ARTIKEL

TUN Wan Junaidi bersama-sama Toh Puan Fauziah ketika program Kembara D’Astana ke Teriso, Sebuyau dan Lingga pada 2 hingga 3 Mei 2026.

Sirih pulang ke gagang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HENING pagi belum banyak terusik ketika sebuah katamaran mula meninggalkan Jeti Terminal Penumpang Kuching, Pending. Di hadapan terbentang perjalanan menyusuri perairan Sarawak, manakala di belakang tertinggal seketika hiruk-pikuk kota.

Di atas Katamaran Damai Princess, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memulakan sebuah perjalanan yang pada zahirnya kelihatan seperti lawatan rasmi, tetapi sebenarnya sebuah kepulangan, kembali denai sejarah yang tercatat dalam diri pemimpin ulung ini.

Kembara D’Astana ke Teriso, Sebuyau dan Lingga pada 2 hingga 3 Mei 2026 itu membawa Tun Wan Junaidi kembali ke kawasan yang pernah menjadi sebahagian besar daripada perjalanan hidupnya, tempat beliau membesar semasa zaman kanak-kanak dan seterusnya kawasan yang pernah diwakilinya sebagai ahli Parlimen selama 14 tahun.

Seawal sekitar jam 6.00 pagi, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berangkat dari Terminal Penumpang Kuching. Pelayaran itu diiringi bot-bot pemintas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Pasukan Polis Marin serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak bagi memastikan perjalanan rasmi berkenaan berjalan lancar.

Turut bersama ialah anakanda beliau, Sharifah Fariah dan Sharifah Nong-Jasima bersama-sama suami, Muhammad Nur Hakeem serta Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie.

Pelayaran menuju persinggahan pertama di Kampung Teriso mengambil masa sekitar tiga jam setengah, membawa rombongan lebih dekat dengan kehidupan masyarakat pesisir.

Menurut Tun Wan Junaidi, destinasi pertama dari Pending itu yang bukan sekadar titik persinggahan di peta, namun menziarah kembali tanah tumpah darah di dirinya di Kampung Teriso.

Seawal pelayaran bermula, redup awan menyayungi pemandangan Muara Tebas dan megahnya Jambatan Sejingkat yang sedang mengalih landskap negeri. Saat melewati Pulau Burung dan Pulau Teriso Laut, memori zaman kecil Tun Wan Junaidi mengutuk semula igatannya.

“Ketika zaman kanak-kanak, saya sering mengikut ayahanda memburu burung di pulau ini dan pengalaman tersebut membentuk jati diri saya sebelum bergelar pemimpin,” katanya.

Setibanya di Jeti Perikanan Teriso, rombongan Tun Wan Junaidi disambut penduduk setempat dengan meriah termasuk persembahan hadrah. Namun, selepas sambutan itu, langkah membawa beliau ke tempat yang jauh lebih peribadi — Tanah Perkuburan Kampung Teriso.

Di situ, Tun Wan Junaidi menziarahi pusara lama keluarganya dan mengikuti bacaan tahlil serta doa arwah sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah pergi. Selepas itu, rombongan meninjau tapak rumah lama serta telaga lama yang menjadi sebahagian monumen zaman kecilnya.

Diikuti pertemuan bersama-sama 21 waris keluarga besar Almarhum Tuanku Anis Tuanku Bujang di kediaman ketua kampung, Awang Mos Sulaiman yang menjadi wadah istimewa dalam menyantuni keluarga yang masih menetap di Kampung Teriso. Kembali ke sini, Tun Wan Junaidi mengimbau kembali pelbagai kenangan lama seperti bunga segar tapi harumnya tetap dari akar yang dalam.

Sebelum meninggalkan Kampung Teriso, rombongan berkesempatan bersua muka dengan penduduk di masjid di Kampung Teriso yang teruja menyambut kehadiran pemimpin yang disayangi semula ini.

Rombongan juga sempat menunaikan solat zuhur berjemaah di Masjid Al-Muhajirin sebelum meluangkan masa bersama-sama masyarakat setempat dalam jamuan tengah hari, diikuti beliau menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada pihak pengurusan masjid.

Dari Teriso perjalanan diteruskan ke Sebuyau, sebuah daerah yang kini sedang rancak disapa transformasi dengan pembinaan Jambatan Batang Lupar 1.

Daerah ini terletak di kawasan pesisiran pantai, di tebing Sungai Batang Sadong dan Sungai Batang Lupar. Sebuyau juga mempunyai sejarah pentadbiran tersendiri apabila sebelum ini berada di bawah pentadbiran Daerah Simunjan sebelum menjadi daerah sendiri pada 2021.

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan rombongan di Jeti Perikanan Sebuyau sekitar jam 3.00 petang disambut dengan persembahan hadrah, ngajat dan demonstrasi seni mempertahankan diri. Sambutan itu memperlihatkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak yang menjadi warna sepanjang perjalanan Kembara D’Astana.

