancara wartawan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

Menurut sepupu Yoga bernama Jen Anthony, Yoga anak yang baik, suka membantu dan membelanja orang makan.

Jen, kelulusan sarjana komputer, merupakan staf yang membantu Kepala Desanya. 

Dia mengaku, pertama kali datang di Sarawak, dia rasa takut, namun dia memberanikan diri demi mengesan jasad Yoga dan sedia membawa jenazah sepupunya itu pulang sebagai memenuhi permintaan si ibu Yoga, Wida. 

Dalam mesejnya kepada wartawan pada 12 September, Khamis, selepas sembilan hari berada di penginapan KJRI, Jen memberitahu bahawa Ujian DNA Yoga sudah keluar dan keputusannya positif – bahawa jenazah yang dikeluarkan dari Gunung Tabai itu milik Yoga Anggiska.

Pada Jumaat, Jen memberitahu kami: “Kita dapat informasi dari orang tuanya Yoga, dia cakap tidak usahlah minta pertanggungjawaban bosnya, yang penting sekarang Yoga sudah bisa kita pulangkan.”

Kami mendapat maklumat bahawa jenazah Yoga dihantar dari Kuching ke Pontianak dengan ambulans pada Ahad, 15 September. 

Kemudian jenazah diterbangkan ke Jakarta sebelum terus dihantar ke Padang di Lapangan Terbang Minangkabau.

Dari situ jenazah dibawa menggunakan ambulans kembali ke pangkuan keluarga di Desa Sungai Batu Gantih di Kerinci untuk disemadikan. 

Sementara, Jen dan sepupunya Peri juga pulang melalui Pontianak pada Sabtu dan menaiki pesawat ke Jakarta pada Ahad, sebelum ke Lapangan Terbang Minangkabau. 

Mereka menunggu ketibaan jenazah Yoga di Padang sebelum bersama-sama mengiringi kepulangan jenazah ke kampung halaman.

SIRI 5

DAMAILAH YOGA DI SANA

Kepala Desa Ucap Terima Kasih

KEPALA Desa Batu Gantih di Kerinci, Jambi, Sumatera, Suardedi S.AP, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching, pihak polis khususnya IPD Bau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang banyak membantu menyelesaikan isu berkaitan kehilangan Yoga di Bau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) serta pihak media atas bantuan yang sama sehingga jenazah mangsa tertimbus tanah di gua Gunung Tabai, Bau itu berjaya dikembalikan ke kampung halamannya.

Berucap di Masjid Baitul Aman Desa Batu Gantih, sebelum solat jenazah, Kerala Desa juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkaitan di Desa Batu Gantih dan Kerinci sehingga jenazah Yoga Anggiska akhirnya dapat dikebumikan pada Selasa, 17 September.

Pada upacara pengebumian bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, dihadiri sekitar 1,000 warga kampung itu, menyaksikan hujan rahmat turun renyai-renyai.

Pada Isnin, 16 September, Ari Putera Matnor, 42, sepupu kepada arwah Yoga Anggiska, 26, memberitahu wartawan Suara Sarawak, jasad arwah yang tertimbus di Gunung Tabai pada 13 Ogos lepas, diterima pihak keluarga di Desa Batu Gantih di Kerinci, Jambi, Sumatera pada 4.30 petang.

Sebelum itu jenazah dihantar dari Kuching ke Pontianak dengan ambulans pada Ahad, 15 September. 

Kemudian jenazah diterbangkan dengan pesawat ke Jakarta sebelum terus dihantar ke Padang di Lapangan Terbang Minangkabau.

Dari situ jenazah dibawa menggunakan ambulans kembali ke pangkuan keluarga di Desa Sungai Batu Gantih di Kerinci untuk disemadikan. 

“Semasa jenazah Yoga sampai di rumah, mamanya Yoga langsung pengsan,” tulis Ari melalui mesejnya kepada wartawan.

Ramai sanak saudara tidak dapat menahan tangisan semasa jenazah diusung masuk rumah.

Menurut Ari, ibu arwah Yoga bernama Wida, 48, ketika itu tidak mampu berkata apa-apa dan sukar dibawa bercakap.

Ibu arwah Yoga sangat rasa terpuruk dan dia hanya menangis.

Menghormati situasi dialami ibu arwah, kami membatalkan mewawancara beliau melalui panggilan video, seterusnya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.

Yang hidup akan kembali jua. Arwah Yoga sudah pun pergi mendahului yang masih hidup.

SIRI 6

KERJASAMA DENGAN KJRI, PIHAK BERKUASA S’WAK TANGANI ISU PEKERJA INDONESIA – Sunardi Purhan, SBMI

Sunardi Purhan, 43, pejuang kemanusiaan dan hak pekerja migran Indonesia dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) cawangan Sambas.

LATAR BELAKANG: SUNARDI Purhan, 43, juga dikenali sebagai Abas, aktivis sosial yang gigih dari Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, mendedikasikan dirinya untuk memperjuangkan hak pekerja migran Indonesia sejak 2020, ketika pandemik COVID-19 mula melanda dunia. 

Pesara pekerja asing Indonesia yang pernah bekerja di Malaysia ini menjadi Ketua Dewan Pimpinan Cabang Syarikat Pekerja Migran Indonesia (DPC SBMI) Kabupaten Sambas, Provinsi Kalimantan Barat 2020-2024. 

Selain SBMI, beliau juga aktif dalam pelbagai organisasi sosial dan politik.

Beliau Timbalan Ketua Taruna Merah Putih (TMP) period 2007-2012, Setiausaha Badan Bantuan Hukum dan Advokasi PDIP Kabupaten Sambas, DPC period 2009-2014, Bendahara Gabungan Rakyat Menuntut Keadilan (Kompak) Kabupaten Sambas period 2007 – hingga sekarang, Setiausaha Koperasi Asuansang Sejahtera Abadi period 2014-2017 dan Timbalan Pengarah CV Sinar Sambas Perkasa. 

