ARTIKEL

SK Nexilis lancar pinjaman hijau untuk fasiliti pembuatan di Sabah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pengeluar kerajang tembaga terbesar dunia, SK Nexilis Co. Ltd telah mengumumkan pelancaran kemudahan pinjaman berjangka bersindiket hijau pertama (Pinjaman Hijau) anak syarikatnya di Malaysia (SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd) (Pinjaman Hijau) di Malaysia.

Firma itu melalui satu kenyataan bersama dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd, yang bertindak sebagai penasihat penstrukturan pinjaman hijau berkata pinjaman hijau itu akan membiayai kos pembinaan fasiliti pembuatan kerajang tembaga di luar negara pertamanya iaitu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah, yang bernilai RM2.3 bilion.

Fasiliti tersebut akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 tan yang akan meningkatkan kemampuan pengeluaran global SK Nexilis sebanyak dua kali ganda.

Kerajang tembaga yang dihasilkan akan digunakan secara eksklusif dalam bateri kenderaan elektrik yang membolehkan penyelesaian mobiliti rendah karbon yang mampan di pelbagai lokasi termasuk di Korea Selatan, Malaysia, Poland dan Amerika Utara.

Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Shin Dong Hwan berkata pinjaman itu adalah kemuncak usaha serta komitmen berterusan firma itu terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seperti yang ditunjukkan oleh inisiatif sifar bersih serta RE100 syarikat termasuk sokongan padu daripada kerajaan Malaysia.

“Fasiliti pembuatan baharu kami bukan sahaja akan memudahkan inisiatif penyahkarbonan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk rangkaian bakat tempatan dan memberikan daya dalam menarik lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan pembangunan rantaian bekalan tempatan untuk kenderaan elektrik,” katanya. 

OCBC Bank telah memainkan peranan penting dalam menstrukturkan pinjaman hijau dan menasihati rangka kerja pembiayaan hijau agar bersesuaian dengan objektif ESG syarikat.

Bank itu juga bertindak sebagai pengatur utama bermandat, ejen kemudahan dan sekuriti serta pemberi pinjaman bersama, dengan AmInvestment Bank Bhd sebagai pengatur utama bermandat dan AmBank (M) Bhd sebagai pemberi pinjaman bersama.

Pengarah Urusan OCBC Bank Tan Ai Chin berkata sebagai sebagai hab elektrik dan elektronik yang utama, Malaysia berada pada kedudukan yang mantap untuk membangunkan asas serta ekosistem pengeluaran kenderaan elektrik yang berkembang pesat. 

“Kami menghargai SK Nexilis atas pandangan jauh pihak pengurusan yang meletakkan inovasi dan ESG sebagai teras visinya.

“OCBC Bank juga telah menjadi pelopor di barisan hadapan agenda ESG,” katanya.

SK Nexilis juga melantik Moody’s untuk mengeluarkan laporan pendapat pihak kedua yang memperakui rangka kerja pinjaman untuk mematuhi prinsip pinjamannya.

Transaksi itu mengesahkan komitmen SK Nexilis terhadap kemampanan dan ianya sejajar dengan objektif kelestarian menyeluruh syarikat induknya, SKC Ltd , yang merupakan sebahagian daripada SK Group, salah satu konglomerat terbesar di Korea Selatan.

SKC Co Ltd sebelum ini melancarkan inisiatif meliputi seluruh kumpulan bagi mencapai sifar bersih pada 2040 dan RE100, yang merupakan inisiatif untuk beralih kepada 100 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasinya, menjelang 2050. – BERNAMA

BERITA LAIN

Getah sekerap Sarawak RM3.90 sekilogram

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks tidak diaktifkan di seluruh negara pada Oktober ini.

BERITA TERBARU

Peranak Bukit Saban nerima pala tanah

SPAOH: Bisi 350 peranak sitak Bukit Saban diatu berasai lantang lebih nerima Surat Pala Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak. Surat pala tanah nya meri