BANGKOK: Pasukan wanita Mobile Legends Bang Bang (MLBB) negara kini bersedia untuk melangkah ke final Sukan SEA 2025 selepas berjaya menewaskan Myanmar dalam peringkat separuh akhir, pada Selasa.
Kemenangan tersebut menempatkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk merebut pingat emas pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung esok.
Ketua jurulatih, Muhammad Farhan Ibrahim atau nama ‘in-game’ Sora, mengakui bahawa persiapan untuk perlawanan separuh akhir sangat penting, meskipun pasukan mereka di atas kertas dianggap lebih kuat berbanding Myanmar.
“Kami memang menghormati Myanmar sebagai pasukan yang kuat, mereka masih dalam kelompok empat teratas di rantau ini. Namun, kami datang dengan persiapan yang lengkap dan penuh hormat kepada mereka,” katanya ketika ditemui TVS, di Sala Phra Kieo, Universiti Chulalongkorn, di sini, hari ini.
Dalam perlawanan kumpulan, Malaysia telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan menduduki tempat pertama dalam kumpulan yang turut disertai oleh Indonesia, Myanmar dan Malaysia.
Pasukan wanita negara mencatat dua kemenangan dan satu seri bersama Myanmar, yang akhirnya membawa mereka ke peringkat separuh akhir.
Sora turut memberi penekanan bahawa semangat tinggi dan persediaan rapi menjadi kunci kejayaan mereka.
“Kami berterima kasih kepada semua penyokong yang memberi semangat. Tanpa sokongan rakyat Malaysia, kami tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.
Sementara itu, bagi penolong jurulatih, Kelvin Unting Kelly (Rexvinn), mereka kini memberikan fokus kepada final esok menentang Filipina.
“Kami sudah bersedia untuk final. Emas adalah sasaran utama. Filipina adalah pasukan yang kuat, tetapi kami yakin dengan persiapan yang telah kami lakukan,” tambah Kelvin.
Filipina, yang sering menjadi pencabar utama dalam kejohanan antarabangsa, dijangka memberikan cabaran sengit, namun Malaysia yakin mereka mampu meraih kemenangan.
Pasukan wanita Malaysia berharap dapat memberi yang terbaik untuk negara pada final esok dan mereka mengharapkan sokongan penuh daripada rakyat Malaysia untuk mencapai impian meraih emas. – TVS