Sunardi juga ialah anggota BPD Desa Beringin, Kecamatan Sajad period 2021-2026, Setiausaha Organda Kabupaten Sambas period 2021-2026, Ketua ABPEDSI Kecamatan Sajad, Kabupaten Sambas dan pentadbir ABPEDSI bagi tempoh 2021-2026.

Beliau pernah bekerja sebagai paralegal di Institut Bantuan Hukum Tri Dharma Indonesia di Provinsi Kalimantan Barat. Beliau memperoleh sijil paralegal ini daripada latihan dan pendidikan paralegal di Kementerian Undang-undang dan Institut Latihan Hak Asasi Manusia pada tahun 2016. 

Aktiviti hariannya bekerja di pejabat peguam bela/Perunding-Peguam Undang-undang Lipi, S.H dan Rakan Kongsi sebagai Pembantu.

Sebagai anggota SBMI Cabang Kabupaten Sambas, beliau berjaya menyelesaikan lebih 200 kes melibatkan pelbagai isu kritikal berkaitan pekerja warga Indonesia di luar negara, khususnya di Malaysia.

Antara kes yang ditangani oleh Sunardi termasuk gaji yang tidak dibayar majikan, ketiadaan perjanjian kerja, penganiayaan oleh majikan, pemotongan gaji yang tidak munasabah, pekerja tiada cuti, kesihatan pekerja yang terabai serta kes lebih serius seperti perdagangan manusia dan penipuan (scam). 

Semua ini merupakan cabaran besar yang sering dihadapi oleh pekerja migran yang datang ke Malaysia dengan harapan awal mereka mahu mengubah nasib sendiri dan masa depan keluarga di kampung halaman.

Nasihat dan panduan yang diberikan Sunardi dalam wawancara ini, bukan sahaja bermanfaat untuk pekerja migran Indonesia, malah berguna juga untuk warga Sarawak yang ingin bekerja di luar negara agak mengikut saluran yang sah.

CABARAN DAN KEPERLUAN KERJASAMA

Sunardi menekankan salah satu perkara penting menangani isu berlaku di Sarawak seperti disebutkan adalah dengan menjaga hubungan baik dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching. 

Hubungan baik ini adalah kunci untuk memudahkan pelbagai urusan atau menyelesaikan masalah yang melibatkan warga Indonesia di Sarawak, Malaysia. 

Beliau percaya bahawa tanpa kerjasama erat dengan pihak KJRI di Kuching, mungkin isu pekerja migran berlarutan tanpa penyelesaian.

Selain itu, Sunardi juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasnya. 

Antara cabaran termasuk ketiadaan alamat tepat mangsa, majikan yang tidak diketahui dan pasport pekerja yang dirampas pihak ketiga termasuk majikan. 

Namun, semua ini tidak mematahkan semangat beliau. Lebih mencabar lagi, semua sumber kewangan untuk menyelesaikan kes ini ditanggung sendiri oleh Sunardi, tanpa bantuan dari pihak luar. 

Ini menunjukkan betapa komitednya beliau memperjuangkan hak pekerja migran.

Menurut Sunardi, pentingnya kerjasama dan semangat gotong-royong antara semua pihak dalam menangani masalah pekerja migran. 

Beliau menegaskan bahawa sokongan dan komunikasi yang baik dari semua pihak adalah asas kepada kejayaan dalam menyelesaikan isu-isu ini. 

Masalah lebih besar akan timbul apabila pekerja migran terjebak dengan ejen tidak sah, yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kebajikan pekerja yang diuruskan mereka.

BANTU PEKERJA MIGRAN DAPAT HAK MATLAMAT UTAMA

“Bukan penghargaan yang diharapkan melainkan hubungan sesama manusia, kepedulian, keprihatinan, dan masalah dapat diselesaikan itu lebih penting,” tegas Sunardi. 

Bagi beliau, membantu pekerja migran untuk mendapatkan hak mereka adalah matlamat utama, bukan sekadar mencari penghargaan. 

Sunardi memahami bahawa warga Indonesia yang datang ke Malaysia membawa harapan untuk mengubah kehidupan kelaurga mereka yang serba susah di kampung halaman. 

Oleh itu, beliau berasa bertanggungjawab memastikan mereka mendapat layanan adil dan tidak dipergunakan oleh majikan atau ejen yang tidak bertanggungjawab.

Sunardi turut melahirkan kebimbangan apabila mendapati banyak pekerja migran yang terumbang-ambing, ditolak ke sana sini, dan sering kali menjadi mangsa keadaan. 

Sebagai contoh, kes penipuan judi online di Kemboja yang melibatkan 76 pekerja Indonesia mengambil masa dua tahun untuk diselesaikan. 

Ini menunjukkan betapa sukarnya menyelesaikan kes yang melibatkan penipuan dan sindiket yang licik.

Bukan sahaja di Malaysia, pekerja migran Indonesia turut menghadapi masalah di negara lain seperti Iran, Arab Saudi, Thailand, Myanmar, Australia, Laos, Filipina dan Singapura.

Sunardi berpendapat komunikasi berterusan dengan keluarga di kampung halaman adalah penting bagi mengelak pekerja migran terjebak dengan penipuan atau sindiket haram. 

Punca utama terjebak dengan penipuan, menurut beliau, adalah kerana keinginan untuk meraih keuntungan lebih cepat tanpa memikirkan akibat yang bakal ditanggung.

BEKERJA DI LUAR NEGARA, IKUTI SALURAN BETUL, SAH

Sunardi sentiasa menasihati pekerja migran Indonesia agar mengikut saluran betul jika ingn bekerja di negara luar, agar apabila berdepan dengan sebarang masalah, pihak konsulat dapat membantu secara efektif. 

