KUCHING: Sistem akut bekalan air bakal diperluaskan ke kawasan Biya, Padawan bagi membekalkan air terawat kepada beberapa kampung di kawasan berkenaan yang ketika ini masih bergantung kepada sistem bekalan air graviti dan sering terjejas ketika musim kemarau berpanjangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, berkata kampung-kampung terlibat ialah Kampung Nusa Raya, Kampung Kamas, Kampung Kiding, Kampung Kakas, Kampung Parang, Kampung Assum, Kampung Jaber dan Kampung Sapit.
“Semuanya masih menggunakan sistem graviti. Jadi apabila berlaku musim kemarau panjang, mereka akan terjejas dari segi bekalan air,” katanya ketika ditemu bual selepas Majlis Penyerahan Geran UNIFOR ADUN Mambong di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur 1, Petra Jaya hari ini.
Menjelas lanjut, Jerip yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) berkata pihaknya telah mengenal pasti Kampung Sapit sebagai lokasi sesuai untuk pelaksanaan sistem akut tersebut kerana mempunyai sumber air yang konsisten walaupun ketika musim kemarau.
“Berdasarkan kajian kami di Kampung Sapit, walaupun ketika musim kemarau, kawasan itu masih mempunyai sumber air.
“Pada masa sama, Kampung Sapit kini turut menempatkan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan kedudukannya tidak jauh dari Indonesia.
“Jadi saya akan mencadangkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi supaya satu sistem akut bekalan air turut dibangunkan di Kampung Sapit,” katanya.
Beliau berkata, jika cadangan itu direalisasikan, bekalan air daripada sistem berkenaan bukan sahaja dapat disalurkan ke kem PGA, malah boleh diperluaskan ke Kampung Parang, Kampung Assum, Sekolah Kebangsaan Kambug serta kampung-kampung lain di sekitarnya.
Menurut Jerip, sistem seumpama itu sudah berjaya dilaksanakan di Kampung Bengoh oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerusi JBALB, sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air di Kampung Bayur dan Kampung Jambu.
Katanya, menerusi sistem itu, air dipam dari sungai di Kampung Bengoh sebelum dirawat di sebuah loji rawatan dan seterusnya disalurkan ke tangki pengumpulan aras tinggi di Kampung Karu.
“Daripada tangki itu, bekalan air disalurkan ke Kampung Bayur dan Kampung Jambu. Sekarang kedua-dua kampung itu sudah tidak lagi menghadapi masalah bekalan air kerana menggunakan sistem akut ini,” katanya.
Sehubungan itu, Jerip juga berkata telah memohon kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi supaya bekalan daripada sistem akut di Kampung Bengoh turut disalurkan ke Kampung Sitang, Kampung Petag dan Kampung Bangau yang ketika ini turut berdepan masalah bekalan air kerana masih bergantung kepada sistem graviti.
“Kementerian sudah memberikan maklum balas positif dan bersetuju supaya ketiga-tiga kampung ini mendapat bekalan air daripada sistem akut berkenaan.
“Tidak lama lagi, penduduk di Kampung Sitang, Kampung Petag dan Kampung Bangau dijangka mendapat bekalan air,” katanya.
Jerip berkata sebenarnya projek bekalan air terawat bagi kawasan Biya termasuk Kampung Sitang, Kampung Petag dan Kampung Bangau sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 2017 dengan peruntukan sebanyak RM270 juta namun masih belum dilaksanakan sehingga kini.
“Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), projek ini sudah ditender, tetapi saya tidak pasti sama ada ia sudah dianugerahkan atau sebaliknya.
“Projek ini sudah lewat selama sembilan tahun dan sehingga sekarang masih belum dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sistem akut bekalan air boleh dijadikan alternatif bagi menyelesaikan masalah penduduk sementara menunggu pelaksanaan projek bekalan air terawat yang telah diluluskan itu.



