Skim Kredit Mikro Sarawakku Sayang dapat sambutan

KUCHING: Skim Kredit Mikro di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) mendapat sambutan yang menggalakkan daripada usahawan dan penjaja kecil di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejak diumumkan dua minggu lalu, skim bantuan itu menerima sejumlah 307 permohonan dengan jumlah terkumpul RM12.42 juta setakat 26 April lalu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut 254 permohonan diterima oleh Agro Bank dengan jumlah yang dipohon RM10.24 juta manakala SEDC menerima 53 permohonan dengan jumlah RM2.181 juta.

“Terdapat dua pakej ditawarkan di bawah SKMS iaitu Pakej SKMS1 untuk kumpulan B40 tanpa faedah dengan pinjaman maksimum RM10,000.

“Manakala SKMS2 untuk mereka yang dalam kumpulan M40 dengan pinjaman maksimum RM50,000 dan faedah empat peratus akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak hingga tiga tahun setengah atau 42 bulan.

“Walaupun perjanjian antara Mintred dengan agensi perlaksana SEDC dan Agro Bank baharu saja dibuat, namun sambutan daripada penjaja amat menggalakkan,” ujarnya semalam.

Tambahnya, bagi Skim Pinjaman Industri Kecil Sederhana, ia sedang dilaksana selama beberapa tahun dan menerima banyak permohonan daripada usahawan kecil dengan jumlah diberi sebanyak RM10 juta .

“Kita sekarang sedang dalam PKP, maka kebanyakan pegawai Mintred, Agro Bank dan SEDC bekerja melalui aplikasi atas talian dari rumah.

“Manakala borang juga disediakan oleh Mintred dan agensi terlibat bagi mereka yang tidak menggunakan aplikasi dalam talian.

“Kita menerima banyak pertanyaan mengenai Skim SKMS ini sejak diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dua minggu lalu,” katanya.

Beliau juga percaya dalam tempoh dua minggu yang akan datang lebih banyak lagi para usahawan dan penjaja di seluruh negeri akan memohon skim berkenaan.

“Dalam masa PKP ini, segala pertanyaan dan permohonan hanya dapat diajukan melalui secara atas talian sahaja,” tegasnya.