Beliau turut mengingatkan warga Indonesia yang bekerja atau yang bercadang bekerja di Malaysia agar menyediakan dokumen yang lengkap bagi memudahkan urusan mereka bekerja di Malaysia.

Sunardi memahami bahawa pasaran kerja di luar negara bukanlah mudah, dengan pelbagai faktor menyulitkan, urusan seperti pengeluaran undangan rasmi kerja, permit dan dokumen lain yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. 

Oleh itu, beliau menegaskan agar rakyat Indonesia menggunakan saluran yang sah, majikan yang betul, dan mengelak daripada terlibat dalam sektor haram atau larangan kerana jika berlaku sebarang insiden, masalah tersebut akan menjadi sangat sukar untuk diselesaikan.

Setakat ini, Sunardi bersyukur kerana kerjasama SBMI bersama pihak KJRI dengan pihak berkuasa termasuk polis di Sarawak sangat baik. Ini memudahkan beliau dalam menjalankan tugasnya sebagai aktivis. 

Sunardi juga mengakui bahawa masalah pekerja di Arab Saudi sebelum ini lebih sukar dan lebih besar berbanding di Malaysia. 

HARGAI SIKAP KEMANUSIAAN, PERSAUDARAAN RAKYAT MALAYSIA

Namun, beliau sangat menghargai sikap kemanusiaan, solidariti, kekeluargaan dan persaudaraan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang menurutnya lebih baik dibandingkan dengan negara lain.

Sebagai anak kedua daripada enam adik-beradik, Sunardi dikenali sebagai seorang yang tegas dan tidak pernah menyerah. 

Pelibatannya dalam SBMI Cabang Kabupaten Sambas jadi bukti dedikasinya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja migran Indonesia. 

Dalam memainkan peranannya, beliau juga mengakui bahawa pihak media mempunyai peranan penting dalam mendidik masyarakat, memberi pengetahuan dan menyedarkan mereka tentang pentingnya menggunakan saluran undang-undang yang sah untuk mencari pekerjaan di luar negara.

Sunardi berharap agar rakyat Indonesia yang bercadang untuk bekerja di luar negara akan mengambil pengajaran daripada kes yang telah berlaku.

Beliau meminta agar mereka sentiasa berhati-hati terhadap janji manis individu yang tidak bertanggungjawab. 

Dengan mengikut saluran yang betul, beliau percaya bahawa pekerja migran dapat mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan mendapatkan hak mereka dengan sewajarnya.

APA ITU SBMI?

Kesatuan Pekerja Migran Indonesia (SBMI) ialah organisasi yang mewakili pekerja migran dan ahli keluarga mereka, ditubuhkan pada 25 Februari 2003. 

Sebelum ini, SBMI dikenali sebagai Persekutuan Pertubuhan Pekerja Migran Indonesia (FOBMI), yang dimulakan dan diuruskan oleh Konsortium Pembelaan Pekerja Migran (KOPBUMI) sejak 2000 melalui pelopor pertubuhan yang dinamakan Rangkaian Kebangsaan Pekerja Migran. 

SBMI ialah antitesis kepada keadaan buruk dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pekerja asing Indonesia. SBMI diiktiraf sebagai Kesatuan Pekerja sejak 2006.

VISI DAN MISI SBMI

Visi ialah mewujudkan kebajikan bermaruah dan adil jantina bagi Pekerja Migran Indonesia (BMI) dan keluarga mereka.

Misi ialah melaksanakan pendidikan kritikal untuk BMI; meningkat dan mengukuhkan kedudukan tawar-menawar BMI; memperjuangkan hak BMI; membina ekonomi alternatif yang produktif untuk BMI; mengorganisasi BMI; berjuang untuk dasar yang menyokong BMI.

PERJUANGAN SBMI

SBMI memperjuangkan aspirasi, hak dan kepentingan ahli, memupuk perpaduan dalam kalangan pekerja asing dan mewujudkan kesejahteraan dengan kondisi kerja yang layak sesuai dengan martabat manusia dalam sistem perlembagaan demokrasi, kepastian undang-undang, hak asasi manusia yang terjamin, keadilan sosial dan antidiskriminasi.

PENCAPAIAN SBMI

i. Advokasi Kes dan Dasar: SBMI mengiringi aduan kes, baik daripada pekerja asing mahupun keluarga mereka. Kes ini termasuk prapenempatan, penempatan, dan pascapenempatan. Aduan yang diterima akan disusuli dengan tindakan pihak yang bertanggungjawab melindungi pekerja asing, sama ada kerajaan mahupun swasta.

ii. Pengorganisasian: Untuk memperkuat posisi pekerja migran, SBMI melakukan pengorganisasian pekerja migran dan anggota keluarganya, baik di negara tujuan penempatan mahupun daerah asalnya.

iii. Pendidikan: Dalam usaha mencerdaskan anggota, SBMI menjalankan pendidikan atau latihan yang bertujuan membangun kesedaran kritikal, kesedaran hak dan kewajiban.

Pendidikan yang dimaksudkan ialah pendidikan nonformal dalam bentuk pelatihan termasuk latihan prakeberangkatan, latihan migrasi aman, latihan pencegahan dan layanan bagi korban pemerdagangan, latihan pengorganisasian (organisasi masyarakat, organisasi, kepemimpinan), latihan paralegal, latihan hak asasi manusia, latihan jantina, pengelolaan kewangan dan sebagainya.

Untuk mempermudah kerja tersebut, SBMI juga menyediakan alat berupa modul dan panduan praktis yang mudah diaplikasikan oleh pekerja migran dan keluarganya.

iv. Pemberdayaan Ekonomi: Banyak pekerja migran yang haknya dilanggar, tidak mendapat gaji, dan sebagainya, sehingga kondisi mereka jauh dari tujuan yang diamanatkan dalam Pasal 3 UU 39/2004 Tentang Penempatan dan Perlindungan TKI di Luar Negeri, iaitu: memberdayakan dan mendayagunakan tenaga kerja secara optimal dan manusiawi, menjamin dan melindungi calon TKI/TKI sejak di dalam negeri, di negara tujuan, sampai kembali ke tempat asal di Indonesia, dan meningkatkan kesejahteraan TKI dan keluarganya. 

