KUCHING: Lembaga pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) disarankan memanfaatkan sepenuhnya peningkatan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi menambah baik infrastruktur sekolah serta mempertingkatkan kemudahan guru dan pelajar.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS) No. 1, 3 dan 4, Datuk Richard Wee Liang Chiat berkata, pihaknya menyambut baik peningkatan peruntukan daripada RM50 juta sebelum ini kepada RM80 juta bagi SJKC.
“Walaupun jika dilihat berdasarkan jumlah sekolah di seluruh negara, peruntukan tersebut masih belum mencukupi berbanding jumlah yang dibajetkan untuk Sekolah Kebangsaan (SK).
“Bagaimanapun, kami tetap menyambut baik pengumuman ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berharap agar dana tersebut dapat diagihkan secara berkesan kepada semua sekolah yang mempunyai keperluan mendesak.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan naik taraf sekolah vernakular, dengan RM80 juta diperuntukkan kepada SJKC dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk memperbaiki kemudahan sekolah, meningkatkan mutu pengajaran serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.
Inisiatif itu merupakan usaha kerajaan untuk memastikan semua sekolah, termasuk SJKC dan SJKT, mendapat manfaat pada tahun ini, sekali gus memperkukuh pendidikan di peringkat awal serta membantu keluarga menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat.


