KUCHING: Keghairahan untuk mendapatkan keuntungan segera membawa padah kepada seorang lelaki apabila mengalami kerugian RM800,000 selepas terjebak dalam skim pelaburan barangan kosmetik tidak wujud yang dijalankan secara atas talian.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, lelaki warga emas berusia 71 tahun itu mula terlibat dalam pelaburan tersebut pada 2021 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menawarkan peluang pelaburan berpotensi memberi keuntungan lumayan.
“Tertarik dengan janji pulangan tinggi, mangsa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat ke satu akaun bank syarikat terbabit.
“Keseluruhannya, mangsa membuat lapan transaksi melalui pindahan dalam talian dan bayaran cek sebagaimana diarahkan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson menambah selepas beberapa bulan menunggu, keuntungan yang dijanjikan tidak diterima.
Katanya, mangsa turut gagal menghubungi individu yang menawarkan pelaburan tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa beliau telah diperdaya.
“Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis.
“Siasatan mendapati kes ini merupakan sebahagian daripada trend penipuan serupa yang semakin berleluasa.
“Sehingga 20 November 2025, IPD Kuching telah merekodkan 104 kes melibatkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM24.27 juta,” katanya.
Alexson berkata kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.