Selain itu, banyak pekerja migran memiliki keterampilan khusus, namun setelah kembali ke Indonesia, keterampilan mereka tidak dimanfaatkan dengan baik, atau memiliki modal tetapi tidak memiliki kemampuan untuk dikembangkan menjadi usaha.

Oleh itu, SBMI mendorong mereka melalui program reintegrasi, melaksanakan pemberdayaan melalui kerjasama dengan Organisasi Masyarakat Sivil, organisasi pemerintah, dan organisasi antarabangsa yang mempunyai misi pemberdayaan.

SIRI 7


Pekerja migran harus miliki pasport, permit kerja, izin tinggal, punya insurans – Raden Sigit Witjaksono, Konsul KJRI

LATAR BELAKANG: Raden Sigit Witjaksono, Konsul Jenderal bertugas di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching bermula pada Februari 2022. Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Raden Sigit mula bertugas di Kementeriaan Luar Republik Indonesia (RI) seawal 1992.

Beliau kelahiran Bojonegoro dan mendapat pendidikan; Strata 1 Universiti Airlangga HI-FISIP 1985-1990, Starta 2 Universiti Antarabangsa Jepun 1995-1997 dan Strata 3 Universiti Nagoya 2000-2004.

Sebelum bertugas di KJRI di Kuching, Pak Raden pernah menjawat jawatan Dir. Pemasaran Regional I, Deputy Bidang Pemasaran di Kemenparekraf RI, Mei hingga Disember 2021. 

Mac 2020 hingga April 2021, beliau memegang jawatan Dir. Pemasaran Regional II, Kemenparekraf RI,.

Beliau turut pernah menjadi Assisten Deputi Regional III, Kemenparekraf RI, pada Februari 2018 hingga Februari 2020, selain menjadi Deputy Director, Direktorat Kerjasama Teknik, Kemenlu RI, Februari 2016 sehingga Januari 2018 dan sebagai Ketua Kanselerai KBRI Yangon/ Pelaksana Fungsi Politik-Ekonomi, Mac 2012 hingga Januari 2016.

Berikut ialah wawancara kami bersama Pak Raden Sigit di KJRI menyentuh berkaitan pekerja migran.

Suara Sarawak: Pak Raden, berkaitan pekerja migran, apakah kelebihan dan manfaat diperoleh oleh pekerja migran, khususnya pekerja dari Indonesia apabila mereka menggunakan permit dan dokumen sah semasa bekerja di mana-mana negara?

Pak Raden Sigit: Pekerja Migran Indonesia (PMI) bekerja di Malaysia khususnya yang ada di Sarawak perlu memiliki dokumen, pertama pasport, seterusnya izin tinggal dan visa untuk tempat tinggalnya dan permit kerja. 

Ini sangat perlu dipenuhi dan jika bekerja untuk waktu yang cukup lama, tentu kontrak kerja juga harus dilengkapi. Manfaat yang didapati PMI, dengan adanya dokumen pasti pekerja tersebut akan mendapat perlindungan. 

Perlindungan itu termasuk insurans. Justeru, kita sangat mendorong para PMI yang bekerja di Malaysia termasuk di Sarawak ini memiliki dokumen lengkap tersebut. 

Dengan lengkapnya dokumen diperlukan, mereka mendapat perlindungan semaksimum mungkin (termasuk insurans), dari awal direkrut dari Indonesia sehingga diberangkatkan ke Sarawak.

Insuran sangat bermanfaat. Dengan memiliki insurans, jika berlaku kes sakit dan kemalangan, insurans dapat diguna. Misalnya jika berlaku kes kematian, pengurusan jenazah kembali ke Indonesia juga dapat dituntut dengan majikan.

Sebaliknya, jika tidak ada dokumen sah, tentu akan timbul kesulitan termasuk menelusuri tempat keberadaannya PMI berkenaan. 

Jika berlaku kemalangan, nanti memerlukan masa untuk mencari korban di hospital atau dengan menghubungi polis atau imigresen atau syarikat.

Tetapi jika ada dokumen sah, jika PMI sudah ada data dan dokumen, senang menelusuri dan kemudian memberikan perlindungan yang wajar kepada PMI terbabit sekiranya berlaku masalah. Itu bezanya. 

Ini seperti kes yang kelmarin berlaku di Daerah Bau. Sebelum ini, kita juga ada kes pekerja di Miri yang sudah dibantu pemulangannya.

Untungnya bagi kes di Miri, pihak majikan sangat berkolaborasi membantu proses pemulangannya. Jadi lebih senang. 

SS: Berapa keseluruhan jumlah PMI di Malaysia atau di Sarawak?

Pak Raden Sigit: Sudah dua tahun lalu kita ada aplikasi sipermit.id (https://sipermit.id/) yang dibangunkan kedutaan kita di Kuala Lumpur. 

Termasuk konsulat kita di Kuching, aplikasi tersebut dapat membantu proses memantau pengrekrutan dan penempatan pekerja. 

Di situ tersenarai sekitar 300 ejen di Malaysia dan 300 ejen dari Indonesia, semuanya 600 ejen. Senarai ini sudah selektif daripada semua sekitar 1,000 ejen asalnya. 

Aplikasi tersebut terhubung dengan aplikasi dibangunkan pihak Persekutuan di Malaysia. Jadi sudah dua tahun lebih aplikasi ini berjalan untuk memantau pekerja Indonesia di Malaysia termasuk di Sarawak.

Kita ada Kedutaan Besar di Kuala Lumpur. Kemudian kita ada Konsulat Jenderal di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching. 

