ARTIKEL

Skuad Harimau Malaya perlu manfaat aksi menentang Papua New Guinea

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA TERENGGANU: Malaysia mempunyai misi melebarkan rekod kemenangan apabila melayan kunjungan pasukan di ranking lebih rendah, Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.

Sekiranya berjaya mengatasi pasukan ke-159 dunia itu, ia bakal menjadi kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan selepas menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong (2-0) pada Mac lepas serta Kepulauan Solomon 4-1 baru-baru ini.

Berdasarkan rekod menentang Papua New Guinea, kelebihan berpihak kepada Malaysia yang memenangi tiga daripada keseluruhan empat perlawanan dengan pertemuan terakhir pada 2016 menyaksikan pasukan negara menang 2-1, kira-kira lima bulan selepas tewas 0-2 kepada lawan sama.

Namun, umum mengetahui Malaysia sudah melangkah ke hadapan untuk berada pada satu tahap lebih baik dari segenap aspek termasuk dalam kedudukan ranking dunia sejak bangkit daripada prestasi muram pada 2017.

Keputusan 2-2 dicatat Papua New Guinea ketika bertandang ke Singapura pada perlawanan persahabatan Jumaat lepas, tidak seharusnya membimbangkan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon.

Ini kerana anak buah jurulatih dari Korea Selatan itu berjaya menewaskan Singapura 4-1 tanpa beberapa pemain utama pada aksi kumpulan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.

Apatah lagi dengan momentum yang dibina selepas membenam Kepulauan Solomon 4-1, Pan Gon semakin ghairah memburu kemenangan lebih besar.

Keghairahan beliau dibuktikan apabila kemenangan itu belum cukup baik buatnya selepas mengharapkan lebih banyak gol dijaringkan dan memberi amaran kepada pemain supaya meminimumkan kesilapan teknikal pada pertembungan malam esok.

Situasi itu menjadikan barisan pemain lebih bersedia sekali gus memberi peluang kepada mereka yang diturunkan untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam usaha masing-masing memenangi hati Pan Gon bagi merebut tempat dalam skuad ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Malaysia ketika ini berada di posisi ke-138 dalam ranking dunia dan dijangka memperbaiki kedudukan terutama selepas mengatasi Kepulauan Solomon yang merupakan pasukan di tempat lebih tinggi iaitu ke-134.

Bagaimanapun, apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak seperti kejutan dicipta Arab Saudi ketika menumbangkan juara dunia Argentina yang dibarisi pemain bintang antaranya Lionel Messi pada aksi kumpulan Piala Dunia 2022.

Kekalahan Argentina itu seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada setiap pemain negara supaya tidak memandang rendah kemampuan Papua New Guinea meskipun pasukan dari Oceania itu mempunyai persiapan kurang ideal berbanding skuad kebangsaan.

Menjelang pertembungan malam ini, Papua New Guinea pastinya mengintai untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri selepas menikmati prestasi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Pasukan yang diberi julukan ‘Kapuls’ sebelum ini mencatat dua kemenangan dan dua seri sejak kali terakhir tewas pada November tahun lepas.

Secara keseluruhan, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah melebarkan rekod kemenangan berdepan Papua New Guinea sekiranya barisan pemain dapat menterjemahkan taktikal dengan baik dan mengurangkan kesilapan individu yang boleh menghukum pasukan.

Aksi malam ini juga merupakan peluang kepada pemain menerapkan dan membiasakan diri dengan corak permainan berintensiti tinggi yang dituntut Pan Gon sebelum bakal berdepan pasukan lebih hebat pada masa hadapan. – BERNAMA

BERITA LAIN

Samarahan tidak rela berputih mata

BINTULU: Skuad Samarahan bersedia mengharungi baki 90 minit aksi separuh akhir kedua menentang Bintulu di Stadium Bintulu, petang esok. Pasukan itu membawa bekalan kelebihan tiga

SAREX26 dijangka lepasi sasaran 800 peserta

KUCHING: Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) dijangka melepasi sasaran penyertaan 800 peserta apabila 600 orang sudah mengesahkan penyertaan menjelang penganjurannya pada 13 hingga 15 November

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah