KUCHING: Penambahbaikan dan penyelarasan pelaksanaan Dana Berdaulat Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) terus diperkukuh melalui pembangunan sistem baharu oleh Sistem Maklumat Sarawak Sdn Bhd (SAINS). Sistem ini dijadualkan digunakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.
Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, SAINS sebagai penyedia sistem tersebut membuat pembentangan yang bakal menyaksikan semua permohonan dibuat secara dalam talian melalui portal sarawak.gov.my.
“Menerusi usaha ini, tempoh untuk memproses permohonan akan menjadi lebih pendek kerana sistem ini diselaras antara agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain.
“Apabila sistem ini diselaras, kita mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi mempercepatkan proses permohonan.
“Sebagai contoh, pengesahan atau sebarang proses yang diperlukan untuk EFS yang memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan dapat dipendekkan kepada satu bulan sahaja” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat EFS di Bangunan Baitulmakur II, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, sistem berkenaan juga akan memudahkan urusan pemohon untuk membuat permohonan kerana boleh diakses setiap hari secara dalam talian.
“Tidak kira pagi atau malam, semua dapat dibuat tanpa perlu pergi ke mana-mana. Semuanya di hujung jari sahaja” jelasnya.
Fatimah turut meluahkan harapan agar usaha ini dapat meningkatkan lagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) agar terus melebihi 80 peratus.
“Hasil yang kita lihat pada tahun ini agak baik mencapai 85 peratus, dan sudah tentu kita mahu meningkatkan lagi pada tahun akan datang. Lebih tinggi peratusan bermakna lebih ramai rakyat kita mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan” ujarnya.
Tambahnya, proses permohonan EFS dan BIB akan diintegrasikan dengan SarawakPASS melalui sistem baharu itu bagi memastikan ketelusan dan kemudahan akses serta kecekapan pemprosesan yang lebih baik kepada rakyat.
Beliau turut memuji pendigitalan tersebut sebagai satu anjakan besar dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan malah memastikan penyelarasan data antara agensi berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih mantap” menurut kementerian itu.
Sistem baharu yang dibangunkan oleh SAINS ini dijangka mampu menyokong pelaksanaan EFS 2.0 yang ditadbir oleh Affin Bank agar lebih sistematik, selain memberikan pengalaman pengguna yang lebih mesra dan efisien.
“Usaha ini dilihat selari dengan agenda transformasi digital Kerajaan Negeri yang menekankan kecekapan pentadbiran serta peningkatan kemudahan penduduk melalui platform digital” ringkasnya.