Untuk para pekerja di Sarawak yang kita daftar semasa Pilihan Raya Umum (Pemilu), kita ada 52,000 pengundi dan daripada data ini kita dapat menganggarkan jumlah PMI di Sarawak. Jika termasuk ahli keluarga kepada PMI ini semua, terdapat sekitar 70,000 warga Indonesia di Sarawak.

SS: Apa tindakan KJRI mendekati PMI yang tidak memiliki dokumen lengkap khususnya permit sah bekerja, jika ada?

Pak Raden Sigit: Kita ada program yang namanya Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0. yang bermula di Semenanjung Malaysia kemudian diikuti Sarawak. 

Pada tahun lepas, dari September hingga Disember kita beri dokumen termasuk pasport penuh atau pasport sementara, atau Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) sah untuk setahun.

Pada April hingga Jun lepas, Sarawak menyokong program RTK 2.0 ini dengan mendapat bantuan dan sokongan dari ejen migrasi Jakarta yang membawa mesin mendaftar warga Indonesia di sini. 

SS: Berapa kos keseluruhan bagi menyediakan dokumen sah untuk seorang PMI?

Pak Raden Sigit: Kalau membuat pasport RM110 (Rp390,00). Untuk pasport sementara hanya RM35 (Rp126,000). Yang kita laksanakan di Konsulat itu hanya membuat dokumen pasport. Kalau permit termasuk izin tinggal dan izin bekerja, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang tangani. 

Kalau visa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang tangani. Untuk rekrut, biasanya syarikat yang mengajukan. Ia ada kuorta. JTK bekerjasama dengan Pengerah Tenaga Kerja Indonesia.

Misalnya ada syarikat perlukan 200 pekerja, contohnya dari Lombok atau dari Sulawesi, maka visanya ditangani JIM. Kalau pihak konsulat hanya mengurus dokumen pasport.

Tahun lalu, kami pernah anjur acara kordinasi dengan JIM dan JTK dua kali, sebagai sosialisasi sokongan kepada RPK itu, ongkos keseluruhan membuat dokumen adalah sekitar RM3,000 hingga RM3,500 seorang.

SS: Itu melalui saluran sah, kalau melalui ejen tidak sah, bagaimana ongkosnya?

Pak Raden Sigit: Itu pasti lebih kalau melalui saluran tidak sah. Begini… yang membuat orang masih tertarik dengan saluran tidak sah ialah janji untuk mendapatkan upah yang besar. 

Cabarannya di sini ialah proses pengrekrutan sehingga penempatan pekerja itu sepatutnya harus perlu dipercepat.

Sekarang, untuk dapatkan lesen dan permit perlu satu hingga tiga bulan, atau bahkan sebelum ini hingga enam bulan, prosesnya lama. 

Sementara, untuk para pekerja, mereka harus dibekal dengan dokumen pemeriksaan kesihatan dengan tarikh sahnya hanya tiga bulan. 

Manakala, apabila dokumen sudah siap, dokumen pemeriksaan kesihatan pun tamat tempoh sahnya.

Ini salah satu tantangan dan perlu diatasi. Jadi, hal ini sudah disampaikan kepada pihak menteri.

Cabaran lain ialah calon pekerja tadi terpengaruh oleh para ejen yang mengambil kesempatan. Kalau menunggunya lama, maka ada ejen yang memujuk pekerja agar ikut mereka, masuk menggunakan pasport sahaja.

Mereka rata-ratanya suka sebab sudah ada pasport, terus saja masuk bekerja tanpam memiliki dokumen izin yang saya katakan tadi.

PMI suka dengan janji manis ejen ini yang menjanjikan segera dapat duit. Padahal merekalah yang keluarkan duit terlebih dahulu. 

Saya  pernah beberapa kali berjumpa dengan calon pekerja ibu-ibu yang bekerja di sektor pembinaan tanpa permit sah. Malangnya belum sempat dia bekerja, dia sudah ditahan pihak berkuasa kerana masuk tanpa permit kerja dan izin tempat tinggal.

Duit yang sudah dikeluarkan untuk masuk bekerja sekitar lebih Rp7 juta (RM2,000) dianggap sebagai hutang. 

Saatnya dia keluar penjara, dia harus membayar hutangnya. Itu sering terjadi. Bahkan, ada yang bayarnya hingga RM3,000. Ini tidak termasuk kos lain.

Jadi, hal ini memerlukan kolaborasi dan kerjasama semua pihak, mempermudah proses pengambilan pekerja agar lebih cepat.

Ini mengelak calon pekerja termakan janji manis para ejen ini tadi yang mendorong pekerja yang lama menunggu ini, untuk langsung segera berangkat.

Ketika ini, kita sudah ada pembaikan, termasuk pada tahun lepas. Pada 17 hingga 18 September ini ada Pengarah dan Timbalan Pengarah tenaga kerja di Indonesia dari 200 syarikat dari seluruh Indonesia yang punya anggota di seluruh provinsi di Indonesia siap dengan tenaga kerja untuk dikirim bekerja di Malaysia.

Mereka berjumpa lansung dengan perusahaan atau syarikat pengambilan pekerja di sini. 

Pada 13 Jun lalu, kita laksanakan tiga kali jerayawara dari Kuching hingga Miri dan Bintulu, bertemu dengan 100 syarikat atau perusahaan. Ini antara usaha kita.

SS: Menggalakkan pekerja migran masuk secara sah dan mengelak mereka masuk tanpa dokumen sah, apakah pesan Pak Raden kepada mereka ini?

Pak Raden Sigit: Tentunya kembali kepada perkara dasar, seseorang pekerja migran, walau di mana pun jua dia bekerja, apa lagi dalam tempoh yang lama, dia harus berdokumen. 