Namun, Sebuyau turut menjadi ruang pertemuan yang lebih bersifat kekeluargaan. Tun Wan Junaidi mengadakan kunjungan ziarah ke kediaman keluarga sepunya, Almarhum Wan Morsidi Tuanku Sait yang telah baru dijemput Ilahi. Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu memberikan kekuatan moral buat Almarhum, Sharifah Hasiah Tuanku Mashor dengan mereka turut menyertai bacaan doa buat arwah.

Pada malam itu, Masjid Al-Mulhifin Sebuyau pula menjadi lokasi majlis kesyukuran sempena keberangkatan Tun Wan Junaidi serta keluarga ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Kira-kira 500 ahli keluarga, kaum kerabat dan penduduk setempat hadir dalam majlis berkenaan yang turut diisi dengan solat berjemaah, bacaan surah Yasin, tazkirah berkaitan haji serta doa keselamatan.

Esoknya, 3 Mei, perjalanan memasuki bab yang paling sarat dengan sejarah, rombongan kembara ke Pekan Lingga, pekan terkenal dengan ikan terubuk yang menyimpan rahsia sejarah pentadbiran Sarawak yang jarang diceritakan.

Tun Wan Junaidi tiba di jeti sekitar jam 10.20 pagi dan rombongan beliau terus bergerak ke Dataran Lingga sebelum meneruskan program di Dewan Masjid Al-Hana. Lingga bukan dipilih secara kebetulan, ia ibarat sirih pulang ke gagang khususnya selepas beliau berkhidmat sebagai ahli Parlimen di sini dari 1990 hingga 2004.

Namun di Lingga, Kembara D’Astana tidak berhenti pada kisah peribadi Tun Wan Junaidi. Ia membuka pintu kepada sebuah sejarah yang lebih jauh — sejarah Banting-Lingga. Di Dewan Masjid Al-Hana, beliau meneliti pameran mini yang memaparkan manuskrip, salasilah keluarga dan artifak berkaitan sejarah Lingga-Banting termasuk pendang dan tombak warisan.

Antara bahan paling penting yang diketengahkan ialah Manuskrip Lingga-Banting dan Kanun Banting-Lingga. Menurut Timbalan Rektor Universiti Teknologi MARA Sarawak, Dr. Saimi Bujang, Lingga pernah menyimpan sistem pentadbiran berdaulat melalui Hukum Kanun Lingga-Banting.

Lebih menarik, pemimpin terakhirnya, Syarif Jaafar, dikenal pasti sebagai leluhur kepada Tun Wan Junaidi. Di sinilah perjalanan itu mengambil makna yang lebih dalam, bukan sekadar kembali ke sebuah kawasan yang pernah diwakilinya.

Beliau kembali ke sebuah wilayah yang turut menyimpan jejak salasilah keluarganya. Penyelidikan yang dijalankan itu turut menelusuri hubungan genealogi berkenaan. Titik pertemuan nasab antara Tun Wan Junaidi dengan pihak waris dikenal pasti melalui Datuk Ishak, puteri kepada Laksamana Kida, sekali gus memperlihatkan hubungan kekeluargaan melalui jalur salasilah yang sama.

Dalam satu majlis yang penuh nilai sejarah itu, Tun Wan Junaidi turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Manuskrip Lingga-Banting termasuk Kanun Banting-Lingga — bukti dokumentasi lama yang membuktikan masyarakat tempatan sudah mempunyai sistem tadbir urus kendiri yang matang sejak sekian lama.

Antara bahan yang dipamerkan dan diserahkan termasuk Kanun Banting-Lingga, Manuskrip Salasilah Banting-Lingga, Salasilah Keluarga Bin Yahya Sarawak serta artifak seperti pedang dan tombak. Penyerahan itu adalah sebahagian daripada usaha memperlihara, mendokumentasi dan memartabatkan warisan sejarah serta salasilah keluarga yang mempunyai nilai kepada Sarawak.

Tun Wan Junaidi turut melawat pameran senjata warisan dan salasilah keluarga bangsawan Lingga selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Hana. Pertemuan ini bukan sekadar sebuah majlis rasmi tetapi merupakan satu kepulangan kasih yang menyentuh sanubari buat bumi Lingga.

Sepanjang dua hari itu, Kembara D’Astana turut memperlihatkan bentuk hubungan yang lebih dekat antara Astana Negeri Sarawak dengan masyarakat. Kembara ini berakhir dengan satu mesej yang jelas yakni jarung geografi bukan penghalang perpaduan.

Daripada nelayan di muara sungai hingga kepada peniaga kecil di pekan, rakyat melihat Tun Wan Junaidi bukan sekadar simbol kuasa, tetapi sebagai figura ayahanda yang pulang untuk mendengar, merasai dan menyayangi kebajikan anak-anaknya.

Jejak warisan telah ditelusuri, ukhwah telah diperkukuh, kembara ini semestinya mengukur kenangan indah dan tersemat kemas dalam lipatan sejarah Sarawak.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU