Siswazah hadapi hari kelabu

BARU-BARU ini banyak golongan belia meluahkan kegembiraan berkaitan konvokesyen dikecapi menerusi beberapa laman media sosial masing-masing. Bilangan siszawah semakin meningkat, dengan jumlah penyertaan pelajar yang memasuki pusat pendidikan tinggi bertambah dari tahun ke tahun.

Ketua Ekonomi Ambank Research, Dr Anthony Dass dalam kenyataan media berkata, pengangguran golongan muda di Malaysia kekal 10.8 peratus, sekali gus sebagai rekod tertinggi berbanding Singapura(4.6 peratus), Thailand(5.9 peratus), Vietnam(7.9 peratus), dan India(10.5 peratus).

Jumlah golongan berpendidikan tinggi akan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, menjadikan pasaran pekerjaan sentiasa sesak dengan pencari pekerjaan.

Jelas bahawa negara masa kini mengalami masalah penyediaan peluang pekerjaan kepada siswazah baharu atau telah lama menamatkan pengajian.

Golongan berpendidikan tinggi dilihat mula menjadi saingan kepada pelajar kelulusan rendah (tamat sekolah menengah) bagi mendapatkan kerja yang dapat menjamin masa hadapan.

Sijil Pendidikan Tinggi Tidak Relevan

Jika dahulu menjadi satu kebanggaan orang tua apabila anak-anak mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ataupun lebih dikenali sebagai ‘menara gading’.

Namun, kini rata-rata pemegang ijazah mengalami masa sukar untuk menempuh alam pekerjaan berikutan syarat-syarat kemasukan hanya tertumpu kepada lepasan SPM.

Demi tidak membuang masa lebih lama menganggur, golongan berpendidikan tinggi hanya berserah dan mengambil sahaja peluang pekerjaan yang terbuka.

Hal ini bagi memastikan mereka dapat menampung perbelanjaan seharian setelah menghabiskan masa selama tiga ke empat tahun demi segulung ijazah yang diharapkan mampu memberi masa depan yang lebih cerah.

Malah, ada yang sanggup menerima gaji yang lebih rendah daripada sepatutnya ditawarkan kepada lulusan universiti. Bagi mereka, lebih baik mempunyai pekerjaan daripada menganggur.

Hutang Pembiayaan Menunggu

Lebih menyedihkan apabila segelintir pelajar terpaksa mencari pekerjaan sambilan atau separuh masa untuk membayar balik pinjaman terutamanya PTPTN selepas lebih sembilan bulan tamat pengajian.

Proses menempuh alam selepas tamat pengajian tinggi perlu inisiatif tahap ‘menang-menang’ agar sijil yang diperjuangkan selama lebih tiga atau empat tahun masih dianggap relevan dan membuka peluang masa depan lebih cerah kepada semua golongan terutamanya generasi muda pada masa kini.

Kerajaan seharusnya melihat kepentingan pengambilan pelajar setiap tahun berlandaskan keperluan peluang pekerjaan yang sedia ada agar masa generasi muda tidak terbuang dengan meneruskan pendidikan tinggi demi peluang pekerjaan. Sekiranya pengambilan pelajar berdasarkan peluang pekerjaan disediakan, sudah tentu jumlah pengangguran dapat diselesaikan dengan baik.

Hal ini juga tidak akan berlaku jika bidang yang diikuti sepadan dengan pasaran kerja. Jika tidak, fenomena pengangguran dalam kalangan siswazah akan terus berlaku.

Bagi menampung sektor pekerjaan yang lain, alangkah baiknya sekiranya institusi kemahiran ditingkatkan darjat agar pelajar mampu memilih bidang pekerjaan mengikut keperluan yang sedia ada tanpa perlu memilih untuk pengambilan pendidikan tinggi sebagai laluan ‘paksa’ untuk berjaya dalam hidup.