Dokumen tidak cukup dengan memiliki pasport sahaja, tetapi harus ada permit. Untuk bekerja memerlukan permit kerja. Untuk tempat tinggal memerlukan permit tempat tinggal. 

Ini yang perlu kita edukasi. Dokumen tidak cukup hanya dengan pasport. Pasport hanya sah untuk 30 hari, selepas itu harus ada izin tempat tinggal dan izin kerja. Kalau bersekolah harus ada izin belajar. 

Semua ada izinnya. Semua harus dapat izin. Banyak yang masih belum faham, tetapi ada yang faham tetapi pura-pura tidak faham. Harus diberitahu kepada ahli keluarga dan rakan-rakan akan hal ini.

SS: Terima kasih banyak Pak.

Pak Raden Sigit: Sama-sama

MENJADI TENAGA KERJA INDONESIA (TKI) SAH DI MALAYSIA

(Maklumat lain berkaitan TKI termasuk hak pekerja, insurans dan sebagainya dapat dilayari di laman sesawang Kementerian Luar Indoesnia di https://www.kemlu.go.id/kualalumpur)

  1. Memiliki pasport Indonesia yang sah.
  2. Berumur 18-38 tahun. TKI PLRT berumur 21-45 tahun.
  3. Datang secara sah ke Malaysia melalui Pemerintah atau Perusahaan Pelaksana Penempatan TKI Swasta yang terdaftar di DEPNAKER RI.
  4. Menandatangani Kontrak Kerja dengan majikan.
  5. Lulus pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) dengan biaya RM180 (laki-laki) dan RM190 (wanita) yang ditanggung oleh majikan.
  6. Memiliki permit kerja yang diuruskan oleh majikan dan dikenakan bayaran per tahun (levy).
  7. Memiliki/ diuruskan Kad Pengenalan Pekerja Asing yang dikeluarkan oleh Pemerintah Malaysia.
  8. Bekerja pada majikan yang nama dan alamatnya tercantum dalam Permit Kerja.
  9. Menyerti program asuransi di Malaysia berdasarkan Workmen Compensation Act 1952.


SIRI 8
ELAK BEKERJA DI TEMPAT TIDAK SAH, PENUHI SYARAT JIM DAN JTK SARAWAK

SUARA SARAWAK menghubungi Sarawak Forestry Corporation (SFC) melalui pegawai Controller Taman Negara dan Rizab Semula Jadi, Abang Arabi Abang Aimran.

Kami mengajukan pertanyaan berkaitan kenyataan Timbalan Premier Datuk Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkaitan kawasan Gunung Tabai digazetkan sebagai Taman Negara.

Suara Sarawak: Apakah mekanisme untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan Taman Negara?

Sarawak Forestry Corporation (SFC): SFC menambah baik Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi bagi mengetatkan undang undang. SFC juga menjalankan Projek Wildlife Guardian Ranger (WGR) yang terdiri daripada bekas askar atau polis dan komuniti tempatan untuk menambah bilangan kakitangan di lapangan.

Mekanisme untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan Taman Negara termasuklah:

a. Penggunaan dron dan satelit dalam pemantauan.

b. Pemasangan plat sempadan dan papan tanda taman negara.

c. Penandaan sempadan taman negara.

d. Kerap buat perondaan.

e. Menyediakan “management presence” untuk mengurus taman negara.

f. Menubuhkan Special Park Committee bagi menolong mengurus dan melindungi taman negara.

SS: Bagaimana dengan pelan pengurusan dan pemuliharan Taman Negara yang dijalankan SFC?

SFC: Salah satu matlamat utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 Sarawak 2030 ialah menyasar untuk menyiapkan 30 pelan pengurusan dan pemuliharaan Taman Negara menjelang 2030.

SS: Apakah tindakan undang-undang atau denda yang dapat diambil SFC terhadap penceroboh kawasan larangan kerajaan?

SFC: Sesiapa yang terlibat dalam aktiviti perlombongan haram boleh dikenakan hukuman sebanyak:

i. RM5,000 dan atau satu tahun penjara untuk memasuki Taman Negara tanpa permit masuk, dan;

b. RM5,000 dan atau satu tahun penjara jika mencari gali dan mengeluarkan tanah dari Taman Negara.

SFC menasihati orang ramai menghormati undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. 

Pencerobohan dan aktiviti haram di kawasan ini tidak sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga merosakkan ekosistem dan warisan alam semula jadi yang penting untuk dilindungi bagi generasi akan datang. 

SFC boleh menggunakan Ordinan Taman Negara dah Rezab Semula Jadi 1998 untuk mengambil tindakan kepada penceroboh Taman Negara.

SS: Apakah nasihat pihak SFC kepada pekerja berkaitan pekerjaan ditawarkan majikan tidak sah dan jenis pekerjaan tidak sah?

SFC: Untuk pekerja asing, dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak daripada menerima pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan yang tidak berdaftar atau terlibat dalam aktiviti pekerjaan tidak berdaftar seperti bekerja di lombong haram atau memasuki kawasan Taman Negara yang telah digazetkan. 

Pekerjaan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri. 

SFC menggalak pekerja asing mendapatkan pekerjaan sah dan memastikan mereka memohon pekerjaan melalui saluran yang betul.

SS: Terima kasih

SFC: Sama-sama


SYARAT AMBIL PEKERJA ASING MENURUT JIM

Sementara itu, memetik tulisan di laman sesawang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarat pengambilan pekerja asing ialah:

  • Bekerja dalam sektor yang dibenarkan iaitu Perkilangan, Pembinaan, Pertanian, Perladangan dan Perkhidmatan;
  • Permohonan pekerja asing oleh majikan/ syarikat tertakluk kepada kelulusan kuota dari Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Kementerian Sumber Manusia (KSM);
  • Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 45 tahun pada masa permohonan;
  • Disahkan sihat oleh pusat pemeriksaan kesihatan di negara sumber;
  • Bakal pekerja tidak termasuk dalam senarai individu asing yang dilarang masuk mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963; dan
  • Pekerja asing hendaklah di kalangan negara sumber yang dibenarkan.

Majikan yang ingin mengambil pekerja asing perlu memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) daripada Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia.

Permohonan VDR hendaklah dikemukakan secara dalam talian (online) melalui laman web FWCMS.

Pekerja asing hendaklah berada di negara asal sementara menunggu kelulusan VDR daripada Jabatan Imigresen Malaysia.


Untuk maklumat lanjut berkaitan pengambilan pekerja migran sila layari: https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/pekerja-asing-2/

DAPATKAN LESEN GAJI PEKERJA BUKAN PEMASTAUTIN DENGAN JTK SARAWAK

Sementara itu, merujuk laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, keperluan untuk mendapatkan lesen menggaji pekerja bukan pemastautin atau pekerja asing, majikan perlu mendapatkan Lesen Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin seperti diperuntuk bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Majikan yang gagal memperolehi lesen berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 130L, Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Menurut kenyataan di laman sesawang berkenaan, majikan dikehendaki memohon dan memperoleh Lesen Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin daripada Pengarah Tenaga Kerja Sarawak. 

Majikan juga perlu memastikan gaji yang ditawarkan kepada pekerja bukan pemastautin yang dipohon setara dengan jawatan dan tidak kurang dari kadar gaji minimum yang dikuat kuasa. 

Di samping itu, pekerja yang dipohon hendaklah memiliki kelayakan atau pengalaman yang tidak kurang daripada kriteria yang ditetapkan dalam iklan jawatan kosong. 

Selain itu, majikan perlu mematuhi peruntukan undang-undang perburuhan yang sedang berkuat kuasa.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pengambilan pekerja bukan pemastautin sila layari: https://www.jtkswk.gov.my/v2/?page_id=954

SIRI 9

NASIHAT PEKERJA MIGRAN YANG MILIKI DOKUMEN SAH


Majikan urus pasport, permit, tempat tinggal dan makan, minum saya 

Nama: Suriani

Usia: 24 tahun

Asal: Sambas, Kalimantan Barat Indonesia

Pekerjaan: Juruwang 

“Saya bekerja di sini sudah dua tahun. Selama bekerja pihak majikan menguruskan pembayaran permit dan pasport untuk pekerja. Malah, majikan juga menguruskan segala hal berkaitan tempat tinggal makan, minum dan segala hal peribadi berkaitan pekerja Indonesia mahupun Sarawak. 

Dengan adanya permit saya berasa semangat bekerja dan keluarga saya di kampung tidak risau tentang keberadaan saya selama ini. 

Nasihat saya patuhi dan sayangi pekerjaan yang ada, berkelakuan baiklah serta bertolak ansur dan rendah diri.

Uruskanlah pasport dan masuk secara rasmi.”


Sebagai pekerja migran sah, saya ada insurans sekali

Nama: Rustam Muzalli

Usia: 38, 

Asal: Sambas, Indonesia

Pekerjaan: Pelayan kedai makan

“Untuk permit bekerja saya, majikan yang uruskan dengan JTK.

Antara dokumen yang diperlukan untuk bekerja ialah pasport dan visa.

Dengan adanya permit sah, saya rasa lebih tenang dan tidak takut. Sebagai pekerja migran sah, saya juga ada insurans sekali. 

Semua kos untuk dapatkan dokumen sekitar RM4,000 dibiayai majikan.

Saya mula-mula bekerja di Batu Kawa, di kebun durian.

Nasihat saya kepada pekerja Indonesia di luar sana, jangan guna ejen tidak sah sebab menyusahkan.

Gunakanlah ejen yang betul, mohon visa dahulu baru boleh masuk.”


Saya tenang, gembira bekerja dengan adanya permit

Nama: Lestari Jumadi

Usia: 25 tahun

Asal: Sambas

Pekerjaan: Pelayan restoran

“Saya anak pertama daripada tiga adik-beradik.

Saya belum sampai setahun di Kuching, saya datang pada Ogos 2023. Saya dapat permit diurus majikan sekitar empat bulan.  

Saya rasa tenang dan gembira bekerja dengan adanya permit. Di sini, orang sangat ramah dan saya rasa diterima baik oleh komuniti setempat. 

Mereka beri layanan sama seperti orang tempatan dan tidak membeza-bezakan latar belakang.”

Patuhi peraturan ditetapkan, sekurang-kurangnya keselamatan di tempat kerja dilindungi

Nama: Nurzen Tarimo
Usia: 50 tahun
Pekerjaan: Pekerja kontrak

Saya bekerja di Kuching selama 14 tahun. Dari awal sehingga hari ini, saya masih bersama syarikat yang sama.

Saya bertuah kerana proses masuk bekerja di Sarawak diurus sepenuhnya oleh majikan dan ini memudahkan saya mengikuti syarat dan terma yang perlu dipatuhi.

Tidak dinafikan proses menunggu dokumen terutama permit mengambil masa lama, saya nasihatkan rakan pekerja migran bersabar demi kebaikan masing-masing.

Selain itu, kebanyakan pekerja juga sering berhadapan dengan masalah mengemas kini permit yang tamat tempoh.

Saya berharap agar saudara pekerja migran mematuhi peraturan ditetapkan sekurang-kurangnya keselamatan di tempat kerja dilindungi.

PENUTUP:

TRAGEDI JADI TELADAN

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam kenyataan media disiarkan Suara Sarawak pada 30 Ogos 2024, menyeru Jabatan Hutan Sarawak (SFC) mempertingkatkan pelan pengurusan Taman Negara Gunung Tabai di Bau bagi mengekang kes perlombongan emas haram di kawasan tersebut.

“Saya secara langsung bertemu pihak SFC untuk mereka keluarkan pelan pengurusan supaya kita tidak akan melihat kejadian seperti ini berlaku,” kata Awang Tengah pada penyampaian hadiah Konvensyen KIK dan Hari Integriti di Kuching.

Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II mendedahkan, kawasan Gunung Tabai digazetkan sebagai Taman Negara.

Bagaimanapun, beliau mengaku fasiliti di kawasan berkenaan belum lagi lengkap dan sedang diusahakan.

Awang Tengah menyifatkan kerja mencari emas di situ sebagai tidak sah, dan berharap

dalang di sebalik aktiviti pelombongan emas secara haram disiasat.

“Kita tunggu dari segi siasatan, banyak yang terlibat. Jadi kita tunggulah bagaimana,” ujar Awang Tengah.

Tragedi kematian Yoga Anggiska di Gunung Tabai, Bau, hanyalah salah satu kajian kes yang dapat kami laporkan.

Perginya satu jiwa bukan bermakna ia tidak penting.

Mungkin ada kejadian lain tidak diingini berlaku di mana sahaja melibatkan pekerja tidak sah, tetapi tidak dilaporkan disebabkan “tiada dokumen sah”.

Dan ternyata kita tidak lagi perlu menunggu kejadian lain yang serupa berlaku.

IKUTI TRAGEDI SECARA DEKAT

Mengikuti secara dekat kes Yoga Anggiska ini setelah menerima aduan langsung daripada ahli keluarga dan jiran dari Kerinci, kami dapat merasakan “perasaan mendalam” keluarga mangsa, khususnya ibu yang menunggu penuh kerinduan sang anak yang dianggap sebagai tulang belakang dan harapan keluarga.

Ketika sepupu Yoga mencari keberadaan Yoga di Kuching, mereka terlalu naif untuk bergerak dan mencari titik solusinya.

Apabila kami difahamkan ahli keluarga mengeluarkan wang yang banyak untuk pencarian dan mendatangkan saudara untuk menentukan padanan DNA mangsa, serta mengeluarkan kos sendiri untuk membawa jenazah kembali untuk dikebumikan di kampung halaman – kita “menyayangkan” tiada majikan yang dapat dipertanggungjawabkan untuk membiayai kos penghantaran pulang jenazah mangsa.

Manakala, ketiadaan insurans juga tidak memungkinkan sebarang ganti rugi atau pampasan dapat diterima oleh keluarga mangsa.

Kita hanya mampu mengucapkan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa. 

Semoga roh Yoga Anggiska tenang di sana dan dihimpun bersama orang beriman di sisi Allah.

Pihak berwewenang setempat dan di pihak keluarga juga sudah menghulurkan bantuan yang sewajarnya menangani kes ini.

Kami memanjangkan ucapan keluarga yang turut disampaikan oleh Kepala Desa sekali lagi di sini bahawa keluarga arwah di Desa Sungai Batu Gantih mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching, Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI), pihak polis khususnya IPD Bau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang banyak membantu menyelesaikan isu berkaitan kehilangan Yoga di Bau seterusnya berjaya mengembalikan arwah untuk dikebumikan di kampung halamannya. 

Kami menyediakan laporan khas ini bertujuan untuk dijadikan teladan dan nasihat kepada semua pekerja migran sama ada dari Indonesia atau negara lain, bahkan termasuk calon pekerja Sarawak, Malaysia yang mahu masuk bekerja di negara lain – agar memiliki dokumen sah pekerjaan.

Kata kunci bagi meminumkan kesan kepada individu dan keluarga termasuk kepada negara, jika berlaku tragedi tidak diingini semasa bekerja di luar negara adalah – setiap pekerja haruslah memiliki dokumen lengkap dan sah mengikut prosedur ditetapkan dua negara terlibat.

MENGURUS KRISIS DAN MINIMUMKAN IMPAK BURUK

Manusia tidak dapat menahan kematian sesiapa atau mengelak kemalangan dan ketentuan berlakunya sesuatu tragedi, tetapi dengan izin Allah, manusia dapat mengurus krisis dengan lebih baik sambil meminumkan impak buruk daripada tragedi yang berlaku, termasuk jika berlakunya kes kematian.

Dalam hal ini, pekerja migran tanpa mengira dari negara mana asalnya, termasuk pekerja Sarawak, Malaysia sendiri yang mahu bekerja di luar negara, nasihat kami ikutlah prosedur memiliki dokumen lengkap; ada pasport, permit bekerja, izin tempat tinggal, menjalani saringan kesihatan serta memiliki kontrak pekerjaan yang dikehendaki.

Memiliki dokumen lengkap secara sah memakan kos sekitar RM3,000 yang ditanggung oleh majikan.

Manakala, Menurut wakil SBMI, masuk secara tidak sah ada yang dikenakan oleh ejen menelan belanja kos sehingga RM6,000 atau lebih yang perlu dibayar oleh pekerja secara potongan gaji dengan sebahagiannya dibiayai majikan tidak sah.

Tentulah bagusnya memasuki sesebuah negara secara sah, sekiranya berlaku kemalangan atau tragedi, maka menanganinya akan lebih mudah dan majikan dapat dipertanggungjawabkan, begitu juga mangsa atau keluarga mangsa mendapat ketenangan daripada perlindungan atau pampasan ganti rugi insurans.

Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak KJRI, SBMI dan pihak berwewenang setempat yang memberi peluang kepada kami untuk mewawancara mereka bagi melengkapkan laporan ini.

Laporan ini tidak bertujuan mencari kelemahan mana-mana pihak, melainkan menasihati semua pihak agar mengikut prosedur yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

YouTube video player

BERITA LAIN

Hasil meningkat, alam terpelihara

HAMPARAN tanaman sawit yang terbentang dari Sematan hingga ke Miri menggambarkan kedudukan penting komoditi sawit dalam ekonomi Sarawak. Namun, di sebalik barisan pokok sawit yang

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,